Google Search :

google search:
Google

Friday, September 16, 2016

Taktik bagi mengalahkan Pas di Terengganu

Membantah syor-syor persempadanan semula bagi Dun-Dun Terengganu 2016 oleh SPR

PAS Terengganu membantah syor-syor persempadanan semula bagi negeri Terengganu sebagaimana yang telah dikeluarkan setelah kajian semula oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bagi tahun 2016. Keseluruhan syor pindaan sempadan itu sangat jelas hanya untuk memenangkan Umno-BN di Terengganu sahaja.

Kelihatan tangan-tangan kotor mula mempergunakan SPR untuk kepentingan Umno. Tindakan ini tidak bersifat demokratik dan cuba untuk tidak bermain di padang yang rata dan adil bahkan menggunakan pula kuasa untuk memindah tiang gol bagi memudahkan Umno, walaupun Umno telah lemah dan kekurangan sokongan terutama di kawasan bandar. Ianya cara yang jelek dengan mengenepikan demokrasi yang sebenarnya, dilakukan oleh parti pemerintah di Terengganu. Setelah tiada penambahan kerusi bagi Dun Terengganu, kerana Umno tiada kuasa 2/3 di Dun dan tahu yang mereka akan kalah pada PRU-14 nanti, maka mereka menggunakan kuasa SPR bagi mengubah sempadan Dun-Dun yang dimenangi oleh PAS dengan sebegitu rupa.

UPU Gelugur sebagai contoh, sebelum ini berada dalam Dun Alur Limbat, telah dialihkan ke Dun Wakaf Mempelam. UPU Gelugur yang mempunyai lebih 5 ribu orang pengundi, diketahui sebagai kubu PAS, dialihkan kerana mereka mahu merampas Alur Limbat secara bacul. Manakala menambah undi PAS di Wakaf Mempelam, tidak membawa apa-apa makna kerana sememangnya Wakaf Mempelam adalah turun temurun kepunyaaan PAS dengan ribuan majoriti. Kesan kedua ialah undi PAS di Parlimen Marang, kerusi bagi Presiden PAS juga akan berkurang ditambah lagi dengan kem FRU yang baharu dibina di Wakaf Tapai.

Di Teluk Pasu pula, PAS menang dengan majoriti 109 undi. SPR telah menukar nama daripada Teluk Pasu kepada Buluh Gading kerana telah menolak UPU Teluk Pasu yang majoriti menyokong PAS, masuk ke Manir. Maka, hampir pasti mereka akan menang Dun Buluh Gading kerana UPU Teluk Pasu tidak dapat membantu. Mereka kekalkan Manir kepada PAS dan cuba rampas Buluh Gading (sekarang Teluk Pasu).

Tidak cukup dengan itu, Dun Tepoh juga dipecahkan. Sebahagian masuk ke Batu Rakit, dan sebahagian daripada UPU Batu Rakit sebelum ini seperti UPU Bukit Wan iaitu UPU deposit Umno, ditolak masuk ke Dun Tepoh. Maka Tepoh yang juga menang hanya 229 undi juga dalam bahaya. Hanya Bukit Tunggal yang agak sukar bagi mereka merampasnya, mungkin kerana tiada UPU kuat Umno di sekelilingnya maka mereka tidak mampu berbuat apa-apa. Kesan ini juga akan dirasakan bagi Parlimen Kuala Nerus yang PAS menang hanya 641 undi sahaja.

Di Parlimen Hulu Terengganu juga tidak ketinggalan mereka merubah sempadan. Dun Kuala Berang yang mana Umno hanya menang 449 undi dan PAS berpotensi menang, SPR telah melebarkan kawasan Dun itu sehingga ke Kuala Telemong yang mempunyai pengundi seramai 2085 orang itu, sememangnya sudah diketahui sebagai kubu kuat Umno. Atas sebab Kuala Telemong telah diambil Kuala Berang, maka Dun Telemong telah diubah kepada Dun Sekayu.

Sementara itu, Dun Jabi, antara Dun harapan PAS untuk menang di Setiu, telah ditambah UPU Gong Batu yang umum sedia maklum, UPU itu adalah kepunyaan Umno. PAS hanya kalah 782 undi, tetapi dengan kemasukan Gong Batu yang ada seramai 850 orang ini, maka hampir pasti Jabi akan kekal bersama Umno dengan majoriti yang dijangkakan lebih banyak.

Dun Rantau Abang juga cuba dirampas dengan mengalihkan UPU Gong Pasir yang berjumlah lebih tiga ribu pengundi ke Dun Sura. Rantau Abang yang dimenangi PAS dengan majoriti 141 itu akan kehilangan majoriti dari UPU Gong Pasir dan kemudiannya bagi melengkapkan lagi rancangan mereka dua UPU dari Bukit Besi iaitu Lintang dengan Nerang yang dikuasai Umno-BN seramai 748 pengundi dibawa masuk ke Rantau Abang.

Di Kemaman, Dun Chukai pula yang berada di tengah Bandar Kemaman, telah dihadiahkan UPU Bandar Baru Cheneh yang kedudukannya hampir dengan Jabor di hujung daerah Kemaman, mempunyai pengundi yang majoritinya Umno seramai 2822 orang. Sementara itu di Dun Ladang, UPU Bukit Depu yang majoriti pengundinya PAS, telah dilonggokkan ke dalam Dun Batu Burok yang sememangnya kerusi tradisi PAS. Oleh itu Umno berpotensi menang di Ladang yang PAS mempunyai majoriti hanya 924 undi.

Maka jelas sekali pengaturan sempadan UPU ini mesti dibantah kerana ia hanyalah bagi memenangkan Umno-BN dalam PRU-14 nanti. Bertambah sukar lagi, persempadanan ini pada dasarnya boleh dibantah, tetapi bantahan itu akan ditentukan oleh SPR juga. Dan malang menjadi berganda kepada rakyat Malaysia yang inginkan perubahan kerana jika SPR tetap dengan keputusannya, tiada apa yang boleh kita lakukan kerana itu hak mutlak SPR yang diberikan oleh perlembagaan yang digubal Umno-BN.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
14 Zulhijjah 1437 bersamaan 16 September 2016

No comments:

Post a Comment

Link

"KEYAKINAN ANDA MATLAMAT KAMI"