Google Search :

google search:
Google

Sunday, September 11, 2016

PERUTUSAN AIDUL ADHA 1437 PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS)

"Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu membuat sesuka hati mengenai syiar-syiar agama Allah, dan mengenai bulan-bulan yang dihormati, dan mengenai binatang-binatang yang dihadiahkan (ke Makkah untuk korban), dan mengenai kalung-kalung binatang hadiah itu, dan mengenai orang-orang yang menuju ke Baitullah Al-Haraam, yang bertujuan mencari limpah kurnia dari Tuhan mereka (dengan jalan perniagaan) dan mencari keredaan-Nya (dengan mengerjakan ibadat Haji di Tanah Suci); dan apabila kamu telah selesai dari ihram maka bolehlah kamu berburu. Dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari masjid Al-Haraam itu - mendorong kamu menceroboh. Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)." (al-Ma'idah: 2)

'Idul Adha dikurniakan Allah SWT dalam Zulhijjah untuk dirai sebagai hari kebesaran oleh umat Islam dengan penuh rasa ke'izzahan dan 'ubudiyah kepada-Nya. Padanya sarat terhimpun segala peristiwa di sepanjang lipatan sejarah yang penuh dengan keagungan dan menjadi iktibar pedoman di sepanjang zaman. Dengan menyatunya peribadatan dan perjuangan, telah sebenar-benar mengangkat martabat manusia di sisi Allah SWT sesuai tujuan ia diciptakan.

Di sana, disyariatkan ibadah korban yang seluruh dunia menjadi saksi ketaatan tinggi umat Islam terhadap Allah azzawajalla. Juga keteguhan kesatuan dan kasih sayang sesama umat atas berjamaahnya mereka dan mengagihkan daging sembelihan untuk saling bersyukur. Malah, membawa pengertian berkait keadilan, perhatian dan penjagaan hak manusia yang mesti diperjuang serta diambil tanggungjawab.

Manakala ibadah Haji menginsafkan kita kepada deklarasi al-Quran bahawa taraf semua manusia sama di sisi Allah yang hanya dibezakan oleh darjat keimanan dan ketaqwaan. Paling penting semua rukun dan agenda Haji untuk mengingatkan manusia betapa mereka akan kembali kepada-Nya, berdepan perhitungan amal kebaikan dan kejahatan.

Semua nilai ini hanya terdapat di dalam Islam, ketika umat manusia dan seluruh dunia bersikap mementingkan diri, dihimpit sengsara konflik, melata kepincangan, pencabulan hak dan kecurangan amanah, serta segala masalah yang memenatkan. Oleh itu, perlunya kita kembali kepada penyelesaian yang rabbani dan menyeluruh iaitu dengan mengambil Islam dan syariatnya untuk didaulatkan sebagai _ad-Din_ agar tercapai kesejahteraan di dunia dan akhirat. Sesuai dengan firman Allah yang juga diwahyukan dalam bulan Zulhijjah:

"Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu."(al-Ma'idah: 3)

Akhirnya, marilah bersama menghayati keterangan dan tuntutan Allah di dalam al-Quran, serta sirah perjuangan keluarga Nabi Ibrahim AS serta cicitnya Nabi Muhammad SAW dan Sahabat RA. Khususnya segala yang berhubung 'Idul Adha, ibadah korban dan haji, agar diambil teladan dalam menegakkan kehidupan dan perjuangan menurut acuan keredhaan-Nya.

"Inilah Penyelesaian Kita"

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

09 Zulhijjah 1437H / 11 September 2016

No comments:

Post a Comment

Link

"KEYAKINAN ANDA MATLAMAT KAMI"