Google Search :

google search:
Google

Monday, October 10, 2016

ANAK TARBIAH IM IRAQ SEBAGAI AL-MURSYIDUL AM PAS


Oleh: Asri ed-Diwanie
Al-Mursyidul Am PAS kini, Tuan Guru Haji Hashim Jasin yang telah berumur 77 tahun adalah seorang yang mempunyai pengalaman dalam tarbiah dan perkaderan. Pengalaman beliau bersama Jama'ah Ikhwan di Iraq dengan beberapa orang sahabat yang lain termasuk Tuan Guru Dato' Mohamad Daud Al-Iraqi, Allahyarham Ustaz Hassan Shukri, menjadikan beliau mahir dalam mengendalikan perkaderan dalam PAS. 

Semenjak di zaman pemudanya, beliau aktif dalam membina generasi pelapis untuk parti. Beliau telah mengemudi Dewan Pemuda PAS Perlis sejak berumur 24 tahun lagi dan menjadi kepimpinan tertinggi di Perlis sebagai Pesuruhjaya dan beberapa jawatan penting di peringkat pusat serta merupakan Ahli Majlis Syura Ulamak sebelum perlantikan semalam sebagai Al-Mursyidul Am.

Tuan Guru Dato' Mohamad Daud Al-Iraqi, mantan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat yang ketika itu Tuan Guru Haji Hashim Jasin sebagai timbalannya, pernah menyebut kepada saya bahawa beliau, Tuan Guru Haji Hashim Jasin dan beberapa sahabat lain dapat mengikuti secara langsung tarbiah Ikhwan di Iraq pada zaman Dr Abdul Karim Zaidan setelah mereka bertapak disana pada tahun 1964. Di Baghdad, mereka banyak mengadakan halaqah ilmu, termasuk halaqah kemahiran bahasa arab dan ilmu siyasi.

Tidak peliklah, apabila rombongan mereka pulang ke tanah air, kebanyakan mereka berjaya membina kader-kader pelapis sama ada dalam bidang ilmu dan politik. Ucapan Tuan Guru Haji Hashim Jasin sarat dengan ilmu dan pengalaman walaupun dengan nada bersahaja dan kadang-kadang ucapannya bersemangat.

Ketika beliau menyampaikan ucapan perasmian penutup di Ijtimak Tarbawi 4.0 Pemuda PAS Malaysia di Yayasan Al-Nahdhoh Pulau Pinang pada Disember 2014, antara ucapannya yang menusuk tajam ke dalam diri saya sebagai anak muda ialah berkenaan kisah anak muda di zaman Nabi yang berebut ingin pergi berjuang. Saya transkripsikan balik ucapan asal beliau dalam loghat utara tersebut yang sehingga kini menjadi pedoman buat diri saya, kata beliau:

"Kita terlampau ketinggalan jauh dalam bidang pembangunan kerohanian kita jika dibandingkan dengan mereka-mereka yang mendokong Islam di zaman Nabi, di zaman selepas daripada Nabi, terlampau jauh.

Saya buat contohlah kepada kita, saya teringat semasa nak perang Uhud, Nabi berjaya himpunkan seramai lebih kurang 1,000 tentera Islam yang dipimpin untuk dibawa pergi ke kawasan Uhud bagi menentang 3,000 orang kafir yang dipimpin oleh Abu Sufian dan Khalid bin Al-Walid.

Tengok ya, Nabi dah bawa dah 1,000 bersedia untuk berdepan dengan 3,000, tapi di sebalik itu, Abdullah bin Ubai bin Salul berjaya memujuk daripada tentera yang 1,000 ini ajak balik. Tak guna perang, takleh lawan dengan Quraisy yang banyak tu, jom kita balik! 300 orang daripada 1,000 cabut balik!.

Berjaya Abdullah bin Ubai ini, sedangkan bilangan tentera Islam dahla sedikit, lari balik lagi 300, tinggal 700. Nabi check tengok 700 tu, check check tengok ada budak-budak, budak kecik nak masuk perang bersama.

Nabi kata, hari ni budak-budak pi balik tak payah perang. Tiba-tiba seorang budak yang bernama Rafi' kalau tak salah ingatan saya, dia kata; Ya Rasulullah, walaupun saya kecik tapi saya pandai panah (memanah), saya johan, johan Mekah, johan Madinah, panah, saya pandai. Nabi pun tau dia memang ahli panah. Dia (Rasulullah) kata; kamu boleh ikut, hak lain kena balik.

Tiba-tiba ada sorang lagi dia kata; Ya Rasulullah, kalau boleh pilih dia untuk pi perang, patut saya pun kena pilih. Apa kelebihan kamu? Saya bab wrestling ni, hari-hari kami wrestling, mushora'ah (bergusti), tak pernah dia menang, saya dok menang dia kalah, Rafi' dia kalah. Nabi kata; kalau hang kata hang kuat, cuba la tengok. Cuba-cuba, menang dia sungguh. Kawan nu pandai memanah dia pandai, kuat wrestling. Nabi kata kamu berdua boleh ikut serta.

Soalannya, kisah ini berlaku tentera Islam dah tinggal 700, suruh balik pulak setengah yang budak-budak tinggal dua orang ja yang masuk bersama. Ada diantara yang dok kuat dengan facebook ni, waktu tu lah (kiasan), dia pandai ulas tu, dia kata; budak dua orang ni yang hidup ditengah masyarakat yang selalu berperang, selalu bergaduh memang lah dia suka begitu. Dia pi perang tu kerana suka, suka bergaduh, sebab tulah mereka minta kat Nabi nak pergi berperang.

Malangnya, mereka tak boleh menyemai ataupun menyelami lebih daripada itu!. Keadaan begitu, orang buat itu. Dia tak reti dah nak nilai!. Dia tak reti dah nak nilai pengorbanan pada jalan Allah, kesungguhan, keyakinan dia kepada Allah yang menyakini bahawa kebenaran itu hanya dari Allah, dia tak reti! walaupun budak budak dia reti.

Yang Abdullah bin Ubai bin Salul dengan 300 orang cabut balik tak hidup ka ditengah-tengah orang yang dok perang?. Pasai apa cabut? Pasai apa budak-budak ni mahu? Tentulah ada sesuatu!. Sebab itu saya kata jangan kita cuba lari daripada sistem nilai yang ditentukan oleh agama kita kepada kita bagi menjawab persoalan-persoalan yang ada".

Cerita ini bagi saya membekas dalam jiwa anak-anak muda yang hadir ke Ijtimak Tarbawi pada ketika itu dengan riak dan aksi penumpuan mereka kepada ucapannya. Kini, beliau ditaklifkan sebagai Al-Mursyid Am, sudah tentu berat bagi beliau untuk memikul tanggungjawab yang besar ini. Namun, yakinlah, pada hakikatnya Allah telah memilih beliau untuk tugasan ini dan beliau pasti mendapat nusrah-Nya. Sama-sama kita memberi sokongan padu dan sentiasa patuh kepada arahan dan keputusan Majlis Syura Ulamak.

Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

No comments:

Post a Comment

Link

"KEYAKINAN ANDA MATLAMAT KAMI"