Google Search :

google search:
Google

Tuesday, September 27, 2016

Semua pecahkan pembangkang

SUBKY LATIF | 26 September 2016.

DEMI penumbangkan BN dalam PRU 14, semuanya mengajak PAS bersetuju dengan formula satu lawan satu seperti yang PAS setujui sejak PRU 1999.
    
PAS telah tahu untung ruginya. Cuma sekarang ia menarik diri dalam persekutuan pembangkang setelah masak dengan asam garamnya sejak sekian lama.
   
Semua mengajak pembangkang bersatu baik pembangkang lebih 60 tahun lalu atau yang baru jadi pembangkang dua tiga minggu ini. Tetapi semua yang mengajak pembangkang bersatu itulah yang memecahkan pembangkang. Mereka yang mengajak itu sebenarnya menyuruh berpecah.
    
Parti pembangkang yang paling lama yang ada sekarang ialah PAS sejak tahun 1951. Semua pembangkang dalam PRU 1955 sudah berkubur kecuali PAS. PRM ada dan tiada sama saja. DAP datang tahun 1965. Jika DAP berpadangan jauh tentang satu lawan satu adalah politik paling penting baik dari 2000 ke atas, ia tak bentuk parti sendiri. Usahakan PAS jadi parti alternatif kepada BN.
    
Membentuk parti sendiri menjadikan pembangkang pecah dua. Apabila ada pilihan raya ia jadi tiga penjuru.
    
Kemudian Umno buang DS Anwar Ibrahim. Jika dia berpandangan jauh, dia masuk PAS atau DAP saja. Dia hendak parti sendiri. Dirangkumnya PRM dam PKR. Rasminya pembangkang jadi tiga.
    
Secara teori, sekalipun tiada muafakat antara PAS dan DAP semua pembangkang penting itu masih dua, satu lawan satu berlaku secara sendiri. PAS tidak bertanding di tempat DAP bertanding, dan DAP tidak tertarik di tempat PAS bertanding.
    
Sesudah ada PKR wujud Pakatan Rakyat, satu lawan satu dapat dirundingkan. Tetapi Mahathir dan Umno tempelak Melayu pecah tiga dengan adanya PKR. Satu lawan satu dalam PRU 2008 dan 2013 betul-betul mencemaskan BN. Tsunami melanda BN hingga air naik ke paras hidung. Jika sedikit lagi air naik BN nescaya lemas.
   
Bersekutu dan setiakawan adalah idealisma yang tidak sentiasa indah. Jika jamaah Islam yang berbilang dibekalkan dengan al-Quran dan Sunnah lagi bergigit, inikan pula berkawan dengan yang tidak suka berpandukan agama. Cinta hanya indah semasa berbulan madu. Selesai bulan madu lidah dan gigi lagi bergigit.
    
Terbaik buat PAS ialah menarik diri daripada tahaluf dengan DAP. Ia cabaran buat DAP dan PKR. Jika sedia bersabar, fikirkan apa cara PAS dapat diajak balik bertahaluf. Tetapi DAP dan PKR mengambil langkah menggantikan tempat yang dikosongkan PAS. DAP menggalakkan serpihan PAS menggantikan PAS dan orang kuat PKR seperti Rafizi Ramli sertai kempen serpihan PAS mengadakan parti  sendiri dan mengisi kekosongan ditinggalkan PAS.
     
Sepatutnya mereka mengusahakan PAS balik dalam Pakatan supaya pembangkang kekal tiga saja, bukan menambah parti pembangkang jadi empat. Pembangkang yang empat adalah lebih payah dari pembangkang yang tiga. Apa jadi pada PAS adalah masalahnya, tetapi dengan menggalakkan serpihan PAS menjadikan satu lawan satu perkara mustahil.
     
Sepatutnya mereka halang serpihan PAS. Menggalakkan serpihan memecahkan lagi pembangkang. Yang menggalakkan memecahkan lagi pembangkang dan yang serpih sendiri pun memecahkan juga pembangkang.
    
Datang pula Dr. Mahathir dan Muhyiddin. Ajak juga satu lawan satu, tapi depa pun tambah satu lagi parti. Bertambah pecah pembangkang. Sepatutnya Mahathir masuk saja PKR atau DAP kalau tak mahu PAS. Yang terbaiknya masuk PAS. Ia boleh mengurangkan parti pembangkang.  Yang serpih itu bercakap macam-macam perlunya pembangkang bersatu. Menubuh parti baru memecah pembangkang.
     
Semua yang hendak menumbangkan BN tengah memecahkan pembangkang. – HARAKAHDAILY 26/9/2016

Monday, September 19, 2016

Abdul Hadi: Tiada kerjasama dengan DAP

Tahniah presiden Pas.

WARTAWAN SINAR HARIAN
19 SEPTEMBER 2016
 
MARANG – Pas mengulangi pendirian untuk tidak akan bekerjasama dengan DAP, termasuk menjalinkan kerjasama baharu melalui strategi satu lawan satu menentang BN dalam menghadapi PRU14.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tiada kerjasama dengan DAP kerana sikap parti itu yang menentang agenda Islam.

“DAP mungkin tidak kerana sikap parti itu yang menentang Islam. Tiada kerjasama (baharu) dengan DAP.

"Kalau kemungkinan (gabungan baharu dengan parti pembangkang lain menentang BN) juga kita tidak boleh jawab. Kita akan lihat parti lain (dahulu). Kita tidak (mahu) mengulangi senario lama. Akan dikaji,” katanya.

Walaupun belum ada keputusan, namun Pas dilihat bersedia memberi ‘pertimbangan’ kepada parti pembangkang yang lain dalam mewujudkan kerjasama melalui strategi satu lawan satu menentang BN dalam menghadapi PRU14.

Bagaimanapun, keadaan mungkin berubah sekiranya mereka menjalinkan kerjasama dengan DAP.

“Pas tidak akan bekerjasama dengan DAP, juga dengan parti yang bekerjasama dengan DAP,” katanya.

Menjawab tuduhan Dato Husam Musa

Sila baca 10x

KENYATAAN MEDIA SETIAUSAHA POLITIK KEPADA YAB MENTERI BESAR KELANTAN

1. Saya ingin merujuk kepada kenyataan yang telah dikeluarkan oleh YB Dato’ Haji Husam Musa dalam satu sesi ceramah yang telah diadakan pada 16 September 2016. Beliau telah membuat beberapa tuduhan terhadap YAB Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Kelantan.

2. Saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang telah dilemparkan oleh YB Dato’ Haji Husam Musa terutamanya berkaitan pembalakan dan pengambilan tanah Kampung Laut sepertimana disebut dalam ceramah Ahli Dewan Undangan Negeri Salor terbabit.

3. Dakwaan kononnya Menteri Besar Kelantan telah meluluskan banyak kawasan pembalakan secara tebang habis untuk dijadikan ladang getah klon balak (TLC) adalah tidak benar, bahkan menurut Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, semenjak YAB Ustaz Dato’ Haji Ahmad Bin Yakob mengambil alih jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan, tidak terdapat kelulusan bagi projek ladang TLC atau ladang-ladang yang lain dalam hutan simpan kekal dan hanya meneruskan aktiviti pembalakan biasa sepertimana yang telah diluluskan pada pentadbiran yang lepas.

4. Tuduhan YB Dato’ Haji Husam Musa dengan mengatakan kawasan hutan simpan ditebang dan ditanam dengan tanaman Durian Kunyit sebanyak 1000 hektar juga merupakan satu kenyataan yang menyimpang dan berniat jahat. Kerajaan Negeri Kelantan hanya meluluskan sebanyak 100 hektar sahaja bagi tujuan tersebut dengan dikenakan syarat-syarat yang sangat ketat oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan. Jika dilihat kepada angka ini, ia jelas berbeza dengan dakwaan YB Dato’ Haji Husam Musa iaitu sebanyak 1000 hektar. Perlu dimaklumi bahawa dibawah Enakmen Perhutanan Negeri Kelantan, durian diklasifikasikan sebagai tumbuhan hutan dan digalakkan untuk dijadikan sebagai spesis pokok bagi tujuan penanaman semula bagi kawasan hutan yang terjejas.

5. Berbalik kepada tuduhan YB Dato’ Haji Husam Musa dengan mengatakan bahawa keseluruhan tanah Kampung Laut, Tumpat sudah habis diambil oleh Kerajaan Negeri, saya ingin jelaskan disini, keluasan bagi keseluruhan Kampung Laut adalah sebanyak 55 Ekar. Manakala kawasan yang terlibat bagi menjalankan projek Kampung Warisan Kampung Laut hanyalah 2.334 Ekar ataupun 4.2 % daripada jumlah keseluruhan Kampung Laut dan hanya 1.312 Ekar daripada keluasan tersebut melibatkan pengambilan tanah yang terdapat kediaman penduduk. Di samping bayaran pampasan pengambilan tanah, Kerajaan Negeri Kelantan juga telah menyediakan lot-lot tanah beserta unit kediaman kepada penduduk yang terlibat sebagai tapak pemindahan.

6. Oleh yang demikian, saya berharap melalui penjelasan ini dapat memberikan pencerahan terhadap tuduhan yang dilemparkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Saya juga berdoa agar Allah SWT sentiasa memelihara Negeri Kelantan daripada fitnah dan memohon agar Allah SWT memberikan kekuatan kepada pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan untuk terus mentadbir negeri ini dengan penuh dedikasi dan tanggungjawab.

Sekian. Terima Kasih.

HAJI WAN ROSLAN BIN WAN HAMAT
Setiausaha Politik kepada YAB Menteri Besar Kelantan
17 Zulhijjah 1437H/19 September 2016M

Friday, September 16, 2016

Taktik bagi mengalahkan Pas di Terengganu

Membantah syor-syor persempadanan semula bagi Dun-Dun Terengganu 2016 oleh SPR

PAS Terengganu membantah syor-syor persempadanan semula bagi negeri Terengganu sebagaimana yang telah dikeluarkan setelah kajian semula oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bagi tahun 2016. Keseluruhan syor pindaan sempadan itu sangat jelas hanya untuk memenangkan Umno-BN di Terengganu sahaja.

Kelihatan tangan-tangan kotor mula mempergunakan SPR untuk kepentingan Umno. Tindakan ini tidak bersifat demokratik dan cuba untuk tidak bermain di padang yang rata dan adil bahkan menggunakan pula kuasa untuk memindah tiang gol bagi memudahkan Umno, walaupun Umno telah lemah dan kekurangan sokongan terutama di kawasan bandar. Ianya cara yang jelek dengan mengenepikan demokrasi yang sebenarnya, dilakukan oleh parti pemerintah di Terengganu. Setelah tiada penambahan kerusi bagi Dun Terengganu, kerana Umno tiada kuasa 2/3 di Dun dan tahu yang mereka akan kalah pada PRU-14 nanti, maka mereka menggunakan kuasa SPR bagi mengubah sempadan Dun-Dun yang dimenangi oleh PAS dengan sebegitu rupa.

UPU Gelugur sebagai contoh, sebelum ini berada dalam Dun Alur Limbat, telah dialihkan ke Dun Wakaf Mempelam. UPU Gelugur yang mempunyai lebih 5 ribu orang pengundi, diketahui sebagai kubu PAS, dialihkan kerana mereka mahu merampas Alur Limbat secara bacul. Manakala menambah undi PAS di Wakaf Mempelam, tidak membawa apa-apa makna kerana sememangnya Wakaf Mempelam adalah turun temurun kepunyaaan PAS dengan ribuan majoriti. Kesan kedua ialah undi PAS di Parlimen Marang, kerusi bagi Presiden PAS juga akan berkurang ditambah lagi dengan kem FRU yang baharu dibina di Wakaf Tapai.

Di Teluk Pasu pula, PAS menang dengan majoriti 109 undi. SPR telah menukar nama daripada Teluk Pasu kepada Buluh Gading kerana telah menolak UPU Teluk Pasu yang majoriti menyokong PAS, masuk ke Manir. Maka, hampir pasti mereka akan menang Dun Buluh Gading kerana UPU Teluk Pasu tidak dapat membantu. Mereka kekalkan Manir kepada PAS dan cuba rampas Buluh Gading (sekarang Teluk Pasu).

Tidak cukup dengan itu, Dun Tepoh juga dipecahkan. Sebahagian masuk ke Batu Rakit, dan sebahagian daripada UPU Batu Rakit sebelum ini seperti UPU Bukit Wan iaitu UPU deposit Umno, ditolak masuk ke Dun Tepoh. Maka Tepoh yang juga menang hanya 229 undi juga dalam bahaya. Hanya Bukit Tunggal yang agak sukar bagi mereka merampasnya, mungkin kerana tiada UPU kuat Umno di sekelilingnya maka mereka tidak mampu berbuat apa-apa. Kesan ini juga akan dirasakan bagi Parlimen Kuala Nerus yang PAS menang hanya 641 undi sahaja.

Di Parlimen Hulu Terengganu juga tidak ketinggalan mereka merubah sempadan. Dun Kuala Berang yang mana Umno hanya menang 449 undi dan PAS berpotensi menang, SPR telah melebarkan kawasan Dun itu sehingga ke Kuala Telemong yang mempunyai pengundi seramai 2085 orang itu, sememangnya sudah diketahui sebagai kubu kuat Umno. Atas sebab Kuala Telemong telah diambil Kuala Berang, maka Dun Telemong telah diubah kepada Dun Sekayu.

Sementara itu, Dun Jabi, antara Dun harapan PAS untuk menang di Setiu, telah ditambah UPU Gong Batu yang umum sedia maklum, UPU itu adalah kepunyaan Umno. PAS hanya kalah 782 undi, tetapi dengan kemasukan Gong Batu yang ada seramai 850 orang ini, maka hampir pasti Jabi akan kekal bersama Umno dengan majoriti yang dijangkakan lebih banyak.

Dun Rantau Abang juga cuba dirampas dengan mengalihkan UPU Gong Pasir yang berjumlah lebih tiga ribu pengundi ke Dun Sura. Rantau Abang yang dimenangi PAS dengan majoriti 141 itu akan kehilangan majoriti dari UPU Gong Pasir dan kemudiannya bagi melengkapkan lagi rancangan mereka dua UPU dari Bukit Besi iaitu Lintang dengan Nerang yang dikuasai Umno-BN seramai 748 pengundi dibawa masuk ke Rantau Abang.

Di Kemaman, Dun Chukai pula yang berada di tengah Bandar Kemaman, telah dihadiahkan UPU Bandar Baru Cheneh yang kedudukannya hampir dengan Jabor di hujung daerah Kemaman, mempunyai pengundi yang majoritinya Umno seramai 2822 orang. Sementara itu di Dun Ladang, UPU Bukit Depu yang majoriti pengundinya PAS, telah dilonggokkan ke dalam Dun Batu Burok yang sememangnya kerusi tradisi PAS. Oleh itu Umno berpotensi menang di Ladang yang PAS mempunyai majoriti hanya 924 undi.

Maka jelas sekali pengaturan sempadan UPU ini mesti dibantah kerana ia hanyalah bagi memenangkan Umno-BN dalam PRU-14 nanti. Bertambah sukar lagi, persempadanan ini pada dasarnya boleh dibantah, tetapi bantahan itu akan ditentukan oleh SPR juga. Dan malang menjadi berganda kepada rakyat Malaysia yang inginkan perubahan kerana jika SPR tetap dengan keputusannya, tiada apa yang boleh kita lakukan kerana itu hak mutlak SPR yang diberikan oleh perlembagaan yang digubal Umno-BN.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
14 Zulhijjah 1437 bersamaan 16 September 2016

Thursday, September 15, 2016

Perginya Tuan Guru Haron Din Ulama' Tegas dan Cekal

Pagi Jumaat penuh barokah menyaksikanTuan Guru Dr Haron Din (Al Mursyidul Am PAS) telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Perginya seorang ulama' tegas dan cekal dalam mengharungi fitnah mehnah dalam perjuangan. Seorang lagi pemimpin utama PAS yang istiqamah pergi ketika sedang memimpin jamaah, pergi ketika jamaah masih memerlukannya.

Al-Marhum antara generasi awal menyertai PAS. Pernah berguru dengan pemimpin utama PAS pada masa itu AlMarhum Dr Zulkifli Muhammad sewaktu menuntut di Kolej Islam Klang. Antara kata-kata Tuan Guru yang masih segar dalam ingatan ini

"Penyokong PAS sudah ditarbiah bahawa kita berjuang selama ini bukan untuk kemenangan peribadi, kita berjuang untuk kemenagan Islam, untuk mendaulatkan Islam sebagai Adden"

Ulama yang banyak menjadi bahan hinaan pihak tertentu ini tetap konsisten terhadap perjuangannya mendaulatkan Islam. Walaupun Tuan Guru belum pernah menang dalam dalam mana-mana Pilihanraya Umum, ternyata pada hari ini tuan Guru menikmati kemenangan sejati, InsyaAllah.

Tuan Guru, InsyaAllah kami akan meneruskan perjuanganmu tanpa jemu. Semoga rohmu ditempatkan bersama para Anbiya'.
Sekalung takziah buat keluarga Almarhum.

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ...

أَللَّهُمَّ اغْفِرْلَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِعْ مَدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالْثَلْجِ وَالْبَرَدِ، وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتُ الثَّوْبَ الأَبْيَضَ مِنَ الدَّنَسِ، وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ ، وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ ، وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ ، وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ اْلقَبْرِ وَمِنْ عَذَابِ النّار

Akmal hj Kamarudin
Kg Rusila
14 Zulhijjah 1437

Malaysia Kita..kejatuhan..

Bacaan yang sunggoh baik..

1. Selepas Malaysia Airlines @ MAS menamatkan perkhidmatan 6000 orang pekerjanya Jun tahun ini, NAZA di Gurun Kedah juga menamatkan perkhidmatan 300 org kakitangan mereka Ogos lepas..

2. Kilang CCM di Shah Alam tlh ditutup 200 pekerja hilang pekerjaan..

3. Kilang Ansell dan JVC juga di Shah Alam juga tlh ditutup. 200 dan 300 pekerja juga hilang pekerjaan..

4. RHB  Bank akan memberhentikan 2000 org pekerja melalui VES @ Voluntary Exit Scheme. Ianya dilakukan selps CIMB Bank membuang 1800 pekerja di Malaysia dan 2200 di Indonesia..

5. Maybank telah dan sedang melaksanakan ERS @ Early Retirement Scheme. Tdk dpt dipastikan jumlah pekerja yg bakal ditamatkan perkhidmatan..

6. Kuwait Finance House akan menutup seluruh operasi dan perniagaan mereka di  Malaysia. Rundingan sdg dijalankan dgn bank yg akan mengambil alih operasi mrk termsk aset dan liabiliti. Bila berlaku M&A @ Merger & Acquisition atau buy over, sebahagian kakitangan akan ditamatkan perkhidmatan..

7. Hari ini ringgit terus jatuh berbanding USD kpd RM4.35. Dijangkakan ringgit akan terus jatuh sehingga akhir thn..

8. Kadar inflasi akan terus meningkat, pengangguran akan bertambah, dan kuasa beli akan berkurang khususnya pd thn 2016 ni..

9. Sektor2 swasta sdg dlm proses mengurangkan kakitangan dan pengambilan kakitangan baru dibekukan..  

10. Kerajaan akan mengurangkan bajet kpd semua kementerian. PM Najib dah bg isyarat semlm di mana beliau menyeru universiti2 awam mengambil inisiatif mencari dana sendiri dan tdk hanya bergantung kpd bantuan kerajaan..
11. Suasana politik dan ekonomi yg tdk stabil menghalang pelabur dr luar negara dr melabur di Malaysia. Kesannya ekonomi tdk berkembang dan peluang pekerjaan gagal diwujudkan..

12. Lemahnya nilai ringgit dan meningkatnya inflasi menyebabkan kerajaan terpaksa mengimport brg2 dari luar negara dgn harga yg lbh mahal dan membayar hutang dgn nilai yg lbh tinggi..

13. Kesannya ialah cukai yg lbh tinggi akan dikenakan kpd para peniaga yg akan mengakibatkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan..

14. Kesan kpd rakyat juga akan lbh buruk di mana selain dari terpaksa membayar dgn lbh mahal utk barangan dan perkhidmatan, subsidi juga akan ditarik seperti yg telah dilakukan terhdp harga petrol dan diesel. Subsidi2 yg lain juga akan ditarik atau dikurangkan. Kuasa beli akan semakin jatuh..

15. Walaupun ekonomi tdk memberangsangkan, harga rumah akan semakin meningkat. Bank2 akan mengetatkan syarat pinjaman menyebabkan proses membeli dan memiliki rumah semakin sukar..

Semuanya adalah petanda Malaysia sedang dan akan melalui krisis ekonomi yg teruk dan pihak yg akan terjejas dgn teruk ialah rakyat jelata khususnya yg tiada pendapatan tetap, berpendapatan rendah, dan sederhana. Ditambah dgn krisis politik yang semakin meruncing, masa depan negara khususnya kpd generasi muda dan generasi yg akan dtg dilihat semakin kelam dan suram..
Artikel ini agak panjang. Tapi bagus untuk dibaca. Buka pintu hati dan minda (sebab saya sayangkan Malaysia)

Bagaimana agaknya Malaysia tanpa minyak, hutan dan air.

Adakah pemimpin hampir 60 tahun memerintah boleh bawa Malaysia lebih maju?

Banyak pemimpin dalam bn dan pr masih sandar income minyak dalam bajet. Masih mencari pemimpin yang boleh unjurkan ekonomi tanpa semua itu.

Sdikit utk difikir2:

Malaysia, Singapura dan Korea.

Timeline Photos
Norman Liverpool
"KAMU MELIHAT KEBENARAN, KAMU TAHU KEBENARAN TAPI KAMU TETAP MEMILIH KEMUNGKARAN"

Mengapa Malaysia semakin lama semakin tertinggal ???
ANTARA MALAYSIA & SINGAPURA & KOREA SELATAN

"Bismillahirahmanirahim. Saya menulis analisis ini bukan atas kepentingan peribadi. Sebab saya bukanlah org politik, Ketua Cawangan atau JKKKK. Saya juga bukan ahli mana2 parti samada yg berhaluan kanan atau kiri. Saya menulis utk org2 susah...utk diri saya alhamdulillah cukuplah sekadar kehidupan sementara di dunia ini.

Oleh itu sudi kiranya sahabat membacanya tanpa mengira fahaman politik kalian. Bacalah dgn hati terbuka. Mengkritik kerajaan yg ada bukan bermakna benci tetapi mahukan kerajaan kembalikan peranan asalnya utk rakyat teramai ini....terima kasih.

Berdasarkan kenyataan bapak2 Menteri itu, sakit hati tak bila baca kenyataan mereka yg bergelar Menteri apabila ditanya oleh rakyat. Pastinya tergurisnya hati mereka yg telah memberi undi atau kepercayaan utk mereka. Selepas diberi kepercayaan mudah sahaja jawab mereka..."Kalau tak suka...". Jadi eloklah kita panggil mereka ini "Menteri kalau tak suka".

Saya ingin bertanya kpd anda, jika mereka ini menjadi ketua negara Singapura pada tahun 1965 selepas dipisahkan dari Malaysia, apakah yg akan berlaku? Tidak mustahil akan berulang kembali seperti sejarah Sultan Sulu, jual sahaja kpd Inggeris. Kerana apa saya kata demikian...kerana mereka tidak berwibawa utk membela nasib rakyat.

Jadi di sini mari kita buat perbandingan di antara Malaysia dan Singapura dlm pelbagai sudut. Singapura selepas berpisah dgn Malaysia dlm sengketa politik hanyalah sebuah pulau. Singapura bernasib baik kerana mempunyai seorang Ketua Negara yg diiktiraf dunia sebagai antara insan 'genius' di dunia. Saya bukan pemuja Lee Kuan Yew tetapi jujur ada perasaan kagum kewibawaanya.

Bayangkan di'nyah'kan dari Malaysia menjadi sebuah negara yg kecil tanpa minyak dan yg terpenting tanpa air. Nak buat apa??? Kuan Yew bertindak pantas...pertama apa yg dilakukan olehnya ialah menghapuskan rasuah dalam agensi2 kerajaan. Beliau tahu dgn rasuah negara ekonomi sesbuah negara akan hancur. Kemudian dia memulakan ekonomi pasaran bebas.

Anda bayangkan 'genius' atau tidak manusia yg bernama Kuan Yew ini...negaranya tiada air...tapi dgn air yg dibelinya dari Johor, dgn air itu juga dia membuat duit utk negaranya berjuta juta ringgit setahun. Johor pula kaya dgn air, dijualnya air tapi dibeli dgn harga lebih mahal daripada Singapura...heeeeee....lucukan.

Bukan pada air sahaja Kuan Yew lakukan tapi kpd minyak. Negara ini tiada minyak tapi dia mengimport minyak utk ditapis dan dieksportnya kembali minyak dgn keuntungan. Singapura juga menerusi dasar pendidikannya melahirkan pekerja yg mahir utk ekonomi negaranya tidak seperti Malaysia yg berminat mengimport tenaga mahir.

Kerana negara ini hampir sifar rasuah, Singapura berjaya menyakinkan pelabur apabila lebih 3 ribu syarikat melabur ke sana. Tidak cukup dari itu bagi menambah pendapatan negara, Singapura telah menjadikan negara sebagai sebuah pusat kewangan dan teknologi tinggi wilayah. Kini jutawan2 dunia terutama di rantau ini tidak perlu ke Switzerland lagi utk menyimpan wang mereka.

Berbanding dgn Malaysia, kita sepatutnya mampu mengatasi ekonomi Singapura. Kita mempunyai minyak, gas, kelapa sawit, kayu jati, air (dijual kpd Singapura) dan pelbagai lagi. Mengapa kita tidak mampu menggunakan utk menjana ekonomi rakyat?

Kepimpinan negara yg baik, pemimpin kena sentiasa memikirkan bagaimana utk meningkatkan ekonomi rakyat dan bukannya membebankan rakyat. Contohnya dgn sumber alam semujadi yg be
gitu byk Tuhan berikan, kerajaan terpaksa mengambil subsidi rakyat malah duit rakyat utk dikenakan dgn pelbagai cukai. Persoalannya ke manakah duit negara yg byk itu dibelanjakan???

Apa?...'Hidden hand'...Ada teori mengatakan Singapura ketika dipisahkan dari Malaysia mereka telah meminta nasihat daripada Israel utk membangunkan ekonomi Singapura. Dlm erti kata lain Lee Kuan Yew bukan bertindak seorang diri.

Kenapa kata begitu, antara Lee Kuan Yew byk mengikut atau mengkaji apa yg dilakukan oleh Israel (Yahudi). Contohnya, Israel adalah pengeluar rokok terbesar di dunia tetapi 99% rakyat Israel tak merokok. Ini kerana hasil kajian, rokok akan menghasilkan rakyat yg 'dungu' dan berpenyakit.

Sebab itu Singapura melayani rakyatnya yg merokok seperti rakyat kelas kedua. Langkah itu berjaya mengurangkan perokok di kalangan rakyat Singapura. Sebab itu saya tidak menghalang kerajaan Malaysia menaikkan harga rokok kerana ia bagus utk rakyat memikirkan kembali utk berhenti merokok.

Ok tak mengapa...jgn gaduh2. Ye lah Jews bergabung dgn East Jews (bangsa China terkenal juga dgn jolokan East Jews kerana kepintaran mereka) kita terbang ke Korea...Kenapa saya pilih Korea? Korea adalah negara yg jauh lebih mundur dari Malaysia dan pada tahun 1980 ekonomi negaranya sama dgn kita.

KOREA SELATAN DAN MALAYSIA...

Pada tahun 1950...Korea adalah antara negara termiskin di dunia. Ia adalah akibat perang dgn Jepun di mana ketika itu Korea hanya bergantung kpd pertanian sahaja. Menurut ceritanya sekitar tahun 70 an KL jauh lebih maju dari Korea. Tapi kini Korea sudah menjadi negara maju dgn penguasaan teknologinya tinggi.

Kita lihat pendapatan perkapita Korea & Malaysia
a)Korea(1980)-$1845.66
b)Malaysia(1980)-$1804.12

Maksudnya di sini pendapatan Malaysia dan Korea lebih kurang sama pada tahun 1980..
Kemudian lihat apa yg berlaku 26 tahun selepas itu.
a)Korea(2006)-$18,674.44
b)Malaysia(2006)-$5,781

Kita ketinggalan hampir 323% dgn Korea. Sebenarnya sejak thun 1985 lagi Malaysia sudah ketinggalan hampir 200% dgn Korea. Kita berangan nak mencapai negara maju menjelang 2020, sedangkan kriteria utama nak jadi negara maju kena pendapatan perkapita $15K ke atas.

Ketika ini pendapatan perkapita kita hanya $5 sahaja. Hanya keajaiban sahaja yg mampu utk Malaysia muncul sebagai sebuah negara maju yg hanya tinggal 5 tahun sahaja lagi. Agak2 boleh ke kawan2?

Lihat di kala kegawatan ekonomi 1997. Korea lebih teruk dilanda kegawatan. Malah mereka terpaksa meminjam berbillion dari IMF. Tapi mereka bergerak pantas utk menjadi negara maju selepas itu. Sedangkan Malaysia yg kononnya hebat sgt tidak meminjam IMF, masih termengah mengah utk memulihkan ekonominya. Pelaburan asing semakin mengecil, pelaburan swasta dlm negeri semakin menurun. Tentu ada yg tak kena dgn polisi yg ada sekarang?

Dari sebuah negara antara yg paling miskin, mereka kini menjadi negara paling kaya dgn nilai ekonomi trillion. Malah mereka menggunakan NIC atau teknologi nuklear mereka dgn baik. Tapi sayangnya bukannya teknologi Korea ini yg dipelajari atau diminati tetapi Gagnam Style dan K Pop yg sampai dulu walaupun 99% rakyat Malaysia tak faham apa yg dinyanyikan. Malah siri drama Korea menjadi kegilaan rakyat Malaysia...khasnya org Melayu bab hiburan nombor satu....heeee.

Kebangkitan Korea dlm bidang automobil awal sedikit dari Proton. Tapi kini kereta Korea (Hyundai & Kia) menguasai 70% kenderaan di Brunei, terjual 1 juta unit di Amerika dan berjuta di seluruh dunia. Proton masih mencari identiti dan pengaruh di negara sendiri. Malah lebih memalukan rakyat sendiri pun tak percaya termasuk saya.

Selepas sengsara 5 kali tukar gear box kereta Perdana V6 dulu, taubat saya nak menggunakan kereta Malaysia. Bukan sebab kita tak patriotik atau tak sokong kereta buatan Malaysia tetapi bagi saya Proton sendiri mengkhianati penggunanya sendiri..5 kali tukar RM 15 k.

Selain itu antara membuatkan pelik dgn Proton kerana tidak mementingkan bab keselamatan pengguna. Kenapa perlu bezakan kalau beli yang basic, ABS dan airbag tak ada .Kalau beli high-line, semua benda tu ada. Seolah-olah yg kaya kamu mendapat lebih keselamatan jika berlaku kecemasan dari org miskin. Mcm kes kapal Titanic la pulak.

Berbalik kpd negara Korea...mereka sudah jauh pergi dlm peciptaan produk elektronik. Malah mereka menguasai dunia seperti Samsung dan LG. Samsung seperti saya tulis sebelum ini adalah jenama HP yg paling digemari di seluruh dunia..Pelaburan berbillion ringgit kerajaan Korea kepada generasi pelajar2 utk menguasai Sains Teknologi membuahkan hasilnya kini.

Ekonomi Korea Selatan maju sebab rakyat dia berani bersuara. Di sana mereka yg berjawatan pemimpin tak berani nak buat benda2 mengarut macam di Malaysia. Mentaliti rakyat kita masih lagi rendah walaupun pada hakikatnya dan 53 tahun merdeka. Senang je kena tabur janji bagai...bagi BRIM balik pilih benda yg sama . Perlu diingat sampai bile kita nak macamni.

Bagi saya parti politik hanyalah satu wadah. Pembangkang perlu wujud sebagai chk n balance. Saya tak kata kita patut bangkang je apa yg kerajaan buat. Kalau idea bagus, kaedah efisyen, kita pun boleh setuju. Begitu juga kalau ada idea pembangkang yg bagus, kerajaan memerintah patut bersetuju dan laksanakan. Itulah guna pembangkang dlm setiap negara.

Contoh, byk ketirisan yg berlaku dlm pentadbiran. Korea dan Singapura masalah inilah dulu dibasminya (rasuah). Tapi kita cakap bab rasuah mcm halal pula jadinya. Malah rasuah boleh disebut sebagai komisen utk menghalalkannya. Itu sebab Malaysia still tak boleh compete dgn mereka.

Cukup-cukuplah kata ringgit Malaysia semakin mengukuh sedangkan pada hakikat, matawang asing yg lemah. Kalau kukuh, mesti ada beza dalam kuasa beli. Cuba bandingkan dgn nilai dolar Singapura. Kita semakin lama semakin jauh tertinggal.

Suruh rakyat berjimat...ambil subsidi rakyat. Tapi dlm masa yg sama sibuk nak buat Menara Warisan sedangkan kadar occupied ruang pejabat kat Malaysia ni pun masih lgi dalam kadar 60-70%.Ni tambah lagi beribu pejabat kosong buat apa? Bukankah rakyat rasa diperbodohkan.

Lepas tu kita tgk tahap kecerdasan pemimpin kita. Bila rakyat tanya, sakitnya hati bila kita membacanya...sebab apa mereka begitu. Sebab bukan bidang mereka atau ada agenda tersembunyi. Bodohkan rakyat mcm tak rasa bersalah langsung.

Patut letakkanlah seseorang Menteri itu mengikut kebolehan Menteri terbabit. Yg dulunya belajar ekonomi, PM letak dia dekat Menteri Kebudayaan....sebagai contoh. Apa yg dia boleh sumbangkan. Cuba letak di tempat kemahirannya baru la ia berfungsi dgn baik di kementerian terbabit sb Menteri itu tahu tahu kerja dia macamana.

KENAPA MALAYSIA TAK MAJU2...

Ok, persoalannya kenapa kita tertinggal dgn Singapura dan Korea? Malaysia tak maju sebab kekayaan hanya berlegar pada kroni2 terutama utk parti politik sahaja. Rasuah tak pernah menurun. Audit setiap tahun kerajaan hilang antara 20-30 billion tiap2 tahun. Tak tahu sapa yg lesapkan.

Korea minyak tiada, kayu balak tiada, kelapa sawit tak ada, petroleum tak ada, gas tak ada dan Umno tak ada tapi mereka jauh meninggalkan kita. Malah terpaksa berperang dgn Korea Utara lagi. Nak jimatkan kos mereka bawa masuk tentera US . Korea tak buat projek mega, tak buat Istana nak menunjuk2, tak buat rumah PM sampai RM 250 juta. Tapi mereka buat jalan raya yg baik, empangan, budget pendidikan dan sukan yg tinggi utk rakyat mereka.

Selain itu masalah terbesar negara, Malaysia hanya berbangga sebagai bangsa pengguna. Manakala Korea Selatan itu bangsa pencipta . Dlm isu yg lalu saya katakan Pakistan pun dah mampu bina kapal selam sendiri. Sebab itulah mereka boleh pergi jauh, yg kita semakin lama semakin jauh ketinggalan.

UK, US dan Jepun (3 negara maju di dunia) ...mereka ni boleh tukar kerajaan setiap penggal kalau mereka tak puas hati dgn dasar pemerintah. Kita tak boleh kerana jika UMNO tidak memerintah maka muncullah hari kiamat. Rakyat akan mati kebuluran. Jalan raya tidak ada lagi org yg mampu membinanya dan sekolah terpaksa ditutup.

Buat sahabatku sekalian. Sebenarnya ia bukan soal UMNO, PAS atau PKR. Ini soal maruah bangsa. Rasuah (duit rakyat) tetapi digunakan atau diambil berbillion ringgit utk perut individu tertentu. Se
dangkan jika ketirisan itu mampu disifarkan, nescaya kita mampu memberikan pendidikan percuma.

Kerajaan yg baik sepatutnya memikirkan bagaimana utk m embantu rakyat. Bukannya membebankan rakyat. Kerana kegagalan mereka menguruskan dana negara dgn baik atau dilimpahkan kpd kroni masing2, rakyat yg terpaksa menanggung beban tersebut. Umpama anak yg pinjam wang pada Along, habis satu keluarganya diganggu atau diperas ugut. Terpulanglah kpd kalian.

Ada satu peribahasa Inggeris berbunyi, "Anda melihat kebenaran, anda tahu kebenaran itu tetapi anda tetap memilih kemungkaran".
*maaf bukan motivasi, sekadar utk dfikir2kn.. Muhasabah diri.

Sekadar renungan dari Copy & Paste ...

Sunday, September 11, 2016

PERUTUSAN AIDUL ADHA 1437 PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS)

"Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu membuat sesuka hati mengenai syiar-syiar agama Allah, dan mengenai bulan-bulan yang dihormati, dan mengenai binatang-binatang yang dihadiahkan (ke Makkah untuk korban), dan mengenai kalung-kalung binatang hadiah itu, dan mengenai orang-orang yang menuju ke Baitullah Al-Haraam, yang bertujuan mencari limpah kurnia dari Tuhan mereka (dengan jalan perniagaan) dan mencari keredaan-Nya (dengan mengerjakan ibadat Haji di Tanah Suci); dan apabila kamu telah selesai dari ihram maka bolehlah kamu berburu. Dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari masjid Al-Haraam itu - mendorong kamu menceroboh. Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)." (al-Ma'idah: 2)

'Idul Adha dikurniakan Allah SWT dalam Zulhijjah untuk dirai sebagai hari kebesaran oleh umat Islam dengan penuh rasa ke'izzahan dan 'ubudiyah kepada-Nya. Padanya sarat terhimpun segala peristiwa di sepanjang lipatan sejarah yang penuh dengan keagungan dan menjadi iktibar pedoman di sepanjang zaman. Dengan menyatunya peribadatan dan perjuangan, telah sebenar-benar mengangkat martabat manusia di sisi Allah SWT sesuai tujuan ia diciptakan.

Di sana, disyariatkan ibadah korban yang seluruh dunia menjadi saksi ketaatan tinggi umat Islam terhadap Allah azzawajalla. Juga keteguhan kesatuan dan kasih sayang sesama umat atas berjamaahnya mereka dan mengagihkan daging sembelihan untuk saling bersyukur. Malah, membawa pengertian berkait keadilan, perhatian dan penjagaan hak manusia yang mesti diperjuang serta diambil tanggungjawab.

Manakala ibadah Haji menginsafkan kita kepada deklarasi al-Quran bahawa taraf semua manusia sama di sisi Allah yang hanya dibezakan oleh darjat keimanan dan ketaqwaan. Paling penting semua rukun dan agenda Haji untuk mengingatkan manusia betapa mereka akan kembali kepada-Nya, berdepan perhitungan amal kebaikan dan kejahatan.

Semua nilai ini hanya terdapat di dalam Islam, ketika umat manusia dan seluruh dunia bersikap mementingkan diri, dihimpit sengsara konflik, melata kepincangan, pencabulan hak dan kecurangan amanah, serta segala masalah yang memenatkan. Oleh itu, perlunya kita kembali kepada penyelesaian yang rabbani dan menyeluruh iaitu dengan mengambil Islam dan syariatnya untuk didaulatkan sebagai _ad-Din_ agar tercapai kesejahteraan di dunia dan akhirat. Sesuai dengan firman Allah yang juga diwahyukan dalam bulan Zulhijjah:

"Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu."(al-Ma'idah: 3)

Akhirnya, marilah bersama menghayati keterangan dan tuntutan Allah di dalam al-Quran, serta sirah perjuangan keluarga Nabi Ibrahim AS serta cicitnya Nabi Muhammad SAW dan Sahabat RA. Khususnya segala yang berhubung 'Idul Adha, ibadah korban dan haji, agar diambil teladan dalam menegakkan kehidupan dan perjuangan menurut acuan keredhaan-Nya.

"Inilah Penyelesaian Kita"

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

09 Zulhijjah 1437H / 11 September 2016

Thursday, September 8, 2016

Menjawab Fitnah Terhadap TGNA

Saya diminta untuk menjawab, sekurang-kurangnya bagi pihak keluarga, atau sebaik-baiknya atas nama Ketua Pemuda PAS Malaysia, perihal dakwaan oleh seorang bekas pemimpin PAS yang dipecat bahawa jika al marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat masih ada, maka dia akan memilih untuk masuk PAN, parti baru serpihan PAS. Alasan yang diberi, PAS sudah keluar dari landasan asal perjuangan. Kelantan kini tidak lagi Kelantan yang dulu.

Saya kata, saya sudah menjawabnya di laman sosial saya di FB. Pendek dan sinis sahaja. Pada saya ia mencukupi. Sekuntum dua bunga seroja mencukupi untuk dipadankan dengan wajah yang memang sedia ayu dan menawan. Kuntuman segar bunga istiqamah dan amanah yang kembang pada tubuh Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah mencukupi bagi mereka yang mahukan qudwah dan contoh dalam kehidupan beranjau dan berduri ini.

Tetapi sebahagian mahukan yang lebih panjang dan lebih menjelaskan. Setiap fitnah walaupun terlalu teruk untuk dipercayai, akan tetap ada telinga yang sedia menadah dengar sebagai terapi bagi jiwa  yang sudah lama sakit dan tidak sedia diubati lagi. Ia akhirnya hanya boleh hidup melalui ubat pelalian dengan dos yang tinggi. Fitnah dosnya memang tinggi. Akhirnya fitnah jika dibiar berkembang, ia akan membaham mangsa baru yang tidak berdosa.

Hidup seseorang muslim itu nilainya pada hujung hayatnya. Sampaikah dia ke destinasi yang ditujunya. Jika dia menuju Allah, sehebat mana perjalanan hidupnya menuju Allah itu, hebat itu hanya kekal terpakai apabila dia memang sampai kepada Allah di hujung hayatnya. Awalnya, tengahnya sehinggalah hujungnya adalah tauhid. Jika tidak, ia sama sahaja, apa erti hebat memandu dalam perjalanan yang jauh menuju destinasi, tetapi hujungnya berakhir di hospital atau terjun longkang?

Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz, kita meyakini pada zahir yang kita lihat bahawa dia telah mengakhiri hidupnya dalam istiqamah menuju Allah. Hidupnya untuk Allah. Dia berjuang demi Allah.

Demi menjaga kekuatan dirinya dalam perjalanan, dia memilih sedari mudanya untuk mengenderai parti PAS sehinggalah akhir hayatnya. Tak pernah bertukar atau tersentak atau terhenti.

Itu haknya yang nyata. Haknya ke atas semua adalah menyebut istiqamahnya itu. Menyatakan sebaliknya adalah memperlekehkan nilai istiqamahnya dalam hidupnya itu.

Ertinya, jika saya masuk PAN (semoga dijauhi Allah), demi menjaga hak istiqamah ayahanda, saya mesti berkata bahawa saya telah memilih untuk berbeza pandangan daripada ayahanda. Saya sama sekali tidak boleh berkata, jika ayahanda masih ada, dia pun akan pilih jalan saya yang baru ini. Itu perlecehan yang nyata ke atas hak orang yang telah pergi kepada tuhannya dengan penuh kemuliaan.

Itu pertama. Yang kedua, dalam PAS ayahanda Tuan Guru adalah sejarah hidup dan jatuh bangun PAS. PAS membinanya dan dia jugalah yang begitu membina PAS. Dia pernah mentaati dan dia pernah ditaati. Dia memandu dan dia dipandu juga. Puluhan tahun lamanya. Yang tua, yang muda, yang lama dan baru semua pejam celik dengan wajah ayahanda menjadi wajah PAS.

Berapa kali PAS berkrisis dan berpolemik. Terserpih dan pecah. Tewas dan jatuh. Ditertawa dan diperlekeh. Tenggelam dan hilang. Akhirnya saat PAS bangkit, ayahandalah yang di depan menangkis dan menjulang. Dia adalah tanpa was-was dan tanpa ragu-ragu sedikitpun bahawa Islam adalah perjuangannya dan PAS adalah kenderaan dan jamaahnya.

Jika hanya dengan krisis terbaru yang sempat dicium oleh ayahanda sendiri sebelum dia pergi itu dijadikan alasan untuk menukar sinar sejarah perjuangan sucinya dengan PAS yang penuh istiqamah, maka itu adalah perlecehan yang nyata. Mempercayainya adalah penghinaan terhadap diri sendiri bagai melahap bangkai fitnah yang busuk dan menjengkelkan.

Ketiga, saksi-saksi adalah nyata bahawa ayahanda menolak PASMA dan serangan-serangan dalaman oleh beberapa pimpinan PAS pada masa itu terhadap PAS. Saya, keluarga, ahli jamaah masjid Pulau Melaka, apatah rakan-rakan pimpinan PAS di Kelantan dan di luarnya yang lama bersama ayahanda, semua mengecam dan melihat kemarahan dan ketidakpuasan hatinya terhadap tindakan-tindakan mengkritik Majlis Syura Ulama dan presiden PAS sendiri oleh pimpinan PAS yang hari ini berkumpul di dalam PAN dan membedil PAS dengan bantuan DAP sesudah kalah membedil PAS daripada dalam.

Dato Husam Musa jangan menipu diri sendiri bahawa hari-hari akhir ayahanda adalah hari-hari akhir yang tidak indah buat hubungan dirinya dengan ayahanda. Jangan kaitkan dengan alasan sekatan-sekatan oleh keluarga atau sesiapa. Lebih setahun ayahanda berehat dari kerusi Menter Besar sebelum perginya adalah masa yang mencukupi untuk dia memerhatikan seluruh tindak tanduk anak-anak buahnya yang kini bersama bekerja bersama Menteri Besar baru yang menjadi pilihannya.

Kerana tindak tanduk sesetengah pimpinan termasuk Dato Husam yang bersifat 'memberontak' itulah yang mendorong ayahanda secara berterus terang menuntut ahli PAS memberi wala' dan ketaatan yang tidak berbelah bagi kepada Presiden PAS dan Majlis Syura Ulama PAS. Sila rujuk siaran-siaran di akhbar-akhbar pada masa itu.

Adakah anda ingin memperlecehkan persaksian nyata itu dengan senjata fitnah yang membunuh kebenaran dan hakikat?

Keempat, Benarkah Kelantan hari ini sudah tidak lagi seperti dulu?

Ya, Kelantan dulu ada aura Tuan Guru. Kelantan dulu ada style dan cara Tuan Guru. Kelantan dulu ada sentuhan Tuan Guru. Ya, itulah bezanya.

Jadi, adakah itu ukurannya perjuangan PAS di Kelantan berubah? Jika anda berkata ya, saya berkata, padanlah anda masuk PAN pun..

Anda sering menggambarkan yang manis-manis dari zaman Tuan Guru untuk anda bandingkan dengan yang pahit-pahit dari zaman YAB Dato Ahmad Yaakob.

Mengapa kejayaan-kejayaan oleh Dato Ahmad Yaakob yang tak berlaku di zaman Tuan Guru tidak diangkat dan dipuji?

Saya akan menulis mengenainya nanti insya Allah. Kelantan boleh jatuh bila-bila masa pun. Tapi janganlah kerana fitnah dalaman yang memusnahkan sejuta kebaikan sedia berkembang mekar.

Kelantan pernah boleh jatuh bila-bila masa pun pada PRU11 2004 dulu. PAS Kelantan bergayut pada majoriti satu kerusi yang menang dengan kelebihan 2 undi.

Tetapi kerana api fitnah dalaman tiada, PAS mara dan kembali mengukuh sehingga kini.

Pesan saya, siapa pun boleh membakar dengan bahan bakar fitnah. Tetapi ingat, anda tidak akan memuliakan hidup sendiri dengan pekerjaan sebagai pencetus fitnah, bukan pencetus ummah.

Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Friday, September 2, 2016

PAS SEDIA BERPAKAT DENGAN PIHAK YANG SERIUS MEMPERJUANGKAN AGENDA ISLAM

Alhamdulillah. Berikut adalah jawapan saya kepada soalan Wartawan Harakah bila ditanya adakah PAS akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Diterbitkan dalam Harakah Edisi 30 Zulkaedah - 2 Zulhijjah 1437H/ 2-4 September 2016.

Wartawan Harakah: Mohon ulasan saudara selaku AJK PAS Pusat berkenaan isu PAS sedia bekerjasama dengan semua parti termasuk Parti Bersatu demi menjatuhkan BN, ini dinyatakan sendiri oleh Naib Presiden PAS, Dato' Nik Mohd Amar.

Muhtar Suhaili As-Sarawaki: Alhamdulillah. Inilah pendirian dan penyelesaian PAS:

PAS terus sedia berpakat dengan semua pihak yang sedia menerima perjuangan Islam. Namun tidak akan bersama dengan sesiapa sahaja yang tidak setia dan tidak bersedia bersama acuan PAS, berpandukan konsep yang ditunjuk oleh Al-Qur'an, Kalam Allah dan Ilmunya:

وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ

"Dan hendaklah kamu bertolong-menolong untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-menolong pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)." (Surah Al-Maidah, ayat 2).

Dalam kondisi semasa sekarang, fokus PAS ialah memperkukuhkan Blok Ke-3 yang dinamakan sebagai Gagasan Sejahtera (GAGASAN). Ia kini adalah gabungan PAS dan Parti IKATAN sebagai founding members dan pada masa akan datang akan turut dianggotai oleh parti-parti lain (tidak termasuk DAP dan PAN yang mana parti telah memutuskan hubungan dan tidak bekerjasama dengan kedua-duanya).

GAGASAN akan turut melibatkan gabungan NGOs (Non-Government Organizations) dan NGIs (Non-Government Individuals). Perbincangan dengan parti-parti lain termasuk BERSATU boleh diadakan namun fokusnya hendaklah selari ke arah memperkukuhkan GAGASAN.

Usaha parti kini perlu ditumpukan kepada Roadmap PAS Menuju PRU14 & Selepasnya. Roadmap ini mengandungi pelan tindakan dan tawaran PAS untuk Malaysia. Ia dicerakinkan dan dihuraikan kepada beberapa fasa di dalam Wawasan Induk Negara (WIN).

Bagi memastikan syar’iat Islam terus terbela pada masa hadapan, usaha-usaha proaktif bermula dari saat ini perlu digembelengkan dan dipacu. Roadmap kepada usaha melakukan inqilabiyyah iaitu perubahan dengan mencabut jahiliyyah dari akar umbinya sedang diusahakan dan akan dikongsikan hasrat ini kepada akar umbi dalam masa terdekat.

Pemerkasaan Parti, Transformasi Imej dan Halatuju Politik yang dikupas dan dibahaskan ialah bagi memastikan PAS menerajui politik negara dengan solusi Islam. PAS hendaklah berjuang atas PRINSIP dan bukan PERSEPSI.

Ini memerlukan PAS membina jatidiri PAS sendiri dan bertegas dengan strategi dan budaya berasaskan panduan Al-Qur’an dan As-Sunnah. Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang dikembangkan oleh PAS kini adalah selari dengan tuntutan syahadah yang perlu kita pasakkan dalam diri dan masyarakat ke arah menuju Wawasan Islami.

Siiru 'ala barakatillah, teruskan perjuangan! ✅👍

#InilahPenyelesaianKita
#BertekadMelebarMuafakat
#BeristiqamahHinggaKemenangan

Link

"KEYAKINAN ANDA MATLAMAT KAMI"