Google Search :

google search:
Google

Tuesday, May 31, 2016

Rentak politik Abdul Hadi semakin mengejutkan

Tulisan di bawah merupakan pandangan seorang pemantau politik bebas.

Jemput baca

----------------------------------------------------------------

Rentak politik Abdul Hadi semakin mengejutkan

Langkah politik Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semakin hari semakin sukar dibaca, tapi semakin mengagumkan. Setiap kali beliau melontarkan idea, para pengkritik beliau akan mencari pelbagai alasan mencemuh beliau, tapi lazim pada akhirnya, beliau akan terbukti benar dan para pengkritiknya terpaksa mengubah topin mencari peluru yang lain terhadap beliau.

Lihatlah bagaimana Abdul Hadi bertegas menolak Deklarasi Rakyat yang dipelopori Tun Dr Mahathir Mohamad, yang bertujuan menyelamatkan Umno dengan menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Ketegasan Abdul Hadi telah menyelamatkan PAS daripada berpecah seperti PKR sekarang. Pemimpin PKR yang pernah mencemuhnya kerana enggan menyokong Deklarasi Rakyat kini terpaksa menelan kata-kata sendiri apabila berpusing 360 darjah menyokong saranan Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui penjara agar PKR menjauhi agenda Dr Mahathir.

Pada 27hb Mei 2016, sehari selepas Abdul Hadi diberi laluan oleh Umno untuk membentangkan usul persendiran, Naib Presiden Kesatuan Ulama Sedunia melakukan satu kejutan politik lagi di luar sangkaan lawan mahupun kawan.

Abdul Hadi telah memilih Adun Meru Dr Abd Rani Osman sebagai calon PAS bagi PRK P.093 Sg Besar.

Tiada siapa menjangkakannya. Malah, ramai yang terbeliak mata. Ramai yang enggan mengakui, tapi langkah politik Abdul Hadi ini dikira antara langkah yang terbijak bagi PAS, yang menyebabkan kawan dan lawan tersentap.

Strategi Abdul Hadi ini boleh juga dikenali sebagai serampang lima mata.

Pertama, Abd Rani adalah seorang doktor – ahli professional sebagai calon PAS di Parlimen P.067 Kuala Kangsar Dr. Najihatussalehah Ahmad. Dengan pencalonan kedua-dua doktor ini, Abdul Hadi telah menjawab tohmahan kepada PAS bahawa parti tidak lagi menghargai golongan professional, dan golongan professional kekal bersama PAS. Yang keluar hanya golongan yang kehilangan jawatan. Malah Abdul Hadi menggunakan cara ini untuk mendidik ahli-ahli parti pentingnya istiqamah dan parti menghargai mereka yang istiqamah seperti yang ditunjukkan Dr Rani.

Kedua, pencalonan Abd Rani adalah signal Abdul Hadi kepada Umno dan para penfitnahnya bahawa beliau sedikitpun tidak berganjak daripada usahanya untuk menumbangkan Umno, meskipun diberi laluan untuk membentangkan usul persendirian di parlimen.

Ketiga, dengan PRK yang diadakan bulan Ramadan, Abdul Hadi sudah tentunya memahami bahawa sukar untuk parti memperkenalkan seorang calon yang baru apabila rakyat beragama Islam sibuk dengan ibadah puasa. Mengambil Dr Rani yang pernah berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Selangor sebelum ini dilihat sebagai langkah bijak Abdul Hadi untuk menjimatkan masa parti untuk memperkenalkan calon PAS kepada masyarakat Sg Besar. Begitu juga Dr Najihatussalehah. PAS tidak perlu menghabiskan masa memperkenalkan calon kerana beliau memang dikenali di Kuala Kangsar. Penglibatan beliau sebagai Ketua Dewan Muslimat Negeri dan penglibatan pelbagai NGO banyak membantu beliau.

Fokus jentera parti kini boleh digunakan sebaik mungkin untuk menjelaskan isu-isu semasa, kezaliman Umno dan juga kunjungan Ramadan.

Di Meru, Dr Rani juga dikenali sebagai ustaz kerana kebolehannya memberikan kuliah dan khutbah. Tidak hairan jika seorang ustaz dapat memberikan kuliah dan membaca khutbah, tapi amat jarang bagi seorang doktor yang mempunyai kebolehan sedemikian. Di bulan Ramadan, sudah tentu Dr Rani dapat memperkenalkan diri dengan lebih mudah apabila beliau menyampaikan tazkirah dan juga kuliah-kuliah agama beliau yang memukau sempena Ramadan.

Bukan itu sahaja, malah kerja-kerja kempen diyakini dapat dipermudahkan berlatar-belakangkan rekod cemerlang dan sikap mesra alam Dr Rani. Rakyat Sg Besar akan lebih mudah diyakini bahawa Dr Rani adalah pilihan terbaik buat mereka dengan berita-berita baik mengenai prestasi beliau di Meru yang sudah pasti akan ditiup ke sana melalui cakap-cakap warung dan sanak-saudara di Meru.

Keempat, pencalonan Dr Rani juga dapat meningkatkan kesatuan jentera kempen PAS Selangor dan usahasama antara semua adun PAS. Abdul Hadi, setelah melalui zaman perpecahan PAS, kini memahami pentingnya PAS mempunyai satu pasukan jentera yang bersatu hati dalam menghadapi PRK kali ini yang penuh dengan politiking antara pembangkang dan juga parti-parti komponen BN.

Kelima, dengan pencalonan Dr Rani, Abdul Hadi menyediakan ruang alternatif bagi:

a. Ahli yang tidak suka pada DAP dan parti proksinya Amanah, tapi juga tidak suka pada Umno,

b. Ahli PKR yang tidak suka pada DAP,

c. Ahli Umno yang serik dengan Najib tapi enggan mengundi mereka yang rapat dengan DAP,

d. Undi ahli Umno yang ingin menyelamatkan Umno dengan menumbangkan Najib

e. Undi orang Islam atas pagar yang ingin melihat Islam diperjuangkan untuk mengundi calon PAS.

f. Undi kaum India berdasarkan kemesraan Dr Rani bersama kaum India

g. Sebahagian kaum Cina yang meraikan prestasi wakil rakyatnya berbanding parti

Apakah PAS boleh menang dengan Dr Rani? Tidak pasti. Tapi jangan pandang rendah faktor kemesraan calon yang tidak boleh diukur mana-mana pihak. Yang pasti, dengan mencalonkan Dr Rani, Abdul Hadi telah meletakkan PAS di posisi boleh menang, dan jika tewas pun, keputusan itu boleh dibanggakan.

Azjah Sulaiman
Pemantau politik bebas
Universiti Jalanan

No comments:

Post a Comment

Link

"KEYAKINAN ANDA MATLAMAT KAMI"