Google Search :

google search:
Google

Wednesday, March 8, 2017

Catatan Parlimen: Benarkah PAS Tidak Lagi Menentang Rasuah.?


1. Sebahagian pemimpin Pakatan Harapan sering menjaja tuduhan kononnya PAS kini sudah tidak lagi menentang UMNO-BN dalam isu rasuah, mereka mendakwa PAS hanya tahu isu RUU 355 sahaja, dan tidak lagi memperjuangkan isu rakyat.
Benarkah tuduhan ini.?

2. Pemimpin PH semudahnya membuat dakwaan lalu disambung cereka fitnah itu oleh juak tentera cyber mereka di alam media sosial bagi memburukkan imej PAS.
Hakikatnya, saban hari ada sahaja isu rakyat yang PAS suarakan, teguran PAS terhadap kerajaan yang dilontarkan di media.
Adakah mereka ini tak reti membaca atau mendengar atau sebenarnya mereka yang sengaja membutakan mata dan memekakkan telinga.?

3. Lewat petang tadi, Ahli Parlimen Bukit Gantang, YB Ustaz Idris Ahmad yang juga Naib Presiden PAS telah bangun membahaskan Titah Diraja. Isu pertama yang disentuh oleh beliau ialah Bahaya Barah Rasuah.
Beliau menyatakan Laporan Indeks Persepsi Rasuah 2016, kedudukan Malaysia terus merosot ke kedudukan yang ke 55 daripada 176 negara.
Beliau menyebut mengenai kes rasuah yang berlaku di Jabatan Air Sabah, Tekun, Bank Rakyat, JKR, Tabung Haji, DBKL dan skandal tanah di Johor.

4. YB Ustaz Idris menyampaikan ucapan tahniah dan pujian diberikan kepada sekalian Pegawai SPRM yang telah bertungkus-lumus dan berkorban dalam menjalankan tugasan amanah mereka secara profesional. Namun, terdapat kes berprofil tinggi yang akhirnya ditutup, digugurkan pertuduhan. Beliau menzahirkan simpati kepada SPRM dalam hal ini.
Beliau bersetuju dengan saranan Transparency-International Malaysia yang menggesa SPRM agar turut memburu ahli politik yang terlibat dengan rasuah di samping pegawai tinggi penjawat awam yang sudah banyak ditangkap oleh SPRM kebelakangan ini.
Statistik menunjukkan pada tahun 2015, terdapat 670 tangkapan tetapi hanya 2 ahli politik yang ditangkap dan begitu juga bagi tahun 2016 hanya 2 kes ahli politik.

5. YB Ustaz Idris turut memetik kenyataan Presiden Transparency-International Malaysia, Datuk Akhbar Satar berkenaan SPRM hanya ada kuasa menangkap tetapi tidak ada kuasa untuk mendakwa tertuduh kerana ia masih dibawah kuasa Peguam Negara.
Isu integriti amat perlu dititik-beratkan khususnya oleh mereka yang berkuasa sebagai Eksekutif di Kerajaan Pusat mahupun Kerajaan Negeri. Islam sudah pun memperkenalkan konsep Hisbah bagi mengawal selia tatakelola pihak kerajaan.
Kuasa untuk menyiasat dan mendakwa perlu diberikan secara bebas kepada SPRM dan Peguam Negara agar mereka dapat bertindak tanpa pilih kasih dan perbezaan pangkat.

6. Seterusnya, YB Ustaz Idris menyentuh isu TPPA yang kini sudah tidak menentu nasibnya apabila Amerika Syarikat pimpinan Presiden Donald Trump menarik diri daripada perjanjian tersebut. Malaysia perlu mengambil langkah berhati-hati dalam hal geopolitik antarabangsa ini apabila kini dilihat berubah pula kecenderungan ke arah Tanah Besar China. Konflik perebutan wilayah Kepulauan Spratly di Laut China Selatan yang melibatkan tuntutan Malaysia, Brunei, Filipina, Vietnam, dan China. Negara kita akan jadi serba-salah apabila berlaku pertembungan antara 2 kuasa besar iaitu Amerika vs China. Kita mesti tegas dalam menentang campurtangan asing dalam isu ini.
Begitu juga dalam kes yang berlaku sekarang, ketegangan Malaysia dengan Korea Utara. Kita tidak boleh merestui sebarang campurtangan pihak luar dalam menyelesaikan isu ini kerana kita tidak mahu menjadi seperti Iraq, Libya yang telah musnah.
Penyelesaian secara diplomatik dan muwajahah silmiyyah perlu diambil dalam hal ini, bukannya ketenteraan.

7. YB Ustaz Idris turut menyuarakan berkenaan peri-pentingnya pemerkasaan ASEAN dalam konsep 1 Rantau, pemerkasaan OIC dalam konsep 1 Ummah, dan pemerkasaan NAM dalam konsep 1 Kemanusiaan. Kita tidak boleh terlalu berpihak dan bergantung kepada kuasa besar. Usahlah kesemua tender projek mega diserahkan kepada China sehingga mengabaikan kebolehan kemampuan kontraktor anak tempatan sendiri. Mereka mampu melaksanakan kerja reka bentuk kejuruteraan, tanah, infrastruktur, kemudahan penyediaan bekalan air, elektrik, kabel di bandar besar wajar diberikan kepada anak tempatan.

8. Isu kelembapan ekonomi turut disentuh oleh YB Ustaz Idris. Kadar inflasi terus meningkat, kadar penggangguran di tahap 3.5%, dan kadar matawang Ringgit terus menjunam. Rakyat begitu terkesan dengan himpitan semasa sekarang, hutang isi rumah meningkat kepada 88%. Kerajaan menjangka kutipan GST sebanyak RM 40 bilion bagi tahun 2017 berbanding RM 38.5 billion pada tahun 2016.
Hutang Kerajaan Persekutuan pada Jun 2016 sudah mencecah RM 655.7 billion, iaitu 53.2% daripada KDNK.
Terdapat 22,581 belia yang berumur 25-34 tahun sudah diisytihar bangkrap bagi tempoh 2012 sehingga September 2016.

9. Mengapa harga barang terus meningkat.? Negara kita dikelilingi laut, harga ikan kembong mencecah RM 22 sekilo, ini bukan harga ikan bawal, ikan jenahak, udang dan sotong besar. Tanah kita subur tapi kita import makanan dari luar sebanyak RM 22 bilion, tanah rumput menghijau tapi lembu kita import dari Thailand dan Kemboja. Harga makanan terus meningkat kerana kita bergantung kepada negara luar, imbangan dagang kita tidak seimbang. Food security kita tidak terjamin.

10. Di akhir sekali, YB Ustaz Idris menzahirkan kerisauan berkenaan gejala sosial yang kian memburuk. Statistik jumlah penagih dadah tahun 2016 ialah seramai 30,847 orang, 92,678 kes perceraian dalam tempoh 2012-2014, kadar purata kes buang bayi 10 orang setiap bulan, 13,359 kes disiplin pelajar, kadar purata kes buli 250 kes setiap bulan.
Falsafah pendidikan negara yang holistik perlu dibentuk bagi melahirkan insan soleh. Begitu juga persoalan pemerkasaan Mahkamah Syariah perlu didokong oleh semua pihak bagi membentuk masyarakat berakhlak, bermoral dan berintegriti.

11. Apa yang dicatat ini ada dirakam dalam video di youtube dan tercatat di handsard Parlimen. Ianya adalah bukti yang nyata untuk tatapan dan penilaian umum agar rakyat dapat menilai benarkah tuduhan yang dilemparkan terhadap PAS selama ini.?

Mereka menyebar fitnah, kita jawab dengan hujjah, prinsip ini perlu kita guna pakai dalam berhadapan dengan musuh di perang alam maya sebegini.
Jikalau kita diam, mereka kata kita sudah akur dan tidak mampu menafikan tuduhan.
Jikalau kita jawab, pasti mereka akan menepis pula fakta ini.
Usah buang masa, kita terus menerang apa agenda perjuangan PAS yang tidak pernah berubah iaitu Islam sebagai penyelesaian kepada segala permasalahan kehidupan.

_Catatan oleh,_
_Syed Ahmad Fadhli,_
_Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen_
_08 Mac 2017_

No comments:

Post a Comment

Link

"KEYAKINAN ANDA MATLAMAT KAMI"