Google Search :

google search:
Google

Tuesday, February 14, 2017

LEBIH BAIK UMNO KEDAH JAGA RAKYAT, DARI CABAR PAS

Respon Ketua Pemuda PAS Kedah kpd persoalan yg dibangkitkan oleh Ketua Pemuda Umno Kedah.

1. PAS sebagai sebuah gerakan Islam sentiasa tegas dan istiqamah memegang prinsip, dan terbuka menerima rundingan demi kemaslahatan rakyat. Setiap tindakan PAS diikat dan dipertimbang dengan nilaian syarak melalui pendekatan yang hikmah.

2. Sekali lagi , desakan Ketua Pemuda Umno Kedah, Dato' Shaiful Hazizy Zainol Abidin supaya PAS Kedah menyatakan pendirian kerjasama dengan BERSATU, menunjukkan kekeliruan dan kedangkalan dirinya apabila tidak memahami perbezaan antara walak, kerjasama dan ikatan dalam politik. Malahan UMNO sendiri tidak berprinsip apabila masih takut menyatakan sokongan terhadap pindaan Akta 355 kerana takutkan MCA dan MIC serta parti komponen BN yang lain.

3. Mungkin serangan semberono Shaiful ini bertujuan menonjol menjadi calon PRU nanti atau mengampu pihak tertentu. Elok kiranya beliau urus partinya sendiri yang sedang menghadapi masalah keyakinan rakyat, perpecahan dalaman yang "parah", serta pentadbiran negeri Kedah yang lemah dibawah pemerintahan BN.

4. Ingin ditegaskan bahawa walak kami adalah kepada perkara dasar, di mana ia kewajipan semua ahli dan pimpinan serta peringkat organisasi dalam PAS. Ikatan atau _tahaluf_ pula tertakluk oleh keputusan hukum diputuskan Majlis Syura Ulamak PAS. Manakala dalam soal kerjasama atau _taawun_, ada keterbukaan diberikan parti, namun wajib dilakukan atas tujuan takwa dan kebaikan. Bahkan PAS Kedah hanya pernah sepentas dengan pimpinan Bersatu khususnya Dato' Seri Mukhriz hanya sekali dalam program Himpunan Derita Rakyat Kedah 2, akhir Disember tahun lepas.

5. PAS Kedah tidak memperalatkan mahupun memaksa mana-mana pihak, sebaliknya bertemu dan menjalin hubungan atas kerelaan dan kesedaran berkaitan kepentingan rakyat dan juga negeri. Ia sesuai dengan kewujudan serta peranan PAS sebagai parti politik dan dakwah.

6. Maka, tidak perlu Dato' Shaiful pertikai PAS Kedah yang sentiasa patuh kepada arahan tertinggi parti, kerana kesedaran bahawa keputusan yang dilakukan oleh Majlis Syura Ulamak berpaksikan nilaian syarak dan bersumberkan Alquran dan Sunnah yang menjadi rujukan parti PAS. Pemuda Umno Kedah jangan dilihat bersikap kebudak-budakan di mana hanya seronok dengan jawatan dan kebendaan, tetapi gagal memberikan idea bernas dalam melaksanakan tanggungjawab dan mandat yang diberikan rakyat, sehingga kemiskinan, pengangguran, jenayah dan masalah sosial masih "tegar" di negeri Kedah.

7. Umno-BN Kedah sebenarnya lemah, lesu dan dan gagal menunaikan mandat rakyat, selama 4 tahun memerintah kembali Kedah dan hanya tunggu dekat pilihanraya, baharu bergelut untuk turun menyantuni kehidupan rakyat. Selain kontang idea untuk memacu pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat, berlaku pembaziran dan pemborosan, isu air tidak berkesudahan, pengurusan tidak cekap, tanah hampir tergadai, kehidupan rakyat terbeban, janji PRU13 tidak tunai, isu peruntukan 30 juta 1 parlimen, dan banyak masalah lain sehinggakan Umno sanggup menggadai prinsip untuk menjaga kroni dan "tauke".

8. Sudah berkali saya ulangi, kelemahan pemerintahan Umno-BN Kedah tidak mampu menyaingi sepenggal PAS mentadbir Kerajaan Negeri Kedah. Kampus Induk KUIN, Maahad Tahfiz Sains Darul Aman, Bantuan Kafalah, program-program kem bina insan, Aman Central, Hotel Adya adalah antara kegemilangan di bawah Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak. Sedangkan Umno terkenal dengan politik cantas, kroni, pembaziran dan ketirisan dalam pengurusan kewangan.

9. Eloklah Umno kedah uruskan masalah dalamannya dahulu, disamping menegaskan pendiriannya terhadap pindaan Akta 355 untuk mengangkat dan memartabatkan Mahkamah Syariah serta menunaikan janji PRU 13 yang masih belum terlaksana. Tempoh setahun ini, sudah pasti "durian runtuh" atau "projek atas angin" banyak akan diluluskan sebagai janji manis utk PRU 14 yang makin hampir.

10. Dewan Pemuda Pas Kedah mengajak seluruh rakyat untuk tidak terpengaruh dengan persepsi buruk yang sengaja dimainkan, tetapi hendaklah mendapatkan maklumat dari sumber yang betul. Pengalaman sepenggal memimpin kerajaan bersama rakan Pakatan Rakyat terdahulu memberikan kematangan PAS untuk kembali memerintah Kedah dan keyakinan bahawa panduan Islam, Iman dan taqwa mampu untuk mencegah penyelewengan, salahguna kuasa dan memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

*USTAZ MOHD AZAM ABD SAMAT*
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah

No comments:

Post a Comment

Link

"KEYAKINAN ANDA MATLAMAT KAMI"