Google Search :

google search:
Google

Saturday, May 28, 2016

Isu Calon Pilihan UMNO/BN: JANGAN GADAIKAN ISLAM DEMI KEPENTINGAN POLITIK

#Share n #Viral

*Teguran Terbuka*

1. Bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad baru sahaja meninggalkan kita. Tanah Pusara nya masih merah. Sudah pasti, pemergiannya masih meninggalkan kesan bagi insan yang cukup dekat dengan beliau iaitu isterinya.

2. Hari ini UMNO, BN mengumumkan calon yang akan bertanding atas tiket mereka bagi kerusi Kuala Kangsar ialah Datin Mastura balu kepada Allyaharham. Jujur saya nyatakan bahawa ramai dikalangan umat Islam dinegara ini merasa terkejut dan masih mencari  rasional kenapa UMNO/BN sanggup meletakkan seorang wanita yang baru kehilangan suaminya sebagai calon.

3. Cukup-cukup melukakan. Saat baru kehilangan insan tercinta, beliau diarahkan oleh pemimpin UMNO/BN (yang tidak mempertimbangkan batasan agama dan syarak) untuk menjadi calon dalam PRK Kuala Kangsar ini.

4. Menurut Islam,  jelas Allah SWT menyebut di dalam Surah al-Baqarah tentang kewajipan wanita yang kematian suaminya untuk ditahan dalam tempoh iddah.

Disebutkan pada ayat 234 Surah al-Baqarah yang maksudnya:

"Dan orang-orang yang meninggal dunia di antaramu dengan meninggalkan isteri-isteri, (hendaklah para isteri itu) menahan dirinya (ber-iddah) selama empat bulan sepuluh hari."
(Q.S Al-Baqarah : 234)

Seluruh ulama' juga bersepakat tentang kewajipan beriddah selama 4 bulan 10 hari ini (al-Mughni).

Di dalam tempoh iddah kematian suami, salah satu perkara yang perlu dilakukan isteri balu adalah  berkabung atau hidad selama tempoh iddah. Perkara ini juga dapat difahami dalam satu hadis Nabi SAW:

لَايَحِلُّ لِامْرَأًةٍ تُؤْمِنُ بِا اللهِ وَلْيَوْمِ الْاخِرِانْ تُحِدَّ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلَاثٍ (اَيْ ثَلَاثِ لَيَالٍ) اِلَّاعَلَى زَوْجٍ ارْبَعَةَ اَشْهُرٍوَعَشْرًا
Artinya:
“Tidak halal bagi wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat untuk (hidad) berkabung atas mayat lebih dari tiga hari tiga malam kecuali suaminya, yaitu selama empat bulan sepuluh hari.”

Para ulama mazhab sepakat atas wajibnya wanita yang ditinggal mati suaminya untuk melakukan hidad (berkabung). (Rujuk Fatwa Kontemporari, al-Qardhawi)

Bahkan Saidina Umar R.A pernah menyuruh perempuan yang sedang ber-iddah supaya pulang dari Baida’ dengan melarang mereka daripada menunaikan haji. Hal ini kerana iddah itu adalah hak Allah SWT dan hak manusia dari sudut menjaga benih dan nasab suami, sedangkan hak haji itu hanya khusus untuk Allah SWT sahaja.

Hal ini juga dapat difahami melalui kisah yang masyhur yang diriwayatkan dari Zainab Bt Kaab berkenaan kisah Al-Fira'iah tentang ketegasan Rasulullah SAW dalam menyuruh Firai'ah untuk tinggal di rumah, hingga tamat iddahnya.

Walaupun terdapat beberapa pengecualian untuk keluar atas keperluan yang dharurat, ianya mestilah dengan sebab yang kukuh, namun menjadi calon pilihanraya pastinya beliau akan terdedah dengan belbagai perkara yang terkadang melangkaui batasan syarak.

5. Islam menggariskan perkara ini dengan sangat teliti. Ini menujukkan keprihatinan ajaran Islam agar tidak melukakan perasaan keluarga suaminya dengan keluar terus (selepas kematian itu). Bahkan di dalam masa iddah, dia dikehendaki memakai pakaian yang sopan dan tidak berhias serta berlebih-lebihan.

6. Antara tujuan dari panjangnya waktu iddah ialah menunjukkan rasa bersedih (berduka) atas kematian suami. (al-mughni)

7. Nanti saat berkempen calon UMNO/ BN ini semestinya perlu berhadapan dengan masyarakat, bersalaman tidak kira lelaki atau perempuan, terdedah dengan fitnah yang banyak pada dirinya, apatah lagi ini adalah pilihan raya. Persoalannya diamanakah pertimbangan agama Islam dalam diri pucuk pimpinan UMNO sekarang ini? Dimanakah ilmuan dan agamawan UMNO? Adakah cukup sekadar membisu demi survival politik semata-mata?

8. Apakah hanya dengan bermain politik simpati cukup untuk memancing undi rakyat? Terbukti kini UMNO/BN sanggup melakukan apa sahaja demi survival politik mereka.

9. Sebagai penutup, PAS kini terus konsisten membawa aspirasi rakyat. Buktinya pada Pilihanraya kecil ini, PAS mengetengahkan calon yang berpegang teguh dengan ajaran Islam, berkaliber serta profesional untuk berkhidmat kepada rakyat. Politik matang dan sejahtera PAS wajar menjadi pilihan rakyat untuk masa depan Malaysia yang lebih cemerlang.

*Hafez Sabri*
_(Ketua Lujnah Dakwah Dewan Pemuda PAS Malaysia, juga merupakan Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak)_

Friday, May 27, 2016

KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS PERAK

CALON PRK P067 PILIHAN TERBAIK BUAT RAKYAT

1) Dewan Pemuda PAS Negeri Perak menerima dan menyokong keputusan PAS Pusat yang meletakkan Ketua Dewan Muslimat Perak, Dr Hjh Najihatussalehahah Binti Ahmad sebagai calon P067 Parlimen Kuala Kangsar.

2) Dr. Hjh Najihatussalehah Binti Ahmad merupakan anak jati Perak yang dilahirkan di Pasir Kubu, Pulau Tiga Kiri, Perak. Mendapat Tarbiyyah langsung dari ayahanda beliau
Allahyarham Ustaz Ahmad bin Hj Mat Isa, yang merupakan anak didik kepada Almarhum Ustaz Abu Bakar al-Bakir.

3) Beliau merupakan lepasan Sarjana Muda Perubatan, Universiti Malaya yang sangat aktif dalam kepimpinan bermula dari zaman sekolah sehingga menyambung pelajaran di Universiti. Malahan beliau turut aktif dalam penglibatan bersama NGO di Perak.

4) Penglibatan beliau dalam pentas politik PAS di Perak cukup diketahui umum. Beliau merupakan Ketua Dewan Muslimat PAS Perak bermula 2011, juga memegang taklifan Ketua Dewan Muslimat PAS Parit sejak dari tahun 2003. Malahan beliau kini merupakan Pengerusi Lujnah Perpaduan PAS Pusat merangkap AJK Dewan Muslimat PAS Pusat.

5) Dewan Pemuda PAS Negeri Perak telah melancarkan Jentera Pemuda PAS Perak. Kami menyatakan kesediaan dan kesungguhan untuk menggempur Parlimen Kuala Kangsar bagi memenangkan calon PAS.

"Pemuda Istiqamah Peneraju Kemenangan"
"Beristiqamah Hingga Kemenangan"

Mohd Akmah Hj Kamaruddin
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak

USUL PRIVATE BILL; KENAPA PERLU TUNGGU OKTOBER?

Saya mengikuti sedikit sebanyak perbahasan dewan rakyat hari ini. Tentunya isu paling gempar adalah berkenaan private bill dari MP Marang. Alhamdulillah, pindaan RUU Mahkamah Syariah sudah berjaya dibaca buat kali pertama, kejayaan tertinggi buat perjuangan menegakkan syariat Islam di Malaysia sepanjang sejarah. Catatan bersejarah juga adalah kali pertama usul persendirian dari pembangkang diterima oleh pihak kerajaan.

Cuma isu yang sengaja dimainkan sekarang adalah, kenapa usul ini dipilih untuk dibawa ke sesi persidangan Oktober pula? Kenapa tidak diteruskan alang-alang sudah berpeluang?

Isu ini timbul kerana kita hanya ambil berita sekerat. Hanya ikuti dari laporan-laporan media punya bermacam niat lain. Saya yakin jika kita cuba memahami situasi dewan ketika usul ini diizin untuk dibaca oleh speaker, saya rasa semua boleh menerima pendirian MP Marang tersebut.

Ini kerana;
1. Belumpun lagi usul itu dibaca, rakan pembangkang dari Dap dan Pan sudah bising dan menunjukkan sikap tidak senang. Antara alasan yang dikemukan adalah kenapa terlalu tergesa-gesa? Isunya sangat besar kerana melibatkan perubahan undang-undang? Kenapa tidak bincang dulu dengan berbagai pihak?

Persoalan ini asasnya sangat tidak relevan, kerana menjadi kebiasaan parlimen berbincang berkenaan perubahan undang-undang. Itulah peranan utama dewan rakyat. Kalau bukan dewan ini, dewan mana lagi perlu dibahas? Lagipun senarai usul telah dibekalkan awal bagi setiap ahli parlimen dan ini bukan kali pertama ia tersenarai. Sebagai ahli parlimen, sangat tidak profesional jika todak bersedia dari awal. Usul ini telah dibawa ke mahkamah, telah ditubuhkan jawatankuasa khas. Di mana tergesa-gesa itu?

Apapun, TGHH melihat dari aspek dakwah. Oleh kerana mereka dilihat masih belum bersedia ekoran menyangka mustahil kerajaan akan mengizinkannya sepertimana sesi lepas, maka TGHH beri peluang untuk mereka sekali lagi mengkaji soal syariat Islam. TGHH mungkin tidak mahu ia dibincang di bawah pengaruh emosi dan tanpa fakta lengkap. Mudah-mudahan mereka boleh mengkaji sedalamnya berkait syariah Islam dari segala aspek.

2. Tempoh masa yang sempit. Hampir jam 3 petang baru diizinkan untuk dibaca. Mesyuarat dijadual berakhir 5 petang. Jika diteruskan huraian usul mungkin tidak dapat dilanjutkan kepada perbahasan. Ia juga mungkin akan mengundang fitnah dan prasangka ahli dewan bukan Islam kerana usul di no.15 diawalkan mengatasi turutan nombor sebelumnya.

Maka lebih baik jika penerangan tentangnya ditangguh terus ke sesi Oktober nanti dalam tempoh masa yang lebih luas. Biarlah perbincangan ini dilihat lebih matang.

3. Ada MP-MP muslim yang dilihat tidak bersetuju ia dibentang. Kemungkinan atas pengaruh emosi separa sedar. TGHH bimbang jika diteruskan dalam keadaan gawat itu, akan terpacul kata-kata yang boleh menjejaskan akidah mereka. Biarlah mereka diberi masa yang luas untuk mengatur kata agar lebih berhemah sebagai seorang muslim.

Adakah kita masih berpeluang? Kenapa tidak? Keadaan telah mendesak pihak kerajaan untuk tidak lagi menolak usul ini. Kini semua mata akan tertumpu kepada reaksi. Secara politiknya tiada ruang lagi untuk mereka berundur. Kalau mereka kemudiankan, akan terdedah sikap mereka dihadapan rakyat sekalian. Kita tidak rugi apa-apa.

Apapun, kita sudah melakar sejarah baru hari ini. Kita telah bersabar hampir 70 tahun untuk saat seperti ini. Maka tidak salah untuk terus bersabar menunggu beberapa bulan lagi untuk langkah-langkah seterusnya. Tidak perlu terburu-buru dalam perkara yang begitu penting ini. InsyaAllah, dengan tenang dan cermat kita mengangkat martabat Islam.

(Alang Ibn Shukrimun)

Thursday, May 26, 2016

Sejarah Terukir Indah, Kami Bersamamu Tuan Guru

Catatan Khas:

1. Hari ini, 26 Mei 2016 adalah detik yang begitu bersejarah buat PAS kerana Presiden PAS, YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang merupakan Ahli Parlimen Marang telah diberikan laluan oleh pihak kerajaan untuk membentangkan Rang Undang-Undang Ahli Persendirian yang bernama Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016.

2. Antara pimpinan PAS yang turut hadir bersama di dalam dewan ialah Timbalan Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim, Bendahari PAS, Tuan Haji Mohamad Noor, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah, Setiausaha Politik Presiden, Dr Samsuri, Bendahari Dewan Pemuda PAS Pusat, Muhtar Suhaili.
Kesemua 14 orang Ahli Parlimen PAS juga berada di tempat masing-masing ketika usul dibentangkan.

3. Sesungguhnya, perjuangan itu destinasinya jauh, lama masanya, penuh  onak ranjau yang menguji kita semua. Usul Rang Undang-Undang Ahli Persendirian ini dihantar oleh Tuan Guru Presiden PAS seawal sidang Mac 2015, kemudian sidang Jun 2015, dan sidang kali ini adalah percubaan kali ketiga.
Pada tahun lepas, Tuan Guru Presiden PAS cuba dihalang untuk membawa usul ini apabila DAP khususnya mengugut dengan perpecahan Pakatan Rakyat.
Tuan Guru  Presiden PAS juga disaman oleh pihak NGO tertentu yang memaksa beliau menangguhkan dahulu hasrat untuk menghantar usul tersebut pada sidang Oktober 2015, sehinggalah urusan Mahkamah diselesaikan.

4. Tidak sampai hati ini untuk menulis kembali apa kata nista, kutukan, gelaran, dan perli yang dilemparkan kepada Tuan Guru Presiden PAS apabila beliau menghantar Usul Rang Undang-Undang Ahli Persendirian ini. Beliau dituduh pro-UMNO, ditipu UMNO, dibeli oleh PM Najib dan bermacam lagi tuduhan.
Walaupun demikian, beliau tidak pernah berganjak, tidak kenal erti putus asa  untuk terus berusaha sehingga berjaya. Kerana perjuangan itu bukanlah sekadar dinilai bila menangnya.?, tetapi apa usaha yang sudah dibuat.?

5. Sesi pembentangan usul hari ini bermula pada jam 2.30 petang tetapi tergendala lebih 30 minit kerana Ahli Parlimen DAP dan PAN (yang membawa lari kerusi PAS) telah berganding-bahu menentang dan cuba menyekat daripada usul ini dibentangkan oleh Tuan Guru Presiden PAS. Bayangkan, belum pun lagi usul itu dibacakan oleh  Tuan Guru Presiden PAS, mereka sudah pun bangkit mempertikaikan mengapa tiba-tiba usul ini diberi keutamaan dan mendesak undi belah-bahagi dibuat di peringkat itu.
Tan Sri Speaker menerangkan dengan panjang lebar berpandukan Buku Peraturan Mesyuarat yang sememangnya memberikan keizinan kepada pihak kerajaan untuk mendahulukan usul yang kerajaan kehendaki.

6. Saya masih ingat, dahulu, golongan yang menentang inilah yang begitu galak bertanya mana Undang-Undang Hudud.? Mereka memperlekehkan PAS kerana kononnya sudah ditipu dan diperangkap UMNO.
Kini, apabila Rang Undang-Undang Ahli Persendirian Marang berjaya dibentangkan, mereka menuduh pula ini adalah agenda politik sempena PRK, sedangkan RUU ini sudah pun dihantar ketika PAS dalam Pakatan Rakyat pada tahun 2015 lagi.

7. Daripada raut wajah Tuan Guru Presiden tergambar kegembiraan beliau yang tidak terhingga pada hari ini. Beliau tidak menghiraukan pun segala halangan yang mendatang, beliau tetap Istiqamah berjuang.
Bukankah ini ciri pejuang sejati, ulama pewaris Nabi.?
Permata ummah inilah yang memimpin kita semua agar tetap berada di landasan wahyu Al Quran dan as-Sunnah.

8. Jika ada yang bertanya, mengapa pula  Rang Undang-Undang Ahli Persendirian ini ditangguhkan perbahasannnya pada sidang akan datang..?
Ini jawapannya, hari ini adalah hari terakhir Sidang Dewan Rakyat bagi sesi kali kedua tahun ini.
Masih terdapat 2 Rang Undang-Undang Kerajaan iaitu RUU Pertahanan Awam, dan RUU Pengangkutan Jalan yang berada di giliran lebih atas perlu diselesaikan perbahasannya.
Rang Undang-Undang Ahli Persendirian yang dibentang oleh Tuan Guru Presiden PAS itu baru sahaja dikemukakan kepada Ahli Dewan pada hari ini, maka bukankah lebih elok perbahasannya dibuat pada sidang Oktober nanti agar kesemua pihak dapat membuat persediaan yang secukupnya. PAS bukanlah golongan yang gopoh dalam berjuang, kita perlu cermat dalam bertindak dan usaha pelaksanaannya juga secara tadarruj (berperingkat), bukan mengejut sekaligus.

9. Rang Undang-Undang Ahli Persendirian Marang ini adalah bagi meminda Akta Mahkamah Syariah agar kuasanya diperluaskan. Ia adalah selaras dengan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Seruan yang sama bagi memperkasakan Mahkamah Syariah telah dizahirkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam titah baginda ketika merasmikan sidang Parlimen pada Mac lepas.
Kepada DAP, usahlah begitu menggelupur kepanasan kerana RUU ini melibatkan urusan hal ehwal ummat Islam sahaja.
Atas semangat demokrasi yang dilaung oleh DAP itu, mengapa pula mahu dihalang usaha PAS melaksanakan syariat Islam dengan menggunakan hak demokrasi kami.?
Kepada Ahli Parlimen Muslim samada daripada UMNO, PBB, PKR, PAN dan DAP, ayuh bersama PAS bagi memartabatkan Islam di tanah air tercinta ini.

10. Sekalung tahniah dan penghargaan buat Tuan Guru Presiden PAS atas kejayaan membentangkan usul hari ini. Kami bersamamu untuk terus melangkah ke hadapan.

Catatan oleh;
Syed Ahmad Fadhli,
Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS
(9.12 malam, Pejabat PAS, Tingkat 14, Menara Parlimen)

PAHALA USUL INI BERKEKALAN, INSYAALLAH...PAS TAWAU...MENCETAK QIADAH MASA DEPAN

Hari Ini Dalam Sejarah PAS: Muktamar Tahunan PAS Terima Usul PAS Ke Sarawak  (25 Mei 1990)


PADA hari ini dalam tahun 1990, Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-36 telah dibuka oleh Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor dengan tema 'Maju Bersama Islam' yang berlangsung pada 25-27 Mei 1990 di Taman Melewar telah bersetuju dengan usul PAS Kawasan Tawau supaya PAS berkembang ke Sarawak. Selain merupakan muktamar pertama setelah Ustaz Fadzil Mohd Noor dilantik sebagai pemimpin tertinggi PAS, muktamar ini juga adalah yang terakhir sebelum PAS menghadapi Pilihan Raya Umum Kelapan pada 21 Oktober 1990. Dalam muktamar ini, PAS telah membincangkan persiapan terakhir dalam menghadapi Pilihan Raya Umum 1990 termasuk isu hubungan PAS-APU, kedudukan DAP dan juga pengembangan PAS di Borneo.

Sebelum ini, PAS telah beberapa kali merancang untuk berkembang di Sarawak, tetapi tidak menjadi kenyataan. Pada akhir 1961, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Prof Zulkifli Mohammed telah membayangkan rancangan PAS untuk berkembang di Borneo, termasuk Sarawak. Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-10 pada 5-6 Januari 1962 pula bersetuju supaya PAS bergerak di Sabah dan Sarawak. Namun begitu, ketika PAS Sabah ditubuhkan pada Ogos 1964, PAS tidak berbuat demikian di Sarawak sehingga Konfrantasi Indonesia memuncak pada awal 1965. Perubahan politik Sabah ekoran kemenangan Parti Bersatu Sabah (PBS) pada 21 April 1985 telah mendorong Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 25 Mei 1985 memutuskan untuk membuka semula PAS Sabah dan pada September 1985, PAS mengumumkan untuk membuka sayapnya di Sabah dan Sarawak. Sehingga PAS Sabah berjaya ditubuhkan pada 19 Mei 1986, tidak ada sebarang usaha serius untuk menubuhkan PAS di Sarawak.

Dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-36 pada 25-27 Mei 1990, PAS Kawasan Tawau yang melihat bahawa "tidak ada keupayaan badan-badan Islam untuk menangani masalah umat Islam di Sarawak," telah mendesak PAS supaya segera berkembang di Bumi Kenyalang itu. Penerimaan usul PAS Kawasan Tawau kemudiannya diperbaharui oleh Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-39 pada 11-13 Jun 1993 untuk PAS segera masuk ke Sarawak. Hasilnya, sebuah Jawatankuasa Penaja PAS Sarawak telah ditubuhkan pada 1994 diketuai oleh Ustaz Mansor Din. Mulai sesi 1995, PAS Pusat telah melantik Pesuruhjaya PAS Sarawak secara rasmi dengan Cikgu Mohd Shokri Mohd Fauzi sebagai pesuruhjaya yang pertama.

PAS Sarawak kemudiannya mengorak langkah dengan melancarkan penubuhannya secara rasmi pada 26 Mei 1996. Majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Abu Bakar Chik di Hotel Impiana, Kuching ini menandakan bermulanya sejarah rasmi PAS Sarawak. Pendaftaran PAS Sarawak kemudiannya diluluskan pada 25 September 1996. Sejak ditubuhkan, PAS Sarawak telah dipimpin oleh beberapa pesuruhjaya iaitu Ustaz Mansor Din (Pesuruhjaya Penaja, 1994-1995), Cikgu Mohd Shokri Mohd Fauzi (1995-2003), Haji Adam Ahid (2003-2009 dan 2010-2015) dan Ustaz Othman Mustapha (2009-2010). Ekoran kematian Haji Adam Ahid pada 17 Ogos 2015, mulai 18 September 2015, Haji Jofri Jaraiee dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Sarawak yang baru.

PAS Sarawak yang mula berkembang pesat melalui penubuhan Dewan Pemuda PAS Sarawak pada 2001, diikuti oleh Dewan Muslimat dan Dewan Ulamak PAS Negeri, telah pun mempunyai tujuh buah PAS Kawasan iaitu Petra Jaya, Barang Lupar, Sibu, Mukah, Miri, Bintulu dan Santubong. Dalam Pilihan Raya Umum Ke-10 pada 29 November 1999, buat pertama kali PAS bertanding di Sarawak di Parlimen Batang Lupar, sebelum PAS Sarawak menyertai Pilihan Raya Negeri pertama kali pada 25 September 2001. Dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak yang terkini pada 7 Mei 2016, PAS Sarawak telah meletakkan 11 calon termasuk calon wanita dan bukan Islam.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
25 Mei 2016

Pindaan Akta 355 SEJARAH TERCIPTA; USUL PERSENDIRIAN MEMINDA AKTA 355 DIBENTANGKAN DI PARLIMEN OLEH PRESIDEN PAS

Allahuakbar....Alhamdulillah usul selesai utk first reading. Perbahasan ditangguhkan pada sesi seterusnya.

*Pindaan Akta 355*

Alhamdulillah hari ini adalah hari terakhir sidang parlimen bagi Penggal Keempat Mesyuarat Kedua, Rang Undang-Undang bernama Suatu Akta untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 telah berjaya dibentang oleh Yb Ahli Parlimen Marang Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang di parlimen hari ini atas usul  412 dari Yb Menteri.

Meskipun terdapat bantahan keras dari Ahli-Ahli Parlimen DAP yang cuba menghalang usul pindaan ini dibentang, namun keputusan Tan Sri Speaker Pandikar Amin Mulia membenarkan Ahli Parlimen Marang membentangkan usul pindaan Akta Bidang Kuasa Mahkamah Syariah.

Perbahasan bagi menyempurnakan bacaan kali pertama ditangguhkan ke persidangan akan datang. Persidangan akan datang yang terdekat bagi penggal keempat ini ialah mesyuarat ketiga yang dijangka berlangsung pada 17 Oktober 2016 akan datang.

Alhamdulillah, semoga Allah swt mempermudahkan urusan perjuangan ini.

Allahu Akbar !!

_Nasrudin bin Hassan_
_Ketua Penerangan PAS Pusat._
RUU Meluaskan BIDANG KUASA MAHKAMAH SYARIAH DI MALAYSIA DIBENTANGKAN DI DEWAN RAKYAT

Alhamdulillah. Pembentangan Usul Rang Undang-undang (RUU) Persendirian Ahli Parlimen Marang YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah dibacakan pada hari ini di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia.

Speaker Tan Sri Pandikar Aman Mulia membenarkan Usul Kerajaan untuk RUU Ahli Parlimen Marang didahulukan dalam senarai peraturan mesyuarat meski dibantah oleh Ahli-ahli Parlimen DAP, PSM dan PAN.

Rang Undang-undang (RUU) pindaan itu adalah untuk menambah bidangkuasa Mahkamah Shariah di Malaysia.

Allahu Akbar, Wa Lillahil Hamd!

@Muhtar Suhaili As-Sarawaki, Live dari Parlimen Malaysia.

#mantiip

Wednesday, May 25, 2016

Jangan mengambil sikap menyusahkan

RM792 juta janji di PRN Sarawak, berapa banyak pula untuk PRK Sg Besar dan Kuala Kangsar?

Menurut Menteri di JPM Datuk Seri Azalina Othman, kerajaan BN telah menjanjikan 400 projek bernilai RM792.34 juta untuk Sarawak sempena pilihanraya negeri.

Berapakah jumlahkah yang kerajaan pusat BN bakal janjikan pula sempena pilihanraya kecil (PRK) Sg Besar and Kuala Kangsar yang bakal menjelang memandangkan dua PRK ini menjadi referendum penting bagi nyawa politik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak?

Di pilihanraya umum ke 13, kempen BN dikatakan dibantu menggunakan dana derma saudagar Arab. Dana siapa pula yang bakal digunakan untuk kedua-dua PRK kali ini? Dan dana mana pula yang digunakan ketika di PRN Sarawak?

Melihat cara BN berkempen dengan janji RM792 juta di Sarawak, tidak dinafikan PRK Sg Besar dan Kuala Kangsar bakal menyaksikan satu petempuran sengit antara BN dan PAS.

Saya percaya tiada siapa di kalangan pembangkang yang ingin terus melihat bagaimana PM and pemimpin BN membuat kenyataan seperti “GST diterima rakyat”, “Rakyat percaya tiada salahlaku pada derma RM2.6 bilion”, “BN sememangnya menjaga rakyat”, “Rakyat percaya PM tidak terlibat dengan 1MDB”, “BN kerajaan yang bersih” dan sebagainya sekiranya BN memenangi PRK ini seperti yang terjadi di Sarawak.

Diharapkan pihak pembangkang yang tidak sudi membantu PAS, jangan mengambil sikap menyusahkan sambil memudahkan kerja BN mencapai kemenangan di kedua-dua PRK ini.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
25 Mei 2016

Link

"KEYAKINAN ANDA MATLAMAT KAMI"