Google Search :

google search:
Google

Thursday, May 26, 2016

Sejarah Terukir Indah, Kami Bersamamu Tuan Guru

Catatan Khas:

1. Hari ini, 26 Mei 2016 adalah detik yang begitu bersejarah buat PAS kerana Presiden PAS, YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang merupakan Ahli Parlimen Marang telah diberikan laluan oleh pihak kerajaan untuk membentangkan Rang Undang-Undang Ahli Persendirian yang bernama Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016.

2. Antara pimpinan PAS yang turut hadir bersama di dalam dewan ialah Timbalan Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim, Bendahari PAS, Tuan Haji Mohamad Noor, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah, Setiausaha Politik Presiden, Dr Samsuri, Bendahari Dewan Pemuda PAS Pusat, Muhtar Suhaili.
Kesemua 14 orang Ahli Parlimen PAS juga berada di tempat masing-masing ketika usul dibentangkan.

3. Sesungguhnya, perjuangan itu destinasinya jauh, lama masanya, penuh  onak ranjau yang menguji kita semua. Usul Rang Undang-Undang Ahli Persendirian ini dihantar oleh Tuan Guru Presiden PAS seawal sidang Mac 2015, kemudian sidang Jun 2015, dan sidang kali ini adalah percubaan kali ketiga.
Pada tahun lepas, Tuan Guru Presiden PAS cuba dihalang untuk membawa usul ini apabila DAP khususnya mengugut dengan perpecahan Pakatan Rakyat.
Tuan Guru  Presiden PAS juga disaman oleh pihak NGO tertentu yang memaksa beliau menangguhkan dahulu hasrat untuk menghantar usul tersebut pada sidang Oktober 2015, sehinggalah urusan Mahkamah diselesaikan.

4. Tidak sampai hati ini untuk menulis kembali apa kata nista, kutukan, gelaran, dan perli yang dilemparkan kepada Tuan Guru Presiden PAS apabila beliau menghantar Usul Rang Undang-Undang Ahli Persendirian ini. Beliau dituduh pro-UMNO, ditipu UMNO, dibeli oleh PM Najib dan bermacam lagi tuduhan.
Walaupun demikian, beliau tidak pernah berganjak, tidak kenal erti putus asa  untuk terus berusaha sehingga berjaya. Kerana perjuangan itu bukanlah sekadar dinilai bila menangnya.?, tetapi apa usaha yang sudah dibuat.?

5. Sesi pembentangan usul hari ini bermula pada jam 2.30 petang tetapi tergendala lebih 30 minit kerana Ahli Parlimen DAP dan PAN (yang membawa lari kerusi PAS) telah berganding-bahu menentang dan cuba menyekat daripada usul ini dibentangkan oleh Tuan Guru Presiden PAS. Bayangkan, belum pun lagi usul itu dibacakan oleh  Tuan Guru Presiden PAS, mereka sudah pun bangkit mempertikaikan mengapa tiba-tiba usul ini diberi keutamaan dan mendesak undi belah-bahagi dibuat di peringkat itu.
Tan Sri Speaker menerangkan dengan panjang lebar berpandukan Buku Peraturan Mesyuarat yang sememangnya memberikan keizinan kepada pihak kerajaan untuk mendahulukan usul yang kerajaan kehendaki.

6. Saya masih ingat, dahulu, golongan yang menentang inilah yang begitu galak bertanya mana Undang-Undang Hudud.? Mereka memperlekehkan PAS kerana kononnya sudah ditipu dan diperangkap UMNO.
Kini, apabila Rang Undang-Undang Ahli Persendirian Marang berjaya dibentangkan, mereka menuduh pula ini adalah agenda politik sempena PRK, sedangkan RUU ini sudah pun dihantar ketika PAS dalam Pakatan Rakyat pada tahun 2015 lagi.

7. Daripada raut wajah Tuan Guru Presiden tergambar kegembiraan beliau yang tidak terhingga pada hari ini. Beliau tidak menghiraukan pun segala halangan yang mendatang, beliau tetap Istiqamah berjuang.
Bukankah ini ciri pejuang sejati, ulama pewaris Nabi.?
Permata ummah inilah yang memimpin kita semua agar tetap berada di landasan wahyu Al Quran dan as-Sunnah.

8. Jika ada yang bertanya, mengapa pula  Rang Undang-Undang Ahli Persendirian ini ditangguhkan perbahasannnya pada sidang akan datang..?
Ini jawapannya, hari ini adalah hari terakhir Sidang Dewan Rakyat bagi sesi kali kedua tahun ini.
Masih terdapat 2 Rang Undang-Undang Kerajaan iaitu RUU Pertahanan Awam, dan RUU Pengangkutan Jalan yang berada di giliran lebih atas perlu diselesaikan perbahasannya.
Rang Undang-Undang Ahli Persendirian yang dibentang oleh Tuan Guru Presiden PAS itu baru sahaja dikemukakan kepada Ahli Dewan pada hari ini, maka bukankah lebih elok perbahasannya dibuat pada sidang Oktober nanti agar kesemua pihak dapat membuat persediaan yang secukupnya. PAS bukanlah golongan yang gopoh dalam berjuang, kita perlu cermat dalam bertindak dan usaha pelaksanaannya juga secara tadarruj (berperingkat), bukan mengejut sekaligus.

9. Rang Undang-Undang Ahli Persendirian Marang ini adalah bagi meminda Akta Mahkamah Syariah agar kuasanya diperluaskan. Ia adalah selaras dengan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Seruan yang sama bagi memperkasakan Mahkamah Syariah telah dizahirkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam titah baginda ketika merasmikan sidang Parlimen pada Mac lepas.
Kepada DAP, usahlah begitu menggelupur kepanasan kerana RUU ini melibatkan urusan hal ehwal ummat Islam sahaja.
Atas semangat demokrasi yang dilaung oleh DAP itu, mengapa pula mahu dihalang usaha PAS melaksanakan syariat Islam dengan menggunakan hak demokrasi kami.?
Kepada Ahli Parlimen Muslim samada daripada UMNO, PBB, PKR, PAN dan DAP, ayuh bersama PAS bagi memartabatkan Islam di tanah air tercinta ini.

10. Sekalung tahniah dan penghargaan buat Tuan Guru Presiden PAS atas kejayaan membentangkan usul hari ini. Kami bersamamu untuk terus melangkah ke hadapan.

Catatan oleh;
Syed Ahmad Fadhli,
Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS
(9.12 malam, Pejabat PAS, Tingkat 14, Menara Parlimen)

No comments:

Post a Comment

Link

"KEYAKINAN ANDA MATLAMAT KAMI"