Google Search :

google search:
Google

Monday, July 25, 2016

Henti paksa guru hadir program anjuran Umno.

HARAKAHDAILY | 25 Julai 2016.

Isu Arahan Terhadap Guru Agar Dipaksa Menghadiri Program Anjuran Umno Harus Dihentikan Dan Amat Dikesali

Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) melahirkan rasa kesal dan dukacita atas tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mengarahkan guru -guru hadir dalam perjumpaan bersama Menteri Pendidikan Malaysia, Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam 'Majlis Bicara AidilFitri Warga Pendidik Bersama Wanita Umno Negeri Johor' bertempat di Dewan Sultan Ibrahim (DSI), UTHM, Parit Raja Batu Pahat, Johor pada 22 Julai baru-baru ini.

Persoalannya, mengapakah majis bicara warga pendidik bersama Menteri Pendidikan perlu menggunakan platform parti anjuran Wanita Umno Johor sedangkan profesionalisme bidang perguruan seharusnya boleh dibuat atas anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Johor atau Kementerian Pendidikan Malaysia?

Apa yang paling mendukacitakan senarai guru yang disasarkan telah dikeluarkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat seolah-olah guru 'dipaksa rela' hadir ke program parti dan perlu 'menurunkan tandatangan' sebagai bukti hadir sedangkan masa itu boleh digunakan untuk berehat bersama keluarga pada cuti hujung minggu. Biasanya jika gagal untuk hadir, maka nama guru terbabit akan 'disenaraihitamkan' serta perlu menyatakan sebab ketidakhadiran. Walhal, segelintir guru memang ada urusan keluarga yang penting.

Mungkin juga ada guru yang 'tawar hati' untuk hadir tetapi apabila dibuat atas anjuran sebuah parti politik maka timbul rasa 'benci' atau tidak puas hati kerana program perjumpaan bicara warga pendidik yang matlamat awalnya sebegini baik bersama Menteri Pendidikan, tetapi malangnya dibuat atas platform politik.

Pendidik menegaskan bahawa apa sahaja program Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mendatangkan manfaat kepada guru dan pelajar serta hala tuju pendidikan negara disokong serta disambut baik tetapi jika sebaliknya maka teguran akan dibuat terhadap kementerian terbabit sebagai proses 'check and balance'.

Justeru, Pendidik mendesak Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia agar mengambil perhatian serius terhadap beberapa berikut sebelum kebencian warga pendidik semakin memuncak:

1. Guru bukanlah ‘robot’ yang boleh diarah sesuka hati sehingga hak mereka sebagai warganegara Malaysia yang boleh membuat keputusan dalam memilih siapa yang mereka mahukan sebagai pemimpin atau wakil rakyat dinafikan. Tiada sesiapa pun boleh memaksa mana-mana guru agar mengikut arahan yang ‘tidak bertamadun‘ seperti ini.

2. Guru adalah insan yang berkhidmat untuk rakyat dan gajinya dibayar oleh rakyat, bukan dari duit poket Umno Barisan Nasional. Jadi, jangan paksa warga pendidik mengikut telunjuk pemimpin politik dan mencampuradukkan ‘pendidikan’ dengan ‘politik kepartian’ yang akhirnya akan merosakkan masa depan pendidikan negara”.

3. Sebagai penjawat awam, guru memang menjadi ‘pelaksana dasar ‘ dalam apa juga program pendidikan yang telah diputuskan tetapi dari segi hak mengundi dan memilih pemimpin yang mereka mahukan, tiada sesiapa yang boleh memaksa mereka. Hak ini dijamin dalam perlembagaan selaras dengan demokrasi yang diamalkan di negara kita.

4. Bebaskan guru dari sebarang ‘cengkaman politik’ yang cuba mengongkong minda dan jiwa para pendidik yang banyak berjasa dalam memacu hala tuju pendidikan negara di Malaysia yang tercinta selama ini. Cukuplah 59 tahun kita merdeka dan guru telah lama menjadi mangsa percaturan politik pemimpin yang 'rakus kuasa ' hingga memperlakukan guru secara 'zalim' termasuk sengaja menukarkan guru berjauhan daripada keluarga hanya kerana ‘dendam politik’ dan 'tekanan politik' Umno Barisan Nasional.

5. Kami menyeru agar semua warga pendidik, bangkit dengan penuh keberanian agar dapat ‘merobohkan tembok kezaliman’ yang telah lama membelenggu mereka selama ini sekian lama. Hanya dengan memahami hak mereka, sebagai warganegara Malaysia yang bebas menyokong mana-mana pertubuhan politik yang sah dan berdaftar di negara ini, maka guru dapat membuat pertimbangan yang sewajarnya dalam memilih pemimpin mana yang mereka mahukan demi kesejahteraan negara Malaysia yang tercinta.

6. NGO Pendidik menyarankan agar mana-mana warga pendidik yang diugut atau menjadi mangsa 'salah guna kuasa' agar segera membuat laporan polis dan membuat pengaduan kepada Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia) seberapa segera.

Pendidik tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan kepada SPRM jika berlaku 'salah guna kuasa' yang mengongkong jiwa pendidik seperti ini sekiranya menerima laporan.

“Semua manusia dilahirkan bebas dan sama rata dari segi kemuliaan dan hak-hak.” (Petikan dalam Artikel 1 Peristiyharan Hak Asasi Manusia Sejagat)

Normala Sudirman
Presiden Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik)
AJK Lajnah Pendidikan PAS Pusat
25 Julai 2016/20 Syawal 1437 - HARAKAHDAILY 25/7/2016

No comments:

Post a Comment

Link

"KEYAKINAN ANDA MATLAMAT KAMI"