Google Search :

google search:
Google

Wednesday, March 29, 2017

rahsia kenapa PAS dan DAP terus menerus bersengketa

Akhirnya Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ‘bocorkan’ rahsia kenapa PAS dan DAP terus menerus bersengketa.

Menurut Tuan Ibrahim, ‘Langkah Kajang’ adalah punca utama yang menyebabkan krisis dalam Pakatan Rakyat sekaligus menyebabkan DAP menentang PAS dan terkuburnya gabungan pembangkang itu. Jelasnya PAS ketika itu tidak bersetuju supaya kepimpinan di Selangor ditukar.

“Kita akui tiada sebab untuk tukar Tan Sri Khalid Ibrahim, tiba-tiba tanpa perbincangan mahu tukar, PAS seperti yang diketahui tidak setuju dan berlaku percanggahan sehingga DAP menyerang PAS,” katanya lagi.

Mengikut ‘Langkah Kajang’, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sepatutnya menjadi menteri besar tetapi rancangan itu tidak menjadi kerana tidak mendapat sokongan PAS.

Sebagai kompromi, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali pada September 2014 dipilih menggantikan Khalid.

Bagaimanapun, susulan itu, krisis demi krisis melanda Pakatan Rakyat sehingga PAS dan DAP masing-masing memutuskan tahaluf siyasi atau kerjasama mereka.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata DAP menentang PAS bukan disebabkan isu hudud semata-mata.

Sebaliknya, kata beliau, parti dominasi Cina itu tidak mahu pemimpin parti Islam menjadi ketua dalam mentadbir negara pada masa hadapan.

“DAP ini kenapa serang sangat, sebab Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di dalam (penjara). Dia (DAP) tidak boleh terima kalau PAS jadi ketua. Sebab itu saya kata ada perkara lain.

“DAP ini tidak setuju PAS bawa hudud ke Parlimen. Hudud ini kita mahu buat dan Kelantan sudah menang berapa puluh tahun dah. Bila ada ruang kena bawa lah. Bawa sebab kewajipan,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.

Tuan Ibrahim turut mengulas mengenai tindakan PAN yang didakwa menyerang PAS Kelantan sejak akhir-akhir ini berkata, peninggalan bekas Mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mesti diteruskan jika benar rakyat sayangkan negeri ini.

“Kalau kita sayang kerajaan negeri yang dipimpin oleh tok guru, kita kena pertahankan legasi ini. Kalau serang Kelantan dan hilang Kelantan, maka hilanglah legasi arwah tok guru.

“Hak dia (PAN) nak sokong mana pun tapi untuk pertahankan konteks PAS di Kelantan maka kita pakat dukung legasi PAS di sini. Kalau mahu tumbangkan BN, kita kena cari tempat yang mana kita boleh menang,” katanya lagi.
#Lebai_walaun
#Istiqamah

Sunday, March 26, 2017

Siapa yg pernah sertai himpunan Reformasi 1998, mungkin ingat fakta ini


Reformasi bermula di Kuala Lumpur. Waktu itu tidak ada PKR. Ijtihad Ustaz Fadzil Noor menubuhkan GERAK untuk menjana kebangkitan rakyat membela kezaliman kepada DSAI. Atas ijtihad itu, markaz2 PAS seluruh pelusuk Malaysia menggerak segala keupayaan untuk memastikan gelombang reformasi sampai di setiap tangga rumah rakyat.

Waktu itu pemimpin Reformasi hanya mari berceramah. Segala urusan pgrm sepenuh bulat PAS yang aturkan. Jentera PAS , petugas PAS termasuk saya sendiri yang baru berjinak dengan PAS di kerah menampal poster , menjaga lalulintas, keselamatan dan lain2.

Ketika itu juga media2 Umno menggila. DSAI di serang setiap sudut. PAS mengatur lebih banyak sesi ceramah dan penerangan sebagai usaha serang balas agar rakyat tidak tertipu.

Selepas itu baru tertubuh PKN yang sekarang ini  PKR setelah berlaku gabungan PKN+PRM.
Hasilnya PKR dan PAS banyak  menang di kerusi Melayu majoriti.

Sebahagian pemimpin Reformasi yang dulu tegar kini sudah berpatah arang. Reformasi tidak lagi bermakna. PAS yang dulu berkorban segalanya di anggap hanya menumpang kekuatan PKR.

Senyum...

Wednesday, March 22, 2017

Mengapa Kerajaan Memberi Keutamaan Kepada Syarikat Asing?

Baru-baru ini  Datuk Amar Abang Johari Abang Openg menjadikan China destinasi pertama sejak beliau dilantik sebagai Ketua Menteri,13 Januari lalu.  Beliau menyaksikan majlis menandatangani perjanjian (MoU) antara Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) bersama syarikat pembangunan pelancongan antarabangsa China, Beijing Glory International Culture Development Co Ltd di Nou Hotel, Beijing.  Beijing Glory akan mengambil alih pengurusan beberapa destinasi pelancongan seperti Bako dan Taman Negara Mulu; akan ada penjenamaan semula SEDC Sarawak Plaza.

Mengapa kerajaan Sarawak memberi keutamaan kepada syarikat dari luar untuk mengambil alih pengurusan beberapa destinasi pelancongan tempatan kepada syarikat asing? Adakah rakyat Sarawak tidak mampu untuk menguruskan syarikat pelancongan tempatan yang sedia ada?

Sarawak terlalu bergantung dengan syarikat asing dan pelabur dari luar untuk memenuhi keperluan tenaga pekerja untuk membangunkan Sarawak. Sepatutnya rakyat tempatan diberi keutamaan dulu dalam mana-mana projek kerajaan.

Bila timbul isu kekurangan guru atau tenaga pengajar di Sarawak ada pihak yang tidak puas hati dan buat bising kerana tidak mahu orang luar datang ke Sarawak kononya mereka ini membawa budaya yang tidak sesuai dengan budaya orang Sarawak.

Mengapa kerajaan Sarawak tidak menyediakan pusat latihan atau tempat keperluan yang secukupnya untuk rakyat Sarawak supaya masalah kekurangan ini dapat diatasi sebelum menyalahkan pihak lain.

Mereka yang diambil bekerja itu bukannya orang asing tetapi rakyat Malaysia yang memberi khidmat kepada rakyat Sarawak yang memerlukan tenaga pengajar. Mereka bukannya tinggal lama di Sarawak selepas mereka tamat perkhidmatan mereka akan balik semula ke negeri masing-masing.

Bila isu syarikat asing dan pekerja asing tanpa permit yang datang ke Malaysia yang membawa budaya yang tidak sesuai dengan masyarakat tempatan, mengapa pihak ini membisu. Adakah mereka ada kepentingan sehingga mereka tidak berani bersuara?

Isu seperti China Doll yang bekerja di pusat Reflexi dan pusat hiburan yang melalaikan dan merosakkan remaja tempatan perlu diberi perhatian. Mereka inilah sebenarnya yang merosakkan cara pemikiran dan budaya kehidupan masyarakat tempatan.

Kalau kerajaan Sarawak lebih memberi keutamaan kepada syarikat asing untuk menguasai beberapa syarikat tempatan akhirnya syarikat tempatan sukar untuk menjalankan urusan perniagaan mereka. Syarikat multi-bilion dolar dari luar mampu menguasai syarikat tempatan yang tidak mampu bersaing dengan syarikat gergasi dari luar.

PAS mengesa kerajaan Sarawak memberi keutamaan kepada syarikat tempatan dan mereka yang mampu untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat Sarawak.  Seperti "Projek keajaiban" di Johor, dengan banglo dan rumah berkembar berharga di bawah RM100,000, menyebabkan heboh di sini.  Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar  telah mengumumkan satu projek perumahan untuk rakyat Johor.

Kalau Johor mampu memberi projek perumahan mampu milik untuk rakyatnya mengapa kerajaan Sarawak yang mempunyai keluasan tanah dan punca pendapatan yang banyak tidak mampu memberi kemudahan untuk rakyat Sarawak.

Projek ini perlu diberi kepada syarikat tempatan yang layak dan dapat memberi manfaat kepada rakyat bukan kepada syarikat asing yang hanya mementingkan keuntungan semata. Utamakan rakyat Sarawak dan jangan gadaikan tanah Sarawak kepada pelabur asing demi mencari keuntungan yang akhirnya rakyat Sarawak akan terus hidup dalam kemiskinan dan terpinggir dari arus pembangunan.

Kita harap perkara ini mendapat perhatian serius dari kerajaan Sarawak demi masa depan rakyat Sarawak sendiri. Jangan beri keutamaan pada pelabur asing dan berilah keutamaan kepada rakyat Sarawak sebelum orang lain menguasai tanahair kita.

Jofri Jaraiee
Pesuruhjaya PAS, Sarawak

MUNAFIQIN YANG CEMAS

Ust Abdul Mu'izz Muhammad
Naib Ketua
Dewan Pemuda PAS Selangor
22 Mac 2017 | 23 Jamadilakhir 1438H

Peristiwa Ahzab menyaksikan Islam dikepung dari segenap penjuru. Ketika itu disebarkan analisa bahawa Islam pasti kalah. Lantas terpampanglah sikap munafiqin yang ragu dengan masa depan Islam. Antaranya:

Mengejek masa depan Islam kononnya setaraf jamban.

Apabila golongan munafiqin mendengar jaminan Islam akan menang berdepan dengan pakatan Ahzab, bahkan akan menguasai Rom & Parsi, mereka mengejek:

"Apakah logik Muhammad menjanjikan kita kemenangan hingga dapat menguasai Rom & Parsi sedangkan pada waktu sekarang mahu keluar membuang air besar pun sangat menakutkan"

Bola Mata Berpusing-pusing Cemas.

Allah menggambarkan betapa golongan munafiqin cemas, mata mereka berpusing-pusing tidak boleh duduk diam. Gelabah seakan-akan mahu mampus.

"Kamu lihat mereka memandang ke arahmu dengan mata yang berpusing seperti orang yang mahu pengsan kerana akan mati" - al-Ahzab 19.

Menanti Masa Yang Sesuai Untuk Bergabung Dengan Ahzab.

Golongan munafiqin yang berada di Madinah menanti-nanti berita serangan Ahzab ke atas Islam agar mereka terus boleh bergabung dengan pakatan Ahzab.

"Dan jika (Madinah) diserang dari segenap penjuru dan mereka diminta agar membuat sabotaj (menyertai Ahzab), nescaya mereka akan lakukan dan itu sangat mudah bagi mereka" al-Ahzab 14

Optimis Dengan Islam.

Ahzab adalah perang yang paling mencemaskan. Senario cemas itu sengaja dicipta oleh Allah untuk menzahirkan golongan munafiqin yang licik bermuka-muka.

Hakikatnya tiada pertempuran besar berlaku, melainkan ribut pasir meranapkan motivasi pasukan Ahzab.

Nabi & para sahabat menang kerana optimis mereka dengan janji kemenangan Islam. Sementara itu wajah-wajah munafiqin terdedah seekor demi seekor.

Moga kita bukan di kalangan munafiqin.

KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN SUBANG BERHUBUNG ISU KENYATAAN YB AZMIN ALI

Dewan Pemuda PAS Kawasan Subang (Pemuda Subang) mengecam tindakan YB Azmin Ali (PKR) yang mengeluarkan kenyataan sinis terhadap kekalahan YB Ustaz Nik Muhammad Abduh dalam pemilihan jawatan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Pengkalan Chepa sebagai indikator kepada kemampuan jentera PAS untuk menawan negeri Selangor seluruhnya pada Pilihanraya ke 14 (PRU14) nanti.

Pemuda Subang melihat kenyataan YB Azmin ini sebagai satu gaya pemikiran yang senteng kerana pemilihan jawatan dalaman PAS di peringkat kawasan-kawasan adalah urusan meyusun gerak atur pergerakan PAS di peringkat akar umbi itu sendiri dan sama sekali tidak absah jika ingin dinisbahkan kepada gerak kerja Pilihanraya.

Pemuda Subang ingin mengingatkan kembali kepada YB Azmin bahawasanya keberadaan YB Azmin di kerusi Menteri Besar Selangor adalah hasil daripada ihsan PAS, bukan daripada parti YB sendiri dan kemenangan YB Azmin di Parlimen Gombak juga adalah hasil daripada kekuatan gerak kerja daripada jentera-jentera PAS yang ramai dan sanggup bekerja atas arahan pimpinan.

YB Azmin perlu menyedari hakikat bahawasanya PAS mempunyai kekuatan yang ampuh di peringkat akar umbi. Kesinisan kenyataan YB Azmin ini seolah-olah menjerut leher sendiri tatkala beliau menyedari hakikat bahawa PKR tidak ada kekuatan jentera di mana-mana kawasan sekalipun.

Justeru, Pemuda Subang ingin menyeru kepada semua perwakilan PAS di Muktamar Kawasan masing-masing agar usul memutuskan hubungan politik antara PAS dan PKR mendapat sokongan seluruh perwakilan yang ada.

Di peringkat Dewan Pemuda PAS Kawasan Subang, kami dengan segala kekuatan jentera yang ada  bersedia untuk bertanding di kerusi Parlimen Subang, Kota damansara, dan Paya Jaras pada PRU14 yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Dewan Pemuda PAS Kawasan Subang sekali lagi bertegas akan terus konsisten meyambut seruan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, YB Nik Muhammad Abduh untuk menawan Selangor sekaligus menunjukkan pintu keluar kepada YB Azmin Ali daripada pejabat Menteri Besar dan menyingkirkan YB Azmin Ali daripada kerusi Parlimen Gombak.

Ustaz Hanafi Bin Zulkapli
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Kawasan Subang

Kepada mereka yang tidak yakin dengan cara yg disuruh oleh agama

Saya mengucapkan jutaan perhargaan kpd penulis
CnP

*Kalau ada orang muslim menyokong org kafir kerana kononnya org kafir boleh membangun. maka sampaikanlah pada dia bahwa firaun boleh membangun mesir menjadi negara maju, penduduknya hidup makmur tetapi fir’aun mendustakan Allah, maka Allah hancurkan dia.*

*kalau ada orang Muslim menyokong org kafir kerana kononnya org kafir boleh  membuat negara kita menjadi moden. maka sampaikanlah pada dia bahwa namrud boleh membangun Messopotamia menjadi negara yang moden, bangunan menjulang ke atas dengan teknologi canggih ketika itu. Hanya namrud mendustakan Allah, maka Allah hancurkan dia.*

*Kalau ada orang Muslim menyokong org kafir kerana kononnya org kafir boleh menjadikan hidup makmur, maka sampaikanlah pada dia bahwa Bangsa saba’ boleh membangun negerinya menjadi negara yang makmur, bebas rasuah Dan kaum saba’ mendustakan Agama Allah, maka Allah hancurkan mereka..*

*percaya lah orang yang selalu bersama Allah tidak akan pernah kehilangan apapun, tetapi orang yang kehilangan Allah maka ia akan kehilangan segala nya.*

*Saya tidak benci dengan orang non muslim atau membiarkan muslim yg korup, tetapi Allah dengan firmannya melarang saya untuk memilihnya sebagai pemimpin dan teman setia dan mengetepikan ukhuwwah sesama muslim apalagi jika mereka berani mencampuri urusan agama kami.*

*Saya tidak ingin berdebat dengan Anda yang mendukung mereka, apalagi jika Anda yang orang islam.*

*Bagaimana saya boleh meyakinkan Anda, sedangkan Firman Allah pun Anda abaikan.*

_*Tanyalah orang-orang soleh.*_
_*Mengapa mereka tidak mahu berhibur?*_
_*Nescaya mereka akan menjawab.*_
_*Bagaimana kami mahu berhibur sedangkan,*_
_*Mati itu di belakang kami.*_
_*Kubur itu di hadapan kami.*_
_*Kiamat itu janjian kami.*_
_*Neraka itu memburu kami.*_
_*Dan perhentian kami ialah Allah.*_

_*afala ta'kilun...? tidakkah kamu berfikir...?*_

Kepada mereka yang tidak yakin dengan cara yg disuruh oleh agama, fikir2kan lah...

Tuesday, March 21, 2017

PAS Bersendirian Bertanding Semua Kerusi Di Terengganu

20/03/2017

KUALA TERENGGANU – PAS akan menjadi pembangkang yang unggul dan dilihat sebagai sebagai parti yang layak bertanding pada semua kerusi di negeri Terengganu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Tokoh wartawan dan orang lama PAS, Tuan Haji Subki Abdul Latif berkata, PAS tidak ada pilihan yang banyak buat masa ini, tetapi yakin PAS akan menjadi pembangkang yang kuat.

“PAS akan menjadi pembangkang yang tunggal yang kuat kerana PAS dengan bersendirian dia dapat mengemukakan pendapatnya,

“mungkin pada masa ini PAS tidak mendapat kejayaan yang besar, tetapi pada jangka panjangnya PAS akan menjadi kuat,” ujarnya

Beliau berpendapat, adalah ‘membuang masa’ berbincang dengan parti-parti lain kerana mereka tidak bersedia menerima syarat yang dikemukakan PAS.

Beliau berkata demikian pada sesi temubual dengan Harap TV di sini semalam Ahad, 19 Mac.

“sepatutnya PAS bertanding semua…..dulu pun, dua tiga PRU yang lepas sepatutnya, PAS bertanding semua tapi kerana wujudnya Pakatan jadi kita bahagi-bahagikan kerusi,

“parti-parti yang ada itu memaksa PAS untuk bersedirian…….maka pilihan kita tidak ada, sepatutnya apabila mereka telah berpecah dengan Umno mereka mengikut PAS kerana PAS telah ada dasar ‘PAS Ganti Umno’,” jelasnya.

Menyentuh RUU 355 yang akan dibawa oleh Barisan Nasional pada sidang parlimen, beliau berkata, ia menjadi tanggungjawab kerajaan membawa perkara tersebut.

Katanya, sepatutnya Dato’ Onn Jaafar telah melaksanakan kehendak Islam sejak Malaysia merdeka sebagaimana yang disarankan oleh pemimpin PAS.

Menurutnya, Dr Burhanuddin al-Helmi berkata ketika menerima kemerdekaan, tidak ada kemerdekaan yang sebenarnya, tanpa melaksanakan syariat Islam.

“tetapi apabila PAS sokong, tidak bermakna PAS akan ‘tutup’, kalau PAS tak ada, mungkin dia tak buat, (dan memang) sepatutnya pindaan RUU 355 itu kerajaan yang bawa, tetapi kerajaan gagal bawa, jadi PAS yang bawa,

“kita sudah lama wujudkan enakmen syariah di Kelantan dan Terengganu, jadi dengan yang dibawa oleh mereka sesuai dengan apa yang dkemukakan PAS, kita akan sokong asalkan undang-undang syariah dapat dilaksanakan,” tegasnya.

Menyentuh tentang dakwaan, kononnya Umno bersetuju memberi laluan kepada PAS untuk menguasai beberapa negeri beliau berkata, ia hanya ‘cakap-cakap manis’ sahaja.

Sedangkan hakikatnya, Umno sebenarnya tidak mahu PAS bertanding walau satu kerusi pun.

“Umno ni dia tak akan setuju (parti lain) ambil satu kerusi pun dalam dunia ini! Dia (Umno) nak ambil semua itu hajat dia,” tambah beliau.

Thursday, March 16, 2017

DAP Terus Menyerang

Catatan Parlimen:

1. Selepas rehat tengah hari tadi, giliran YB Gelang Patah, Lim Kit Siang membahaskan Titah Diraja 2017.
Di penghujung ucapannya, sempat lagi Lim Kit Siang membangkitkan isu RUU 355.

2. DAP mengaku mereka perjuang untuk semua tidak kira kaum dan agama. Mereka mahu perjuangkan identiti Malaysia, bukannya atas nama bangsa Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan.
Hakikatnya benarkah pengakuan DAP ini.?
Apa yang kita lihat DAP lebih sibuk menyerang hak orang Melayu-Islam dan lebih mengutamakan hak orang bukan Melayu.

3. Lim Kit Siang mempertahankan bahawa DAP tidak anti-Islam apabila mereka menentang usul RUU 355. Dia menyeru semua orang "grow-up" agar menjadi rakyat Malaysia yang sebenar. Nasihat ini turut dia tujukan kepada  Tuan Guru Presiden PAS.

4. Sebaiknya, Lim Kit Siang membeli cermin dan melihat dirinya sendiri terlebih dahulu. Kononnya mereka perjuangkan Malaysia yang sebenar, hakikatnya DAP begitu keras dan tegas dalam menentang kedudukan Islam yang merupakan agama rasmi persekutuan Malaysia.
Ahli Parlimen DAP begitu lantang mendesak hak orang Islam untuk bebas keluar masuk agama Islam.
Semasa PAS memerintah di Kelantan, Terengganu, dan Kedah adakah rakyat bukan Islam ditindas dan dizalimi oleh PAS.?  

5. Lewat petang tadi, Ahli Parlimen DAP Bandar Kuching pula mempertikai dan memperlekeh para guru agama Islam dari Semenanjung yang datang berkhidmat di Sarawak.
Dia mendesak agar dihentikan kemasukan guru agama Islam dari Semenanjung kerana dikatakan mereka akan meracuni pemikiran murid dengan fahaman ekstrem.
Sungguh, perbuatan ini begitu melampau..!
Para guru itu datang berkorban menabur bakti, berjauhan dengan keluarga demi melaksanakan tugas, DAP dengan semudahnya menuduh para Ustaz dan Ustazah ini jahat.

6. Entah selepas ini apa lagi yang DAP mahu pertikai.?
Kedudukan Mahkamah Syariah yang hanya melibatkan orang Islam sahaja pun mereka mahu pertikai.
Amat malang sekali bagi mereka yang masih bersekongkol apatah lagi menjadi khadam pembela DAP.
Demi merebut kuasa, prinsip agama digadaikan.

Catatan oleh;
Syed Ahmad Fadhli
Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS
15 Mac 2017

Sunday, March 12, 2017

Siapakah yang kamu dustakan?

Kalau ada orang muslim menyokong org kafir kerana kononnya org kafir boleh membangun. maka sampaikanlah pada dia bahwa firaun boleh membangun mesir menjadi negara maju, penduduknya hidup makmur tetapi fir’aun mendustakan Allah, maka Allah hancurkan dia.

Kalau ada orang Muslim menyokong org kafir kerana kononnya org kafir boleh  membuat negara kita menjadi moden. maka sampaikanlah pada dia bahwa namrud boleh membangun Messopotamia menjadi negara yang moden, bangunan menjulang ke atas dengan teknologi canggih ketika itu. Hanya namrud mendustakan Allah, maka Allah hancurkan dia.

Kalau ada orang Muslim menyokong org kafir kerana kononnya org kafir boleh menjadikan hidup makmur, maka sampaikanlah pada dia bahwa Bangsa saba’ boleh membangun negerinya menjadi negara yang makmur, bebas rasuah Dan kaum saba’ mendustakan Agama Allah, maka Allah hancurkan mereka..

Percaya lah orang yang selalu bersama Allah tidak akan pernah kehilangan apapun, tetapi orang yang kehilangan Allah maka ia akan kehilangan segala nya.

Saya tidak benci dengan orang non muslim atau membiarkan muslim yg korup, tetapi Allah dengan firmannya melarang saya untuk memilihnya sebagai pemimpin dan teman setia dan mengetepikan ukhuwwah sesama muslim apalagi jika mereka berani mencampuri urusan agama kami.
Wallahua'lam...
#Istiqamah

Wednesday, March 8, 2017

Catatan Parlimen: Benarkah PAS Tidak Lagi Menentang Rasuah.?


1. Sebahagian pemimpin Pakatan Harapan sering menjaja tuduhan kononnya PAS kini sudah tidak lagi menentang UMNO-BN dalam isu rasuah, mereka mendakwa PAS hanya tahu isu RUU 355 sahaja, dan tidak lagi memperjuangkan isu rakyat.
Benarkah tuduhan ini.?

2. Pemimpin PH semudahnya membuat dakwaan lalu disambung cereka fitnah itu oleh juak tentera cyber mereka di alam media sosial bagi memburukkan imej PAS.
Hakikatnya, saban hari ada sahaja isu rakyat yang PAS suarakan, teguran PAS terhadap kerajaan yang dilontarkan di media.
Adakah mereka ini tak reti membaca atau mendengar atau sebenarnya mereka yang sengaja membutakan mata dan memekakkan telinga.?

3. Lewat petang tadi, Ahli Parlimen Bukit Gantang, YB Ustaz Idris Ahmad yang juga Naib Presiden PAS telah bangun membahaskan Titah Diraja. Isu pertama yang disentuh oleh beliau ialah Bahaya Barah Rasuah.
Beliau menyatakan Laporan Indeks Persepsi Rasuah 2016, kedudukan Malaysia terus merosot ke kedudukan yang ke 55 daripada 176 negara.
Beliau menyebut mengenai kes rasuah yang berlaku di Jabatan Air Sabah, Tekun, Bank Rakyat, JKR, Tabung Haji, DBKL dan skandal tanah di Johor.

4. YB Ustaz Idris menyampaikan ucapan tahniah dan pujian diberikan kepada sekalian Pegawai SPRM yang telah bertungkus-lumus dan berkorban dalam menjalankan tugasan amanah mereka secara profesional. Namun, terdapat kes berprofil tinggi yang akhirnya ditutup, digugurkan pertuduhan. Beliau menzahirkan simpati kepada SPRM dalam hal ini.
Beliau bersetuju dengan saranan Transparency-International Malaysia yang menggesa SPRM agar turut memburu ahli politik yang terlibat dengan rasuah di samping pegawai tinggi penjawat awam yang sudah banyak ditangkap oleh SPRM kebelakangan ini.
Statistik menunjukkan pada tahun 2015, terdapat 670 tangkapan tetapi hanya 2 ahli politik yang ditangkap dan begitu juga bagi tahun 2016 hanya 2 kes ahli politik.

5. YB Ustaz Idris turut memetik kenyataan Presiden Transparency-International Malaysia, Datuk Akhbar Satar berkenaan SPRM hanya ada kuasa menangkap tetapi tidak ada kuasa untuk mendakwa tertuduh kerana ia masih dibawah kuasa Peguam Negara.
Isu integriti amat perlu dititik-beratkan khususnya oleh mereka yang berkuasa sebagai Eksekutif di Kerajaan Pusat mahupun Kerajaan Negeri. Islam sudah pun memperkenalkan konsep Hisbah bagi mengawal selia tatakelola pihak kerajaan.
Kuasa untuk menyiasat dan mendakwa perlu diberikan secara bebas kepada SPRM dan Peguam Negara agar mereka dapat bertindak tanpa pilih kasih dan perbezaan pangkat.

6. Seterusnya, YB Ustaz Idris menyentuh isu TPPA yang kini sudah tidak menentu nasibnya apabila Amerika Syarikat pimpinan Presiden Donald Trump menarik diri daripada perjanjian tersebut. Malaysia perlu mengambil langkah berhati-hati dalam hal geopolitik antarabangsa ini apabila kini dilihat berubah pula kecenderungan ke arah Tanah Besar China. Konflik perebutan wilayah Kepulauan Spratly di Laut China Selatan yang melibatkan tuntutan Malaysia, Brunei, Filipina, Vietnam, dan China. Negara kita akan jadi serba-salah apabila berlaku pertembungan antara 2 kuasa besar iaitu Amerika vs China. Kita mesti tegas dalam menentang campurtangan asing dalam isu ini.
Begitu juga dalam kes yang berlaku sekarang, ketegangan Malaysia dengan Korea Utara. Kita tidak boleh merestui sebarang campurtangan pihak luar dalam menyelesaikan isu ini kerana kita tidak mahu menjadi seperti Iraq, Libya yang telah musnah.
Penyelesaian secara diplomatik dan muwajahah silmiyyah perlu diambil dalam hal ini, bukannya ketenteraan.

7. YB Ustaz Idris turut menyuarakan berkenaan peri-pentingnya pemerkasaan ASEAN dalam konsep 1 Rantau, pemerkasaan OIC dalam konsep 1 Ummah, dan pemerkasaan NAM dalam konsep 1 Kemanusiaan. Kita tidak boleh terlalu berpihak dan bergantung kepada kuasa besar. Usahlah kesemua tender projek mega diserahkan kepada China sehingga mengabaikan kebolehan kemampuan kontraktor anak tempatan sendiri. Mereka mampu melaksanakan kerja reka bentuk kejuruteraan, tanah, infrastruktur, kemudahan penyediaan bekalan air, elektrik, kabel di bandar besar wajar diberikan kepada anak tempatan.

8. Isu kelembapan ekonomi turut disentuh oleh YB Ustaz Idris. Kadar inflasi terus meningkat, kadar penggangguran di tahap 3.5%, dan kadar matawang Ringgit terus menjunam. Rakyat begitu terkesan dengan himpitan semasa sekarang, hutang isi rumah meningkat kepada 88%. Kerajaan menjangka kutipan GST sebanyak RM 40 bilion bagi tahun 2017 berbanding RM 38.5 billion pada tahun 2016.
Hutang Kerajaan Persekutuan pada Jun 2016 sudah mencecah RM 655.7 billion, iaitu 53.2% daripada KDNK.
Terdapat 22,581 belia yang berumur 25-34 tahun sudah diisytihar bangkrap bagi tempoh 2012 sehingga September 2016.

9. Mengapa harga barang terus meningkat.? Negara kita dikelilingi laut, harga ikan kembong mencecah RM 22 sekilo, ini bukan harga ikan bawal, ikan jenahak, udang dan sotong besar. Tanah kita subur tapi kita import makanan dari luar sebanyak RM 22 bilion, tanah rumput menghijau tapi lembu kita import dari Thailand dan Kemboja. Harga makanan terus meningkat kerana kita bergantung kepada negara luar, imbangan dagang kita tidak seimbang. Food security kita tidak terjamin.

10. Di akhir sekali, YB Ustaz Idris menzahirkan kerisauan berkenaan gejala sosial yang kian memburuk. Statistik jumlah penagih dadah tahun 2016 ialah seramai 30,847 orang, 92,678 kes perceraian dalam tempoh 2012-2014, kadar purata kes buang bayi 10 orang setiap bulan, 13,359 kes disiplin pelajar, kadar purata kes buli 250 kes setiap bulan.
Falsafah pendidikan negara yang holistik perlu dibentuk bagi melahirkan insan soleh. Begitu juga persoalan pemerkasaan Mahkamah Syariah perlu didokong oleh semua pihak bagi membentuk masyarakat berakhlak, bermoral dan berintegriti.

11. Apa yang dicatat ini ada dirakam dalam video di youtube dan tercatat di handsard Parlimen. Ianya adalah bukti yang nyata untuk tatapan dan penilaian umum agar rakyat dapat menilai benarkah tuduhan yang dilemparkan terhadap PAS selama ini.?

Mereka menyebar fitnah, kita jawab dengan hujjah, prinsip ini perlu kita guna pakai dalam berhadapan dengan musuh di perang alam maya sebegini.
Jikalau kita diam, mereka kata kita sudah akur dan tidak mampu menafikan tuduhan.
Jikalau kita jawab, pasti mereka akan menepis pula fakta ini.
Usah buang masa, kita terus menerang apa agenda perjuangan PAS yang tidak pernah berubah iaitu Islam sebagai penyelesaian kepada segala permasalahan kehidupan.

_Catatan oleh,_
_Syed Ahmad Fadhli,_
_Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen_
_08 Mac 2017_

Monday, March 6, 2017

DR. ZAKIR NAIK : INTELEK VS EKSTREM?

1. Dr. Zakir Naik dalam ceramahnya sentiasa mengemukakan hujah yang ilmiah dan rasional, tidak hanya berdasarkan sumber-Islam, beliau turut menghuraikan sesuatu perkara berdasarkan sumber agama lain bagi memahamkan pendengar terhadap keindahan Islam dan meyakinkan mereka bahawa Islam adalah agama yang sebenar. Intelek atau ekstrem?

2. Tidak sekadar itu, beliau tidak memaksa sesiapa untuk menerima setiap butir isi kandungan yang disampaikannya bahkan beliau memberikan peluang kepada semua samada bagi menanyakan soalan atau mengemukakan hujah balas terhadap perkara yang telah beliau sampaikan. Beliau bersedia menerima kebenaran yang disampaikan oleh pendengarnya dan membetulkan kesilapan sehingga sanggup menarik semula apa yang telah beliau sampaikan sekiranya dibuktikan bahawa ia salah. Intelek atau ekstrem?

3. Beliau tidak pernah pula memaksa sesiapa pun untuk hadir ke program ceramahnya. Beliau menjemput semua orang untuk hadir tanpa mengira Melayu, Cina atau India dan tanpa mengira agama Islam, Budhha, Hindu atau Kristian sementelah lagi untuk membezakan seseorang itu mengikut parti tertentu. Beliau hanya mengharapkan setiap peserta programnya hadir dengan kemahuan untuk mendapatkan kebenaran. Intelek atau ekstrem?

4. Menariknya (dengan izin Allah) selalu sahaja dalam programnya, ada kalangan bukan Islam memilih untuk memeluk Islam, bahkan bersyahadah di hadapan umum, ditonton oleh orang ramai dengan penuh rasa yakin dan aman. Dr. Zakir Naik tidak pernah memaksa atau mengugut individu pilihan Allah SWT itu sehingga mereka berbuat demikian. Beliau hanya menyampaikan kebenaran yang dinyatakan di dalam al-Quran dan as-Sunnah. Intelek atau ekstrem?

5. Berbanding individu atau kumpulan tertentu itu yang mahu Dr. Zakir Naik diusir dan disekat masuk dari negara ini dengan dakwaan kononnya Dr. Zakir Naik telah mengancam ketenteraman awam, moral, ekonomi, keharmonian sosial dan pendidikan negara bahkan mereka meminta campur tangan AS bagi mengenakan tindakan ke atas Dr. Zakir Naik hanya semata-mata disebabkan oleh sikap-sikap Dr. Zakir Naik yang saya nyatakan di atas. Intelek atau ekstrem?

6. Kemana perginya hak asasi yang mereka laungkan selama ini? Kemana hilangnya hak kebebasan bersuara yang mereka pertahankan selama ini? Kemana hanyutnya semangat dialog intelektual yang diperjuangkan selama ini?

7. Anda berhak untuk menolak dan tidak bersetuju dengan pandangan Dr. Zakir Naik, tetapi tampillah dengan hujjah dan kebenaran.

Oleh : Nasrudin bin Hassan.

Catatan Khas: Tuan Guru Presiden PAS Berbahas, Dewan Parlimen Berubah Bagaikan Dewan Kuliah Universiti

1. Pada tepat jam 12.00 tengah hari tadi, giliran Ahli Parlimen Marang, YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang membahaskan Titah Diraja. Saya tidak menyangka suasana perbahasan menjadi begitu menarik dan mengasyikkan. Sesiapa yang berada di dalam Dewan mahupun menonton secara langsung pasti berasa teruja kerana suasana Dewan yang biasanya gamat dengan pertelingkahan dan bertikam lidah berubah menjadi diskusi ilmiah bagaikan dalam dewan kuliah universiti.

2. Asalnya masa yang diperuntukkan hanya 30 minit tetapi atas budibicara Dato' Timbalan Speaker, Tuan Guru Presiden dibenarkan untuk berbahas selama 1 jam kerana ramai Ahli Parlimen lain daripada BN mahupun Pembangkang yang berminat bangun membuat pencelahan. Mereka bertanya dengan penuh adab tatasusila bahkan ada Ahli Parlimen DAP yang memanggil nama "Tuan Guru" sedangkan kebiasaannya sesama Ahli Parlimen akan memanggil " Yang Berhormat (nama kawasan yang diwakili). Ada Ahli Parlimen BN yang bangun bertanya memulakan dengan lafaz "Subhanallah, Tabarakallah" kerana beliau begitu tertarik dengan isi perbahasan Tuan Guru Presiden.

3. Antara kelainan yang dapat saya perhatikan dalam perbahasan kali ini, Tuan Guru Presiden berucap tanpa teks, hanya sesekali merujuk catatan isi penting, ia membuatkan suasana yang lebih santai, spontan, banyak eye-contact dan gerakan tangan.

4. Di awal ucapan, beliau menyebut perbahasan akan menyentuh 2 perkara yang terkandung dalam Titah Diraja iaitu:

a) Sokongan Yang di-Pertuan Agong terhadap segala inisiatif bagi mendaulatkan Islam sebagai agama persekutuan dan pemerkasaan Mahkamah Syariah.

b) Seruan Yang di-Pertuan Agong agar hentikan berpolitik untuk kepentingan sempit.

5. Berikut adalah intipati utama ucapan perbahasan beliau:

- Seruan transformasi yang diwar-warkan oleh kerajaan perlulah mengikut petunjuk di dalam Al Quran.
Transformasi positif sepertimana dalam ayat 11, Surah Ar Ra'du, yang bermaksud "Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka mengubahnya sendiri"

- Pembangunan insan akan dapat membangunkan negara dan ummat, Allah memulakan Islam di bumi Mekah yang kering, tidak ada apa-apa hasil,
lalu manusia dibangunkan dengan ilmu, akhlak, dan jatidiri.

- Kita kembali kepada Perlembagaan yang diasaskan oleh mereka generasi awal samada di pihak kerajaan dan pembangkang yang sama-sama memperjuangkan kemerdekaan walaupun berbeza dasar dan pendekatan politik. Suruhanjaya Reid telah menetapkan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan iaitu Islam sebagai Agama Persekutuan, manakala agama lain bebas diamalkan, dan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan iaitu Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, dan hak bahasa ibunda masing-masing.

- Yang di-Pertuan Agong menyeru agar mendaulatkan Islam sebagai agama persekutuan. Apabila hendak mendaulatkan Islam, perlulah berpandu kepada agama Islam yang disebut dalam Al Quran iaitu Ad Din dan kaffah (sempurna) sifatnya. Kita jangan terpengaruh dengan takrif agama mengikut Bahasa Inggeris, penjajah kita dan juga yang terkandung dalam Kitab Bible. Tuan Guru memetik :
"Jesus said to them, “Render to Caesar the things that are Caesar’s, and to God the things that are God’s.” ( Mark 12:17)
Ia menunjukkan pemisahan agama dan politik sedangkan Islam agama yang berdaulat. Islam menentang diktator dan teokrasi.
Ayat Quran menyebut mengenai adanya pemerintah yang berlagak bagaikan Tuhan samada bernama raja seperti Firaun dan Namrud, ataupun Al Malak (pemimpin-pemimpin).

[Pencelahan oleh YB DAP Bukit Mertajam- mohon penjelasan lanjut berkenaan tafsiran Bible yang dibaca oleh Tuan Guru]

- Tuan Guru menceritakan tentang sejarah dalam agama Kristian yang menindas golongan ilmuan, manakala golongan agamawan bersekongkol dengan pemerintah, merebut kuasa melalui pengutipan cukai pengampunan dosa. Apabila Tamadun Islam mula mempengaruhi Barat maka lahirlah ideologi Sekularisme yang memisahkan agama daripada politik.

- Apa yang dibawa ke negara ini oleh penjajah British bukanlah ajaran asal Kristian tetapi ajaran yang sudah dipinda bagi menyekat kuasa agama Islam dengan merampas kuasa Raja-Raja. Agama dihadkan kepada sekadar nikah-cerai, pembahagian harta-pusaka, dan wakaf. Kuasa tanah, pentadbiran, dan kerakyatan diambil oleh British. Selepas merdeka, pemikiran British ini patutlah dibuang.

- Usaha pemerkasaan Mahkamah Syariah amatlah dialukan. Apa yang ada hari ini, Mahkamah Syariah lebih rendah daripada Mahkamah Majistret padahal kita sebut Islam adalah Agama Persekutuan. Bagaimana Mahkamah Syariah lebih rendah daripada Mahkamah di daerah-daerah.?
Saranan Yang di-Pertuan Agong agar Mahkamah Syariah diperkasakan amatlah disokong dan dilalukan.

[Pencelahan oleh YB PKR Bukit Katil yang mencadangkan agar Hakim Mahkamah Syariah dilantik oleh Suruhanjaya sepertimana Hakim Mahkamah Sivil, agar mereka bukan sekadar penjawat awam biasa]

- Tuan Guru bersetuju cadangan itu tetapi mahukan aspek yang lebih luas iaitu kadar hukuman. Kuasa hukuman sepatutnya lebih tinggi dan sebolehnya menepati syariat yang sepenuhnya. Dalam hal ini, penganut bukan Islam jangan bimbang kerana wujudnya jaminan dalam Islam iaitu tidak ada paksaan untuk memeluk Islam. Ayat Quran juga menyebut mengenai larangan meroboh rumah ibadah agama lain. Lihatlah di Mesir, masih ada gereja yang dimiliki oleh Kristian Ortodok Koptik yang ada sebelum Islam. di Iran ada rumah api yang dimiliki oleh penganut agama Majusi, di Indonesia alam Melayu ini masih ada candi Borobudur. Ini menunjukkan kebebasan beragama yang dijamin oleh Islam.

- Dalam aspek pelaksanaan undang-undang, orang Islam tertakluk kepada undang-undang Islam tetapi hal ehwal umum seperti trafik jalanraya, undang-undang tetap sama untuk semua yang Islam dan bukan Islam. Contohnya, tidak boleh dibuat lampu hijau untuk orang Islam boleh jalan manakala yang bukan Islam kena berhenti, pasti huru-hara di jalanraya.

[Pencelahan oleh YB BN Rompin yang berpandangan soal pendekatan kita apabila menyebut pemerkasaan Mahkamah Syariah berbanding penekanan Hudud boleh membuatkan orang bukan Islam tidaklah terkejut sangat yang cuba memahami Islam]

- Tuan Guru Presiden menjelaskan dalam Islam adanya undang-undang perlembagaan, perdagangan, keluarga, jenayah, antarabangsa, semuanya ada dalam Islam. Seringkali golongan orientalis menggunakan Hudud sebagai senjata menyerang Islam, hukum potong tangan dijadikan hujjah menakutkan orang bukan Islam.

- Pernah berlaku satu Dialog pada tahun 1971,di antara Vatican City (wakil Barat) dan pemikir Islam yang dianjurkan di Vatican dan Riyadh. Isu potong tangan ini timbul, mereka menyangka apabila ada sejumlah 70,000 pencuri maka kesemuanya dipotong tangan. Mereka tidak sedar bahawa undang-undang Islam sifatnya mendidik, bukan menghukum. Hukuman yang hendak dijatuhkan sangat ketat termasuk ciri hakim, saksi, penjenayah, kadar curian, hubungan pencuri dan mangsa. Mengikut Islam, hakim perlu cari jalan membebaskan pesalah kerana Islam menggalakkan pengampunan dan bertaubat. Apa yang penting undang-undang ini mendidik, bagi menggerunkan penjenayah dan semua orang. Apa yang hendak ditakutkan jika kita tidak mencuri..? Lihat di Arab Saudi adanya keamanan, kedai boleh ditutup hanya dengan kain tanpa kunci yang kukuh mahupun jaga yang gagah perkasa. Inilah kehebatan undang-undang.

- Hukuman sebatan dalam Islam bersifat tidak mencederakan tetapi memalukan pesalah. Hukuman tidak boleh pecah kulit, bukan macam dalam penjara hari ini yang menggunakan rotan yang kuat sehingga tercabut kulit dari isi. Dalam sirah ada seorang tua yang kurus melakukan kesalahan, dijatuhkan hukuman 100 sebatan, orang bertanya kepada Nabi, bagaimana hendak dilaksanakan hukuman ini.? Nabi menjawab, ambil 100 ranting, pukul 1 kali sahaja di khalayak ramai.
Inilah keindahan hukum Islam, janganlah percaya seperti dalam filem yang ingin memburukkan imej Islam.

[Pencelahan oleh YB PKR Penampang yang berpandangan tidak setuju undang-undang agama diperluaskan lagi penguatkuasaannya kerana itu syarat asal kemasukan Sabah ke dalam Malaysia dahulu]

- Tuan Guru Presiden menjawab dalam Perlembagaan Malaysia adanya sistem Federalisme yang memberikan hak agama adalah kuasa kerajaan negeri, maka terpulanglah kepada Kerajaan Negeri masing-masing, Beliau mengimbau kembali sejarah Islam. adanya pemerintahan yang begitu luas daripada India sehinggalah ke Sepanyol di Barat yang turut mengamalkan federalisme, zaman itu tiada lagi internet dan telefon. Raja Najasyi, pemerintah Habsyah yang baru memeluk Islam berhadapan dengan paderi Kristian yang tidak bersetuju dengan beliau, Hudud ditangguhkan berasaskan realiti masyarakat di situ. Ini adalah keanjalan yang ada dalam pelaksanaan Syariat Islam.

*Timbalan Speaker memaklumkan ramai yang berminat dengan perbahasan YB Marang,
[Pencelahan oleh YB BN Bagan Serai yang menyatakan beliau begitu tertarik mendengar penjelasan mengenai undang-undang Islam yang diterangkan oleh Tuan Guru Presiden, beliau meminta pendapat perlukah diubah undang-undang bagi mencegah jenayah dadah yang masih belum dapat ditangani sehingga sekarang.?]

- Tuan Guru Presiden menerangkan adanya 3 bahagian dalam undang-undang Islam iaitu Qisos (hal kecederaan), Hudud (hal moral), dan Ta'zir (hal yang tiada dalam Hudud dan Qisos). Dadah termasuk dalam Ta'zir yang tertakluk kepada budibicara pemerintah. Undang-undang Islam adanya aspek ruh spiritual, ini tidak ada pada undang-undang Barat. Makna spiritual ini ialah seseorang itu percaya bahawa sekiranya dia tidak dihukum di dunia, dia tetap tidak dapat lari daripada hukuman di Akhirat. Sebab itu dalam sejarah Islam, ada pesalah datang serah diri mengaku salah kerana adanya aspek spiritual dalam diri ini. Perbincangan lanjut diperlukan dalam hal ini, kerana masa yang ada sekarang singkat dan bukannya dalam kelas kuliah undang-undang.

[Pencelahan sekali lagi oleh YB BN Rompin bangun mencadangkan agar Perlembagaan sediaada tidak dipinda tetapi Mahkamah Syariah yang perlu diperkasa.]

- Tuan Guru Presiden menjawab ada perkara yang beliau setuju dan ada yang beliau tidak setuju. Islam sebagai agama persekutuan tidak perlu dipinda, tetapi undang-undang lain boleh dipinda seiring dengan perkembangan semasa. Semenjak beliau berada di Parlimen pada tahun 1990 lagi, sudah banyak kali pindaan Perlembagaan dibuat. Ini menunjukkan kita boleh fleksibel, tidak perlu jumud dalam semua perkara.
Contohnya, hukuman gantung sampai mati yang menggunakan tali. Islam menetapkan hukuman bunuh perlu dilaksana tetapi bukan menyeksakan. Hukuman mati tetap perlu ada, cuma kaedah yang berbeza. Dalam Islam adanya perkara Tsawabit (yang sudah tetap, tidak boleh berubah) dan Mutaghaiyyirat (yang boleh berubah mengikut perkembangan.

[Pencelahan oleh YB BN Julau yang bertanya berkenaan berita dalam media bahawa Tuan Guru Presiden mendakwa orang Islam ditawarkan wang oleh gerakan Missionary untuk memeluk agama Kristian]

- Tuan Guru Presiden menjelaskan beliau mendapat maklumat berkenaan wujudnya aktiviti sedemikian seperti di negara Afrika. Dalam Islam pun ada, iaitu wang zakat untuk menggalakkan orang masuk Islam, dalam Kristian pun ada, itu hal agama mereka. Apa yang lebih penting ialah menjaga keharmonian, sebab itu dalam Islam menggalakkan dialog antara satu sama lain bagi berhujjah dengan tidak menimbulkan ketegangan.
Biar kita berbeza pendapat, jangan berpecah.

[Pencelahan sekali lagi oleh YB BN Julau yang berpandangan tidak boleh orang yang dihormati dan bergelar Tuan Guru membuat dakwaan sebegitu terhadap agama Kristian]

- Tuan Guru Presiden berkata terserah kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dan membuat tindakan selanjutnya. Beliau memetik kata-kata Imam Al Ghazali,"agama asas kehidupan manusia, kuasa pemerintahan adalah pengawas, perkara yang tidak ada asas akan runtuh."
Apabila kita tidak mengikut agama, maka akan runtuh kehidupan. Usah percaya dengan Islamophobia, yang mengatakan Islam agama pengganas sedangkan Kristian juga ada pengganas sepertimana di Ireland,pengganas dalam agama Hindu juga ada di India, 2 PM India dibunuh oleh penganut Hindu. Jangan dituduh Islam sahaja.
Sebenarnya, Islam menentang keganasan, menggalakkan hubungan yang baik sesama insan. Islam melarang membunuh kucing, dan boleh memperoleh pahala apabila memberi minum anjing yang dahaga, bagaimana mungkin Islam membenarkan manusia dibunuh sesuka hati.?

- Seterusnya, Tuan Guru Presiden membahaskan betapa pentingnya memartabatkan Bahasa Melayu yang merupakan Bahasa Kebangsaan, bahasa perantara kaum. Bahasa adalah naluri fitrah manusia, yang menjadi medium komunikasi, dan mencari ilmu. Bagi mengilmukan sesuatu bangsa maka perlulah dipelajari dalam bahasa ibunda masing-masing, yang menjadi jiwa bangsa. Mengapa ilmu asas pun hendak dipelajari dengan menggunakan bahasa asing.? Solat itu dalam Bahasa Arab tetapi kita belajar solat dalam Bahasa Melayu.
Mengapa kita tinggalkan bahasa kita sendiri untuk belajar Sains.? Hal ini menyebabkan kaum Bumiputera ketinggalan.
Kita cuba lihat di peringkat antabangsa, ketua-ketua negara asing berucap di PBB dalam bahasa ibunda sendiri.

*Timbalan Speaker menggesa YB Marang membahaskan mengenai isi kedua Titah Diraja berkenaan hentikan berpolitik untuk kepentingan sempit.
Beliau turut memberi izin YB Marang berbahas sehingga jam 1.00 petang.

- Tuan Guru Presiden menjelaskan kita tidak boleh berhenti daripada politik kerana ia adalah sebahagian kehidupan manusia. Namun, yang masalahnya apabila berpolitik melampau, sehingga meninggalkan akhlak, perangai yang baik. Ini tidak elok. Seruan ini kepada semua, tidak dituju kepada pihak tertentu.
Lantas, Tuan Guru Presiden memetik kata-kata Saidina Abu Bakar As Siddiq dilantik sebagai Khalifah Ketua Negara, "wahai tuan-tuan, saya telah dipilih menjadi pemimpin kamu, saya bukan orang yang terbaik. Kalau saya baik, tolonglah saya, jika saya tidak baik, perbetulkanlah saya. Benar adalah amanah, bohong adalah khianat."
Ini menunjukkan budaya memecat pemimpin tidak digalakkan dalam Islam, kita perlu sabar dan memperbetulkan pemimpin.

- Lihat pada Arab Spring, apa yang jadi.? Musim bunga yang tidak berbuah sehingga berlaku campurtangan asing dalam negara yang menghuru-harakan negara.
Walaupun saya tidak setuju dengan kerajaan, tetapi kita sabar.
PAS menyertai arena politik tanah air sejak sebelum merdeka sehingga ke hari ini, parti-parti lain banyak yang baru ditubuhkan kemudian. Kita sabar, kita menang, kita kalah, kita rebah, kita bangun, kita banyak kerusi, kita tiada kerusi langsung, kita tidak kisah, yang penting jangan mengacau rakyat. Ini yang perlu kita jaga betul-betul. (bunyi tepukan sokongan daripada Ahli Dewan).
Saya tidak mengampu sesiapa, orang hendak sokong, sokonglah, yang tidak mahu, tidak mengapa.

6. Tuan Guru Presiden menamatkan ucapan beliau pada jam 12.50 tengah hari. Sesungguhnya, suasana ucapan perbahasan beliau tadi begitu menarik kerana wujud perbincangan dua hala secara ilmiah dan penuh adab. Tuan Guru Presiden dengan berani menyampaikan mesej dakwah Islam secara hikmah dan tegas berprinsip kepada sekalian Ahli Dewan samada yang beragama Islam dan bukan Islam.

7. Sejurus Tuan Guru Presiden menamatkan ucapan, sempat mengiringi beliau ke kereta sambil mengucapkan tahniah atas ucapan yang begitu menarik. Beliau memaklumkan tidak dapat meneruskan ucapan sehingga jam 1.00 petang kerana tekak sudah kering. Beliau bertolak pulang ke Pejabat Agung PAS bagi meneruskan tugasan untuk mpengerusikan mesyuarat parti pula.

Catatan oleh,
Syed Ahmad Fadhli
Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS

Link

"KEYAKINAN ANDA MATLAMAT KAMI"