Google Search :

google search:
Google

Friday, February 10, 2017

Demam Purple:Dataran Merdeka ke Padang Merbok

Oleh : Tuan Ibrahim bin Tuan Man,Pengerusi Sekretariat H355_

1. Alhamdulillah, hari ini secara rasminya telah dimuktamad dan diluluskan Padang Merbok Kuala Lumpur yang terletak berhampiran dengan Dataran Merdeka sebagai lokasi yang dibenarkan untuk Himpunan 355 pada 18 Feb 2017 kelak.

2. Sebelum ini, pihak Sekretariat H355 telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan Dataran Merdeka sebagai lokasi Himpunan 355 tetapi ianya telah ditolak oleh pihak DBKL. Malah rayuan pihak kami juga telah ditolak.

3. Namun kami Sekretariat H355 mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kerana akhirnya pihak DBKL membenarkan Himpunan 355 diadakan di Padang Merbok yang terletak tidak jauh dari lokasi asal iaitu Dataran Merdeka. Malah keluasan antara keduanya juga tidak jauh berbeza.

4.  Rombongan Sekretariat H355 yang diketuai oleh Pengarah Himpunan 355 YB Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi dan Setiausahanya sdr Kamaruzaman Mohamad  hari ini telah menemui En Norazam bin Mohamed Nor Timbalan Pengarah (Hortikultur) DBKL di pejabat beliau Menara DBKL 3 Jalan Raja Abdullah Kuala Lumpur bagi membincangkan beberapa perkara penting berkait kelancaran Himpunan 355 kelak.

5. Pada jam 2.30 petang tadi pula, pertemuan bersama ACP Mohd Sukri Kaman, OCPD Dang Wangi telah dilangsungkan bagi tujuan yang sama dan mendapat permit himpunan dari pihak PDRM.

6. Justeru itu, seluruh rakyat Malaysia dijemput hadir mengimarahkan Himpunan 355 dan men"purple"kan Kotaraya Kuala Lumpur dengan semangat kesatuan dan kemuliaan ummah dan pastinya ia bakal menjadi himpunan bersejarah ummat Islam serta seluruh rakyat (tanpa mengira agama dan bangsa) yang menghormati hak ummat Islam untuk beramal dengan syariah Islam yang diwahyukan oleh Allah swt. Tuhan Yang Maha Mencipta.

7. Himpunan 355 ini bukan sahaja aman tetapi sarat dengan pengisian yang akan membina spiritual, mental dan fizikal secara santai melalui acara dan aktiviti menarik yang akan dipersembahkan kepada peserta himpunan. Bahkan himpunan ini dianjurkan dengan penuh semangat persaudaraan lantas memupuk kesejahteraan melalui usaha memperkasakan syariah Islamiyah.

8. Himpunan 355 ini secara rasmi ya akan bermula seawal jam 2.30 petang sabtu 18 Feb 2017 sehinggalah bersurai pada jam 11.00 malam.

Antara aktiviti menarik ialah :

i - Pentas Anak Muda bersama selebriti undangan dan hiburan yang Islamik

ii - Ceria Ilmiah bersama Ybhg Ustaz Azhar Idrus dan soal jawab agama

iii - Solat Asar, Maghrib dan Isyak berjamaah

iv - Solat, Munajat dan Tazkirah dipimpin oleh Sohibus Samahah Dato' Dr Zulkifli Al Bakiri Mufti Wilayah Persekutuan

v - Bayan Amal Islami oleh pimpinan Jamaah Tabligh.

vi - Selawat cinta Rasul saw. pimpinan para Habaib Hafizahumullah.

vii - Pidato pimpinan masyarakat, ngo dan tokoh-tokoh negara.

viii - Deklarasi Himpunan 355

ix - Pidato YB Dato Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang selaku Naib Presiden Kesatuan Ulamak Islam Sedunia.

9. Para peserta Himpunan 355 disarankan datang awal bagi mengelak dari terperangkap dalam kesesakan lalulintas. Pihak penganjur tidak menyediakan parking khas bagi kenderaan sebaliknya mengesyorkan supaya kenderaan seperti bas serta lainnya menurunkan penumpang di Masjid Negara dan seumpamanya. Kemudian disarankan agar kenderaan mengambil parking masing-masing diluar kawasan ibukota sebelum masuk kembali sebelah malam untuk mengambil penumpang.

10. Kenderaan besar boleh juga mengambil parking dipinggir ibukota, kemudian peserta masuk ke lokasi menggunakan kenderaan awam seperti LRT dan Komuter.

11. Peraturan dan Arahan Am buat peserta Himpunan 355 akan dikeluarkan sedikit masa lagi. Nasihat saya agar semua hadir dengan tertib dan mempamerkan akhlak mulia. Tidak melakukan provokasi, sebaliknya memelihara ketenteraman awam, menjaga kebersihan, tidak merosakkan harta awam dan alam sekitar. Beri kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan petugas Himpunan 355 yang menjalankan khidmat mereka mengurus himpunan yang besar ini.

12. Kami juga ingin tegaskan bahawa himpunan ini bukan demonstrasi atau perarakan yang mencetus huru hara dan gangguan kepada ketenteraman orang ramai, sebaliknya ia satu himpunan aman selaras dengan akta Perhimpunan Aman. Langkah ini diambil bagi mengelak sebarang pertembungan dengan pihak berkuasa dan memastikan himpunan ini berjalan dengan jayanya.

_Syariah Diperkasa Rakyat Sejahtera_

Sekian

Tuesday, February 7, 2017

PAS KEDAH TOLAK KERJASAMA POLITIK DENGAN UMNO/BN

Kenyataan Media PAS Kedah

1) PAS Kedah menolak hasrat Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Dato' Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah untuk menjalin kerjasama dengan PAS, kerana melihat ianya dibayangi kelicikan muslihat politik Umno.

2) PAS ingin menyarankan kepada Umno/BN yang menunjangi kerajaan Kedah hari ini supaya memberi perhatian penuh kepada kebajikan rakyat akibat daripada polisi-polisi mereka yang membebankan rakyat seperti rasionalisasi harga petrol dan diesel, sistem percukaian GST serta kegagalan mengawal harga barangan keperluan harian. Kerajaan negeri juga belum dapat menamatkan kegusaran rakyat berhubung masalah bekalan air bersih, ancaman perjanjian dengan operator air yang berat sebelah serta kerisauan terhadap tanah bersejarah dan "green belt" dalam bandar yang mahu dikomersialkan. Hal tersebut sewajarnya yang perlu jadi keutamaan kerajaan berbanding percaturan politik kepartian.

3) PAS juga melihat kenyataan Pengerusi UMNO Kedah itu sebagai usaha untuk mengalih perhatian daripada membincangkan soal agihan RM30 juta bagi kawasan parlimen dimenangi Umno/BN. Ahli-ahli Umno akar umbi mula bertanya ke manakah peruntukan itu disalurkan dan bagaimana dibelanjakan? Sehingga kini jumlah yg terlalu besar itu belum terjelma dalam bentuk pembangunan atau kebajikan rakyat.

4) PAS sedang memberi fokus mengangkat suara rakyat Kedah, di samping menyelami permasalahan yang dihadapi mereka saban hari melalui setiap ruang dan peluang yang ada. Bagi kami, sebarang percaturan politik kepartian mestilah meletakkan keutamaan "Islam yang memimpin."

Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi
Pesuruhjaya PAS Kedah
Bertarikh: 7 Februari 2017

Sunday, January 29, 2017

DAP Nak Try

Sekali Serban Dililit. 63
DAP Nak Try .... silakan
Oleh : Nasrudin bin Hassan

1. "Kelmarin dulu" dia putuskan hubungan dengan Presiden PAS, "kelmarin" dia hulurkan salam perdamaian kepada Presiden PAS dan "hari ini" dia bertekad untuk saman Presiden PAS. "Esok" entah apa pula pelan dan strategi pemimpin DAP itu ?
2. Saya namakan pelan dan strategi DAP ini sebagai *"Strategi Serba Tak Menjadi".* Saya percaya mereka berusaha untuk hancurkan PAS. Mereka mahu pecahbelahkan PAS dan mereka mahu PAS menjadi parti yang lemah dan tidak lagi menjadi saingan mereka di pentas politik tanahair.
3. Detik mereka putuskan hubungan dengan Presiden PAS tempohari, mereka sangka Presiden PAS akan terus terpinggir dan kalah dalam pertandingan kepimpinan PAS sementara mereka mengharapkan boneka mereka mengambil alih kepimpinan PAS. Ternyata mereka silap dan langkah mereka tersadung.
4. Seluruh ahli PAS teguh bersama Presidennya kecuali segelintir yang rela diri mereka menjadi "kayu pengalung" kepada DAP. Sebahagiannya lari meninggalkan PAS setelah gagal melampiaskan strategi dan kemahuan DAP dalam mencatur kepimpinan PAS.
5. Kemudian mereka tanpa segan silu menghulurkan salam perdamaian melalui media. Langsung tidak mempamerkan adab orang yang mahu berdamai. Paling tidak memohon maaf atas keceluparan lalu dan datang bertandang ke "rumah" PAS membawa salam perdamaian.
6. Salam perdamaian yang dihulurkan oleh DAP melewati media lagak "salam" kumpulan samseng kepada musuhnya. Bukan bermaksud mendamaikan tetapi lebih bertujuan meruncingkan pertelingkahan dan mempersendakan lawan.
7. Ketidaksabaran pemimpin DAP menyembunyikan hasrat sebenar "perut pedal" mereka akhirnya begitu pantas menyerlahkan amarah dan kebencian mereka yang sebenarnya tidak pernah padam terhadap PAS dan pemimpinnya. Kali ini mereka pula mahu menyaman Presiden PAS.
8. Jika DAP berkira-kira sekali lagi mahu melemahkan Presiden PAS dan parti yang dipimpin oleh beliau dengan strategi samannya yang terkini, maka sekali lagi strategi tumpul mereka pasti tidak akan menjadi. Sebaliknya mereka akan terus "kempunan" untuk melampiaskan cita-cita busuk mereka.
9. Malah mereka akan menyaksikan saf kepimpinan dan ahli PAS kian utuh menggalas cita-cita perjuangan Islam bersama Presidennya. *Keutuhan saf perjuangan PAS diikat dengan prinsip Islam yang diperjuangkan.*
10. Saya mempunyai bukti kenyataan dan sikap kepimpinan DAP yang mempersendakan hukum agama Islam dan sekaligus mempamerkan semangat anti Islam mereka kepada umum. *Insyaallah, jika DAP saman Presiden PAS maka ratusan ribu malah jutaan ummat Islam termasuk non muslim yang menghormati Islam akan bangkit menjadi "peguam bela" pemimpin gerakan Islam itu.*
DAP nak try ..... silakan
Sekian.

Saturday, January 28, 2017

Bila Tidak Berkuasa Semua Terdedah

Hj Idris Hj Ahmad
Naib Presiden Pas
27/1/17

Inilah budaya politik negara membangun, apabila tidak berkuasa semua terdedah. Semua pakat bersuara tentang salah laku pemimpin sebelumnya. Terbaru bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) ketika itu, Datuk Abdul Murad Khalid berkata, Laporan Tahunan BNM pada 1994 hanya mencatatkan kerugian sebanyak  (RM44 bilion) akibat kegiatan perdagangan mata wang sepanjang 1991 hingga 1993.

Menurut beliau, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pernah meminta BNM memberi penjelasan tentang kerugian yang dikatakan terbesar pernah dicatatkan dalam sejarah perbankan antarabangsa itu.

Datuk Abdul Murad menambah, transaksi berbentuk spekulasi melibatkan pelbagai mata wang asing termasuk pound sterling, dolar Amerika Syarikat (AS), mark Jerman dan yen itu direkodkan oleh seorang kakitangan berpangkat rendah BNM.

Ini sikap yang tidak baik berlaku di dalam tata kelola dalam pentadbiran di negara ini. Sifir mudahnya, buatlah apa sahaja sewaktu kamu berkuasa, kerana semuanya kebal tidak ada siapa yang berani menyentuh.

Ia akan terdedah apabila sudah tidak berkuasa. Inilah yang berlaku kepada Tun Mahathir sekarang. Segala yang beliau lakukan akan terdedah. Selama ini semuanya menikus. Akhirnya rakyat menjadi mangsa angkara perbuatan pemimpin yang tidak telus. Pemimpin dan kroni tidak terasa dengan permainan mereka, tetapi rakyat menderita kerana asas ekonomi negara kucar kacir.

Datuk Seri Najib pun perlu ambil ingatan, apa yang berlaku mengenai 1MDB akan terdedah juga apabila beliau tidak ada kuasa.

Oleh itulah ia tidak akan selesai jika hanya tukar individu, bukan sistem. Siapa pun naik maka itulah yang berlaku kerana skrip sama, cuka pelakon berbeza. Sebab itu Pas yakin perubahan bersama Islam untuk selamatkan negara dan rakyat di negara ini tanpa mengira agama atau bangsa.

Friday, January 27, 2017

TUGU BANJIR : SATU FITNAH KEPADA YAYASAN TOK KENALI (YTK)

KENYATAAN MEDIA SETIAUSAHA POLITIK KEPADA YAB MENTERI BESAR KELANTAN

1.  Saya membaca dakwaan yang dibuat oleh YB Dato' Haji Husam bin Musa yang disiarkan didalam Sinar Harian bertarikh 26 Januari 2016, halaman 36 (Kelantan) dan akhbar digital Malaysia Dateline bertarikh 25 Januari 2017 dengan tajuk TUGU BANJIR : KELANTAN BAZIRKAN RM 300,000 WANG YAYASAN TOK KENALI. Kenyataan tersebut adalah tidak betul dan sangat tidak bertangungjawab.

2. Selepas meneliti beberapa dokumen dan mendengar penjelasan daripada pihak Yayasan Amanah Tok Kenali, tanah yang dimaksudkan oleh ADUN Salor terbabit adalah dibeli oleh Yayasan Amanah Tok Kenali bagi tujuan menyelamatkan tanah Masjid Jauhar yang sebelum ini dibina diatas tanah milik individu. Manakala, Tugu Banjir yang dibina oleh Badan Bukan Kerajaan di Kuala Krai tidak termasuk didalam tanah yang dibeli oleh Yayasan Tok Kenali dan tidak seperti yang didakwa oleh beliau.

3. Oleh yang demikian, kenyataan yang dikeluarkan oleh YB Dato' Haji Husam bin Musa adalah menyimpang dan tiada asas serta saya mengesa pihak YB Dato' Haji Husam bin Musa menarik balik tuduhan terhadap Yayasan Amanah Tok Kenali dan juga Kerajaan Negeri Kelantan sepertimana kenyataan yang telah beliau keluarkan.

4. Saya juga berharap, semua pemimpin politik atau individu perlulah sentiasa berhati-hati didalam memberikan kenyataan dan komen supaya ianya tidak mengelirukan dan menjadi fitnah kepada pihak Kerajaan Negeri.

Sekian, Terima Kasih.

HJ WAN ROSLAN WAN HAMAT
Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan

Tuesday, January 24, 2017

'RAMALAN' RAPUH PKR Pas akan tumbang di Kedah

Kenyataan Media PAS Kedah

Kenyataan Pengerusi PKR Kedah Dr Azman Ismail bahawa 'PAS akan menderita' dalam PRU 14 adalah suatu provokasi politik yang boleh menggugat tahalluf siyasi antara PAS dan PKR di negeri ini.

Apakah kenyataan berkenaan membayangkan bahawa PKR Kedah mahu mengisytiharkan terungkainya tahalluf siyasi yang dibina selama ini? Atau kenyataan itu lebih bersifat untuk menggertak PAS supaya tunduk kepada sebarang keputusan yang dibuat oleh Pakatan Harapan yang tiada kena mengena dengan PAS?

Menjadi satu jenaka apabila PKR begitu yakin dapat mengetepikan PAS hanya dengan ramalan 'syok sendiri', tetapi tidak menerusi kajian secara objektif di lapangan.

PKR Kedah dinasihatkan supaya tidak bernada angkuh kerana jentera PAS yang selama ini menyumbang tenaga dan wang ringgit sedang memerhati gelagat mereka. Saya hairan dengan sikap PKR dengan kenyataan seperti ini seolah-olah lupa mengukur baju di badan sendiri.

Dalam hal ini, PAS Kedah tidak terburu-buru dalam mengambil sebarang pendirian tetapi berwaspada dengan sikap terbaharu yang diambil oleh PKR.

Dato' Dr Mohd Hayati bin Othman
Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah
24 Januari 2017

OPERA DAP

Sekali Serban Dililit. 62

Oleh : Nasrudin bin Hassan_

*Soalan* : Apa sikap PAS terhadap kenyataan Lim Kit Siang bahawa DAP boleh bekerjasama dengan PAS jika Hadi sedia memberi komitman untuk menyelamatkan Malaysia daripada menjadi negara kleptokratik.

*Jawapan* : YB Dato Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi, pemimpin PAS dan seluruh ahli PAS telah mempunyai komitmen yang tinggi terhadap dasar dan prinsip perjuangan PAS iaitu berjuang untuk menegakkan sebuah negara yang sejahtera dan selamat berasaskan keadilan yang sirna dari perlaksanaan Syariat Islam.

PAS tidak pernah berganjak dari dasar dan prinsip ini. Berjuang untuk membina negara yang bebas penyelewengan, korupsi, penindasan dan penyalahgunaan kuasa. *YB Dato Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi selaku Presiden PAS tidak pernah mengheret PAS dan ahlinya lari dari landasan perjuangan suci ini.*

Malah kerana mempertahankan dasar dan prinsip perjuangan inilah *DAP lari meninggalkan PAS*, DAP memutuskan hubungan dengan Presiden PAS, DAP menyerang PAS tanpa henti dengan semangat anti Islam yang tebal dan melampau.

*Inilah fokus perjuangan PAS*, Iaitu melakukan perubahan secara total dan menyeluruh. Bukan memimpin agenda individu tertentu yang mabuk kuasa. Bukan sekadar ingin melampiaskan dendam kepada individu tertentu untuk dijatuhkan.

*Fokus perjuangan PAS* ialah memimpin gerakan perubahan secara total. Meruntuhkan jahiliah dan membina kesejahteraan, keadilan dan kedamaian dibawah pedoman dan petunjuk wahyu Allah swt Tuhan Yang Maha Mencipta manusia dan alam semesta ini.

*PAS senantiasa berlapang dada dan membuka pintu untuk bekerjasama dengan semua pihak, selama mana mereka menghormati dan tidak menentang dasar dan prinsip perjuangannya.*

Justeru itulah, PAS pernah menjalinkan kerjasama dengan DAP dalam Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR). Malangnya, sikap tidak jujur dan tidak sabar DAP membuatkan dua kali mereka meninggalkan PAS malah menikam dan menyerang PAS. (Sekali semasa bersama BA dan kali kedua ketika bersama PR)

Kali ini, sekali lagi DAP mahu menghulurkan salam kerjasama ? Kenapa ? Apakah DAP benar-benar terdesak ?

PAS tidak akan teruja dengan wayang opera bernilai murah yang sedang dipersembahkan oleh DAP hari ini. Cukuplah pengalaman dua kali diperlakukan DAP sedemikian rupa. 

PAS telah siap berjuang mencapai cita-cita perjuangan tanpa DAP yang dikenali hari ini. PAS telah merangka roadmap menuju gerbang jaya PRU 14 tanpa DAP yang telah mengkhianati PAS.

*PAS punya harga diri dan maruah yang tidak mungkin sesiapa lagi boleh memperdaya dan memperkotak-katikkannya.*

Namun dalam masa yang sama, sekali lagi saya tegaskan bahawa PAS senantiasa bersedia membina kerjasama dengan pelbagai pihak yang sedia memahami, menghormati dan tidak menentang dasar serta prinsip perjuangan Islam yang diperjuangkan oleh PAS.

Sampaikan salam perjuangan kami buat YB Lim Kit Siang bahawa prinsip dan dasar perjuangan PAS bukan kostum untuk diperagakan di pentas opera DAP.

Sekian

Link

"KEYAKINAN ANDA MATLAMAT KAMI"