Google Search :

google search:
Google

Thursday, August 17, 2017

INILAH GERAKAN ISLAM

Mereka yang mengaku Islam dari segala penjuru menyerang PAS. Mereka kutuk setiap tindakan politik PAS. Mereka perlekeh usaha dakwah PAS. Mereka hina PAS dengan tuduhan lebai jumud. Lebih hebat lagi mereka sanggup memfitnah PAS. Tidak lain tidak bukan; inilah satu gerakan terancang untuk menjahanamkan PAS.

Sedarkah mereka, dalam zaman kita ditinggalkan Nabi s.a.w. sudah lebih 1400 tahun, maka para ulamalah yang menjadi tonggak kekuatan agama ini. Ulamalah pewaris kerja buat Nabi. Ulamalah sepatutnya menjadi tempat rujukan hidup kita. Tetapi malangnya, mereka prejudis dan sinis terhadap peranan ulama. Ulama bagi mereka wajar membuka kitab di masjid sahaja.

Sedarkah mereka, PAS adalah organisasi terbesar yang menghimpunkan ribuan ulama dan para asatizah.  PAS bukan parti TG Fadhil Noor. PAS bukan parti TG Nik Aziz. PAS bukan parti TG Haji Hadi. PAS bukan hak mutlak seorang ulama. Sebaliknya, PAS adalah sebuah gerakan Islam yang didokongi diperkuatkan oleh ribuan alim ulama di seluruh negara.

Majlis Syura Ulama adalah tonggak kekuatannya. Mereka faqih menafsir kitab suci. AJK Pusat tidak kurang ulamanya. Di peringkat negeri, MTD dan cawangan kecil sekalipun PAS tak ketandusan ulama dan asatizah tua dan muda. Mereka terdiri daripada lepasan pondok, universiti dalam negeri dan luar negara.  Mereka bersifat mata rantai. Ulama yang telah berusia dan ulama muda bergandingan membimbing kami di kampung-kampung dan setiap cawangan sekecil mana pun – sesuatu yang tiada dalam mana-mana organisasi di negara ini.

Ribuan di kalangan mereka merupakan lulusan Syariah, Usuluddin, Feqah, Hadis dan pelbagai disiplin ilmu Islam. Mereka bergerak dalam masyarakat; menjalankan kerja dakwah, memimpin NGO, pondok-pondok dan menjadi tenaga pengajar di jabatan kerajaan, masjid, surau dan menitipkan ilmu melalui corong-corong radio dan saluran tv.

Merekalah yang menjadi imam dan da’i di mana sahaja mereka berada. Mereka ditolak ke depan untuk menjadi imam. Merekalah dijemput dipanggil untuk berdoa dan mengepalai tahlil. Merekalah yang datang menyempurnakan jenazah orang-orang yang pernah mencemuhnya.

Parti yang dibarisi dan disokongi oleh ulama dan asatizah di segenap peringkat ini masakan begitu jahil untuk memahami al-Quran dan tuntutannya. Hanyalah tiupan-tiupan syaitan yang merasuk telinga para sekularis da liberalis. Sehingga seburuk ucapan kafir penentang Islam ditatang, dan sekotor ucapan munafikun diangkat dan didendang. Ulama pewaris Nabi pula dilayan macam petualang.

Apabila hati menjadi gelap. Allah menjelaskan di dalam al-Quran:  ada mata tetapi tidak melihat, ada telinga tetapi tidak mendengar. Ada akal tetapi tidak berfikir. Malangnya firman-firman ini dipandang sepi. Firman dan sabda tidak lagi dijadikan panduan.

Oleh- Salam Muhammad @ BayangDiair

No comments:

Post a Comment

Link

"KEYAKINAN ANDA MATLAMAT KAMI"