Google Search :

google search:
Google

Tuesday, October 11, 2016

PAS DIGILAI KERANA ISLAM

Usah hairan kenapa PAS hari ini begitu diminati oleh semua pihak. Tidak kira kerajaan mahupun pembangkang, semua mengharap PAS bersama gagasan mereka. Walau parti-parti baru tumbuh bak cendawan selepas hujan, namun PAS juga yang dicari.

Ini semua kerana keteguhan PAS berpegang dengan prinsip Islam. Selepas kepimpinan PAS bertukar wajah pasca muktamar tahun lepas, PAS dilihat semakin proaktif mencanangkan agenda Islam, sehingga sanggup berdiri di atas kaki sendiri dengan berani mengisytihar bebas dari pakatan sebelum ini.

Alhamdulillah, tidak lama selepas perpisahan itu, PAS mengisytiharkan blok politik baru bersama parti serpihan Umno dan puluhan NGO-NGO lain. Desas-desus mengatakan PAS bakal berkubur selepas keluarnya beberapa bekas pimpinannya meleset sama sekali. Terbaru, sebuah lagi parti mengisytihar diri bersama dengan blok tersebut.

Apa pembaharuan yang PAS lakukan? Tidak ada sebarang perubahan baru. Rahsianya hanyalah istiqamah dengan Islam yang benar. PAS mengambil langkah berani berputus dengan rakan tahaluf kerana memelihara Islam. PAS membuka ruang taawun dengan pihak kerajaan juga kerana maslahah Islam. Malah, penubuhan blok ketiga juga kerana memenuhi tuntutan Islam.

Dari segi undang-undang, PAS membawa agenda Islamisasi melalui usul pindaan akta 355. Dalam bab ekonomi, PAS membentang dokumen hijau. Dalam bab kebajikan, PAS terus menjadi juara dengan Jabatan Amal dan Yayasan Amal. Semua ini adalah mengikut panduan wahyu Ilahi yang dinamakan Islam.

Sangat dangkal kenyataan Salahudin Ayub baru-baru ini yang mengkritik ketegasan Presiden PAS mensyaratkan hanya pihak yang mahu menerima perjuangan Islam sahaja diterima untuk bekerjasama. Bagi beliau, PAS sengaja tidak mahu bergabung kerana mensyaratkan sesuatu yang mustahil diterima parti lain.

Tidakkah kita sedar kenapa PAS begitu laku? Tidak kita fikir kenapa keahlian PAS naik mendadak? Tidakkah kita perhatikan kenapa semakin banyak pihak cuba mendekati PAS?

Kerana PAS perjuangkan ISLAM!

Justeru PAS perlu teruskan langkah kehadapan. PAS tidak boleh undur lagi. PAS kena teguh dengan tekadnya memartabatkan Islam di bumi ini.

PAS hanya ada Islam. Islam adalah segala-galanya bagi PAS. kalau PAS berkendur tentang Islam, tiada nilai lagi PAS. Kalau PAS tukar kiblat perjuangan, PAS akan lenyap ditelan arus.

Ancaman musuh itu biasa. Ramalan pihak lain jangan dipercaya. Pujuk rayu itu bisikan syaitan. Desas desus dan ugutan dunia usah diambil peduli. Mereka sebenarnya takut matlamat kita. Mereka tahu apa kekuatan sebenar kita.

Musim ini roda Islam sedang bergerak menuju ke atas. Islam semakin bernilai dan diminati umat manusia. Siapa yang bersama Islam maka mereka juga akan ke atas. Siaoa yang menolak Islam, giliran mereka akan tersungkur ke bawah.

Maka jadikanlah pesan Saidina Umar ini sebagai pedoman:
قوم أعزنا الله بالإسلام مهما ابتغينا العزة بغير ما أعزنا الله أذلنا الله
"Kita adalah kaum yang Allah muliakan dengan Islam. Seandainya kita mencari kemuliaan selain dari Islam, nescaya Allah akan jadikan kita kembali hina."

Giliran Islam akan tiba. Ini janji Allah.

(Alang Ibn Shukrimun)

Telegram:
http://tinyurl.com/AlangIbnShukrimun
Facebook:
https://m.facebook.com/alangshukrimun/

No comments:

Post a Comment

Link

"KEYAKINAN ANDA MATLAMAT KAMI"