Google Search :

google search:
Google

Wednesday, September 13, 2017

ABU DZAR DAN FASTAQIM

Abu Dzar al-Ghifari, seorang sahabat terkenal sebagai seorang yang zuhud dan wara'. Dengan kezuhudan yang tinggi itu, beliau turut dikurniakan hati yang cekal dan sangat ikhlas terhadap Islam.

Ketika perang Tabuk, Nabi perintah supaya tiada orang Islam berkecuali dari perang itu. Kecuali sesiapa yang tidak memiliki kenderaan, maka tidak boleh turut serta kerana perjalanan yang sangat jauh, paling jauh dalam sejarah perang Nabi SAW.

Abu Dzar ikut bersama pada awalnya, tetapi disebabkan haiwan kenderaan beliau yang lemah, beliau tertinggal jauh di belakang keseorangan. Para sahabat yang kasihan menyatakan perkara itu kepada Nabi tetapi baginda berkata:
"Biarkan dia. Jika Allah menghendaki kebaikan padanya, dia akan sampai juga tapi jika sebaliknya, maka Allah akan rehatkan kamu daripadanya."

Akhirnya Abu Dzar ambil keputusan turun dari haiwannya dan berjalan kaki mengejar rombongan tentera Islam. Rasulullah SAW ketika melihat kelibat Abu Dzar datang berseorangan dari belakang, merasa sangat terharu lalu bersabda:
"Rahmat Allah terhadap Abu Dzar. Beliau berjalan keseorangan, mati keseorangan dan dibangkitkan keseorangan."

Kisah Abu Dzar mengajar erti tekad yang tidak ada tolok bandingnya. Kenderaan bukanlah alasan untuk beliau meninggalkan kewajipan jihad. Perjuangan Islam tidak meletakkan keselesaan atau status kewangan tertentu sebagai syarat kelayakan. Ingat firman Allah SWT:
"انفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ"
Keluarlah kamu dalam keadaan ringan mahupun berat, dan berjihadlah dengan harta-harta dan diri-diri kamu di jalan Allah. Demikian adalah yang yang terbaik bagi kamu sekiranya kamu mengetahui.
[At-Taubah:41]

Reaksi Rasulullah SAW terhadap Abu Dzar juga menarik untuk diamati. Rasulullah menyuruh sahabat membiarkan sahaja Abu Dzar menguruskan dirinya. Menunjukkan bahawa Islam tidak berhajat kepada manusia. Kerana Allah telah menjamin akan menjaganya. Tetapi terserah kepada manusialah, samada berusaha untuk menjadi sebahagian dari pendokong Islam ataupun tidak.

Nyata Abu Dzar memberi contoh seorang pejuang Islam tulen. Jika beliau masih hidup,  selayaknya beliau menerima anugerah Tokoh Fastaqim.

Itu baru kisah seorang sahabat. Ada lagi kisah sahabat yang buta, sakit, tua, masih belum cukup umur dan berbagai masalah lagi tetapi kecintaan terhadap Islam melupakan segala yang membelenggu diri. Mereka sangat bimbang jika diri tidak tersenarai sebagai salah seorang yang menyumbang kepada Islam.

Justeru, kukuhkah alasan kita untuk tidak hadir nanti?

Letakkan di tepi soal bagaimana untuk ke sana. Katakan pada diri dahulu, "saya akan hadir, InsyaAllah."

(Alang Ibn Shukrimun)

No comments:

Post a Comment

Link

"KEYAKINAN ANDA MATLAMAT KAMI"